Friday, April 25, 2003

Assalamualaikum,

Hujan sambung-menyambung menyembah bumi permai.Malam yang kian kesiangan terasa dinginnya.Sekarang,solat subuh sudah semakin awal,seawal jam 3:20 pagi begitu.Almaklumlah,bumi sakura sudah mengadap ke musim panas.Nanti-nanti akan datang Subuh seawal jam 2:30 pagi.Bayangkanlah.!.

Mata terasa benar letihnya. Tetapi,memikirkan jam 7 nanti ada mesyuarat-maya,aku jadi serba-salah.Antara persatuan atau kemahuan diri yang diamuk badai letih.Kalau aku tidur,maka hampir-hampir pasti aku akan absen lagi ke mesyuarat-maya ini.
Mesyuarat ini penting sekali,kerna ia mesyuarat terakhir sebelum menjelangnya GWG(Golden Week Gathering),minggu hadapan. Bagaimana ya?.Fikiran aku sedang berperang antara mereka.

Siang nanti banyak benar yang perlu aku bereskan menjelang malam.Banyak.!.Aku perlu kemas rumah yang sedikit bersepah.Dan pula,aku perlu memasak.Mengapa tidak?Malam nanti rumah aku menjadi hos untuk Halaqah Ilmu minggu ini.Sedari tadi,ketika bekerja,minda bermain-main memikirkan jadual esok(maksudnya hari ini) yang padat dan ketat.Mahu masak apa?Mahu beri pengisian yang bagaimana?Semuanya silih berganti menyerang minda.

Aku cuba memilih menu yang paling ringkas, tetapi sesedap rasa.Pilih satu antara dua,masak lemak ayam,atau tomyam ayam?.Digabungkan dengan sayur campur dan telur dadar,aku rasa semuanya bisa,bukan?!.Ya,bisa berbisa,ahaks.!.

Dan untuk pengisian,aku rasa tidaklah terlalu ralat,InsyaAllah.Sehari-hari ketika bekerja sambil telinga diperdengarkan dengan kuliah Ust Shamsuri Hj Ahmad memberikan aku limpahan ilmu yang tidak sedikit.(Aku sering berharap kalau suatu hari aku bisa ketemuan sendiri dengan Ust Shamsuri Hj Ahmad.Betapa tidak,sudah puluhan bahkan mungkin ratusan ceramahnya aku dengar,sedang tuannya sendiri aku tidak pernah bersua-muka.Mudahan Tuhan berikan aku kesempatan ketika pulang bercuti musim panas nanti.)

Sebenarnya banyak lagi "unfinished business" yang masih berselirat di dalam serebelum dan sereberum kepala.Nanti lah.!.Kerna ia sedikit rahsia,maka aku rasa tidak wajar aku kongsikan dengan kalian.Nantilah,aku simpulkan semuanya dan aku hamburkan pada kalian untuk manfaat dan mutiara ilmu,InsyaAllah.!.


ILHAM HAMDANI at 25.4.03

Wednesday, April 23, 2003

Assalamualaikum,

satu
Semalam,aku sengaja mengambil cuti dari bekerja.Badan terasa letih benar.Minda terasa berat amat.Lalu,apa guna berdunia?Lebik baik bersendirian di rumah untuk seharian.Akhirnya,aku melayan winning eleven 6 evolution.Mudahan dengannya berambus segala macam kemasyulan dunia.!.(Mungkinkah seorang aku zalim?Salah meletak-pasang?!.Menghilangkan masyuk dan mencari ketenangan dengan melayan mainan komputer?.Entah lah..!.)

Malam,bertadarus Al-Quran di surau.Kami yg berempat menghabiskan Al-Hijr(Pada akhirnya ada kisah kaum Nabi Allah Syu'aib yang mahir memahat gunung untuk dijadikan kediaman.Tetapi kerana kekufuran,Allah datangkan getar pada pagi hari yang menghancurkan.Bimbang,bimbang kita bisa jadi seperti kaum yang terlaknat itu.) dan separuh dari An-Nahl,kisah tentang manfaat lebah.Seribu manfaat.!.

Ralat(tarikh pembetulan : 26 April 2003)
Maaf.!.Bukan kaum Nabi Allah Syu'aib sebenarnya yang aku maksudkan.Aku terkeliru.!. Sebetulnya kaum nabi Allah Salleh,kaum Tsamud yang mahir memahat gunung,dan akhirnya dibinasakan Allah dengan gempa dan halilintar di pagi hari. Maafkan aku.!.

Lagi,saban waktu yang terakhir aku tidak lepas pandang pada tulisan Faisal Tehrani di dada Utusan Malaysia.Asyik sekali.!.Salsabila,Kamil dan Lam-3 sahabat kecil yang besarnya membentuk cinta 3 segian.Tetapi,padanya ada mesej dakwah yang terselit molek.Aku suka.!.

Juga,aku mengembara dari halaman-halaman penulis sohor tanahair,Mohnas,Faisal Tehrani,Zaharah Nawawi,Amaruszati(hanya sebahagian nama).Menghayati tulisan mereka,dapat menyelami seribu suara masyakarat dan menyedut sejuta ilmu yang manfaat.Sesekali terfikir,bagaimana mereka membina pena mereka yang tajam?Betapa aku terlalu iri dengan mereka.Nyata,kurniaan Tuhan pada hamba-hambaNya tidak serupa.Lalu,aku perlu bersyukur dengan apa yang tersedia pada aku.

dua
Ini cerita lama,tetapi padanya suatu kenangan yang mengusik rasa.Cerita lama,tetapi tidak pernah basi.Cerita lama,tetapi ingat yang masih tersemat.Kukuh.!.

Dua minggu yang terdahulu,aku menelefon opah di kampung.Rindu rasa ingin mendengar suara tua.Suara tua yang setiap detik tidak lupa menitipkan aku buah nasihat.Suara kudus yang padanya aku percaya tidak pernah lupa sebuah kiriman doa untuk cucunya.

Bercerita begitu dan begini,terutama perihal pembedahan mata opah.Alhamdulillah.!. Gembira aku mendengarnya.Syukur.!.

Pada hujung sebuah perbualan,ada permintaan dari opah.

"Din,ada tak depa jual kain kat sana?(maksudnya kain ela,bukan baju siap.!.).Kalau ada,belikan pada opah barang 2 meter ya..".

Apa??Kain ela 2 meter?.Kalau kalian ada di tempat aku,tentu kalian akan sayu seperti aku.Betapa,kalau opah minta lebih dari itu,sebesar langit dan bumi,lalu aku memberinya, aku percaya aku tidak bisa membayar susah-payah opah membesarkan aku.Opah..opahh..Terharu aku dengannya.Jasanya,pengorbanannya bukan nilaian kain 2 ela,bahkan bukan nilaian dunia seluruhnya,lebih besar dari itu.Aku terharu.!.





ILHAM HAMDANI at 23.4.03

Tuesday, April 22, 2003

Assalamualaikum,

Kesibukan,badan letih dan terasa seperti mahu tewas pada demam.Lantas,aku menjadi terlalu lemah untuk meluahkan bicara.Sudahnya,2 hari BandarSepi sunyi dari catatan Datuk Bandarnya.Dan,hari ini aku mohon pulang awal dari kerja.

2 hari terdahulu,20 April 2003 adalah hari ulangtahun kelahiran Akmal,a.k.a Angah. Ulangtahunnya yang ke-23.Mudahan Allah memberkati dan merahmatimu sentiasa.!. Dan,mungkin kebetulan,pada tarikh yang sama Angah dipinang.!.Dipinang sebagai seorang roughman sebuah syarikat di USJ.Itupun setelah beberapa ketika ke sana ke mari mengusung segulung sijil.Syukur Alhamdulillah."Mungkin rezeki tahun baru aku kot..",bicaranya di hujung sebuah panggilan telefon.

Ya,aku memang rapat dengan Angah.Rapat sangat.!.Mungkin kerana kami berdua dibesarkan oleh opah dan tuk ayah di kampung menjadikan kami terlalu akrab.Atau pun,mungkin juga kerana jarak usia kami yang agak rapat,cuma dipisahkan setahun 9 hari menjadikan begitu akrab sekali.Masalah dia,adalah masalah aku.Dan,masalah aku,adalah masalah aku,ahaks.!.

Aku masih ingat,Angah bertukar sekolah ke kampung untuk dijagai opah dan tuk ayah ketika Angah menjejaki usia 8 tahun(kata mama,"risau dok KL,tak makan saman.").
Pun begitu,kehadiran Angah tidak kusenangi.Masakan tidak,seolah kehadiran Angah merampas separuh kasih-sayang opah dan tuk ayah yang ku boloti selama ini.
Kekadang,bila menenangkan tindakan dangkal yang membuli Angah di awalnya, menjadikan aku sedih.Pun begitu,mujurlah aku cepat sedar.Tidak lama,kami menjadi teman yang akrab.

Aku masih ingat,aku pernah menangis ketika Angah hampir-hampir menduduki SPMnya.Mengapa tidak,aku gagal menjadi seorang abang yang baik.Aku gagal menurunkan segala ilmu yang Allah kurniakan padaku.Aku gagal.!.Keputusan SPM, Angah cuma pangkat 3 dalam jurusan sains.Aku kecewa.Angah apatah lagi.Tetapi, mujurlah Angah cepat bangkit dari renyuk duka.Dan akhirnya Angah lulus awal dari aku dari sebuah IPTS.Syukur aku dengan Angah.!.

"Selamat hari lahir adik.!.Aku bangga denganmu.."


Datuk Bandar : Semalam,setelah pulang kerja dan menjenguk Buku Pelawat aku benar-benar terkejut dengan sebuah catatan pelawat-iklan lucah..!.Lantas,aku mengambil keputusan untuk menutup sementara buku catatan pelawat.


ILHAM HAMDANI at 22.4.03

Di tengah orang tua, dia-lah pemuda.
Dan,di tengah pemuda dia-lah ketua.
Bermazhab pada adil dan jujur,
berkitab pada sirah dan siasah.

IPIJepun mempersilakan anda semua ke program usrah-maya mingguan melalui YM kami,dan maklumat adalah seperti berikut;
i) JUMAAT,MALAM SABTU 8 MALAM
ii) SABTU,MALAM AHAD 9:30 MALAM
iii)PAGI SABTU 9:00 PAGI,KULIAH TAFSIR
iv) AHAD, MALAM ISNIN 8 MALAM

*mengikut waktu Malaysia.

Anda boleh pm kepada
addeen57,
shahreza03,
aznanhamat,
adiemad,
liya51

Name

URL or Email

Messages(smilies)

Diriwayatkan daripada Sahl bin Saad r.a katanya:
Janganlah kamu menghitung tarikh dari awal kebangkitan Nabi s.a.w dan hari kewafatan Nabi s.a.w. Janganlah kamu memulakan hitungan kecuali dari hari baginda tiba di Kota Madinah.

(Hadis Riwayat Imam Bukhari).

Israel hadapi kecaman baru di ICJ

THE HAGUE 24 Feb. - Israel hari ini menghadapi kecaman terbaru di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dari negara-negara yang menyokong tindakan Palestin mencabar langkah Israel membina benteng keselamatan di Tebing Barat.

ICJ bersidang selama tiga hari mulai semalam bagi memutuskan kewajaran pembinaan tembok keselamatan yang didakwa oleh negara Yahudi tersebut sebagai usaha untuk menghalang kemasukan pejuang Palestin ke wilayah mereka.

Bagaimanapun, Palestin mendakwa langkah itu merupakan taktik kotor Israel untuk menguasai kawasan Palestin kerana Tebing Barat merupakan wilayah Palestin.

Antara negara yang akan memberi keterangan pada perbicaraan kes itu ialah Jordan, negara yang paling tegas menentang pembinaan benteng keselamatan berkenaan.

Malaysia, Indonesia, Bangladesh dan Cuba merupakan negara yang paling kuat menyokong tindakan Palestin membawa kes itu ke ICJ.

PENANTIAN
[tulisan ini aku dedikasikan untuk seluruh pejuang]

Lahir di tengah kemelut yang berselut,
Lahir di tengah lumpur yang berlumur,
Kota Ismaliah 1906,
Tangisan bayi senyuman harapan ummah.

4 muka lewat la'natullah Mustafa makan khalifah,
Dia hidangkan wahdatul-ummah,
Bersatu dengan aqidah,
Berderap dengan mujahadah,
Berentap dengan sabilillah.

Dari desa-desa ke kota-kota,
Allah-lah matlamat kami,
Dari gurun padang ke gelanggang,
Rasulullah pimpinan kami,
Dari kota pasir Sinai, Alex Aswan,
Al-Quran perlembagaan tertinggi kami,
Dari denai-denai zahmah Kaherah,
Jihad jalan kami,
Dan,
Mati di jalan Allah cita-cita tertinggi kami.

Darah sudah jadi murah,
Mati sudah jadi sebati,
Penjara sudah jadi biara,
Dakwah sudah jadi lumrah,
Islam sudah jadi iltizam.

Menang,
Dan memang menang,
Cuma bila dan siapa?
Di sini, atau di sana.