Friday, October 03, 2003

Assalamualaikum,

+ Jepun sudah benar-benar di pinggir musim luruh.Walaupun daun masih banyak yang hijau,dan berdegil dari luruh,tetapi suhu sudah banyak yang turun.Sekarang,hampir semua daerah-daerah di Jepun suhu maksimum tidak mencecah 20 darjah,kecuali kepulauan Okinawa yang di bawah nun.



klik untuk full size


Kepulauan Okinawa ini memang bawah betul,hampir-hampir dengan Taiwan.Serasa-rasa jaraknya ke pulau Taiwan lagi dekat berbanding kalau mahu ke Tokyo.Dan,kepulauan ini masih bertapaknya sisa-sisa Amerika,lewat kekalahan Jepun pada mereka dalam Perang Dunia Kedua.Masih ada base tentera Amerika di pulau ini,seperti yang termaktub dalam perjanjian ketika kekalahan perang dunia dulu.Tak tahu lah sampai tahun berapa baru berakhir tempoh perjanjian "gila" Amerika tu.

Aku sendiri belum pernah menjejak ke pulau yang jauh ini.Yelah,kalau mahu ke sana,orang kata lagi baik terus langsung balik ke Malaysia,sebab tambangnya tidak banyak berbeza.Lalu,ramai yang ambil keputusan tidak melawat ke pulau Okinawa ini.Kasihan mereka.!.Dan lagi,dengar khabarnya pihak JPA sudah tidak menghantar lagi pelajar-pelajar tajaan ke sana.Entah lah.!.Mungkin pelajar-pelajar kurang berminat ke pulau ini,kot.Sebab,tak boleh main salji,ahaks.!.

+Bila mulai masuk sejuk,aku menjadi alah.Dan begitulah setiap kali hendak menuju ke sejuk,terutama musim luruh begini.Bila mula-mula menyapa bayu yang sejuk dingin sebegini,selalunya aku akan kena bintik-bintik seperti ruam.Dan,begitulah saban tahun.Hampir seminggu dua juga berbintik seluruh badan,rasa gatal semacam.Pula lagi,rasa macam hendak menggaru sahaja,orang Perlis kata merghenyam.Boleh tahan jugak.[aduhai diri,baru diuji dengan gatal-gatal sudah merungut tidak sudah,belum terkena ujian lebih besar.Asta'firullah.!.].Bila sudah gatal,mulalah nak menggaru.Kalau diikutkan hati,memang berbalar seluruh badan,sehingga pernah satu ketika aku kena sapukan bedak pada tempat yang gatal.

Bila sudah lama sedikit bermesra dengan musim luruh[juga gatal.!.],gatal pun hilang begitu.Bintik-bintik pun hilang.Itulah yang aku katakan alah.Mungkin alah pada sejuk,agaknya.

O ya,aku terperasan juga satu benda ketika hampir-hampir luruh begini.Daun-daun yang hampir luruh ini memberikan satu bau yang wangi.Sungguh.!.Aku tak pasti dari daun yang mana satu,tetapi ia berbau wangi.Bukan bau wangi seperti bunga kemboja,tidak.!.Tetapi,berbau wangi,nak cerita yang bagaimana tu,aku sendiri tak reti,kecuali kalian datang ke sini,dan aku tunjukkan pada kalian.

+Siang tadi menyimpan barang-barang dapur,rempah-ratus dari Malaysia,sedikit kuih-muih yang mama beli dari pasar malam[o ya,mama siapkan aku dua balang almond london,katanya; "untuk raya"..untuk raya?untuk budak-budak sini raya kot,ahaks.terima kasih mama yang bersusah-payah semalam sebelum aku berlepas pulang ke sini.],dan beberapa benda lain.

Sebelum menyusun barang semua dalam kabinet dapur,kena bersihkan kabinet dapur itu dahulu.Ya Allah,kaum-kerabat lipas menjadi raja.Sungguh.!.Mentang-mentanglah rumah aku tak berhuni sepanjang sebulan musim panas,betul-betul naik lemak kerabat lipas.Dari ibu lipas,bapa lipas sampai ke cucu dan piut lipas,semua ada.Teringat dengan cerita Kusyairi yang sanggup buka laman internet semata-mata mengkaji sifat-sifat lipas nih,ahaks.

Aha,kalau musim panas memang musim serangga mengawan.Kata Kusyairi yang baca artikel tentang lipas,telur-telur lipas yang terhasil tahun ini boleh tahan sampai musim panas tahun depan.Dan,ketika sampai musim panas tahun depan,baru menetas.Punya lah lama.!.Pastu kata dia lagi,jangan bunuh ibu lipas pakai penyembur serangga,sebab lagi cepat membiak macam mana entah.Aku tak ambil berat sangat penerangan mamat ini pasal lipas ini,sebab masa tu tengah kusyuk layan main games bola.Dengar sebelah telinga jer,ahaks.

Sudah lah bercerita tentang lipas.!.

Dalam mengemas-ngemas kabinet dapur,terjumpa sebotol budu.Ish,bukan aku yang berkenan dengan budu.Tidak.!.Walaupun aku nih berdarah Kelantan,dari sebelah mama,tetapi seumur hidup belum pernah dan tidak pernah berhajat untuk sentuh benda Allah yang satu nih.Ish,tak berminat lah.!.[jangan marah ya orang Kelate.!.]

Budu nih seorang kawan Kelate yang pesan pada aku,suruh bawa.Ops,bukan aku yang bawa,mama yang bawa masa ramai-ramai datang bulan April yang dulu tu.Mulanya,aku mahu pos pada dia,malangnya tak jadi.Lepas itu,dia kata nak datang rumah aku,jalan-jalan hujung minggu honeymoon dengan hubby dia,sekali tak jadi pulak.Akhirnya,dek terlupa dan sibuk,langsung terbiar begitu sahaja.Bila belek tadi,langsung buang dalam beg sampah.Habis cerita.!.


ILHAM HAMDANI at 3.10.03

Thursday, October 02, 2003

Assalamualaikum,

Hari ini ramai pula kerabat yang bersolat Jumaat.Solat Jumaat yang pertama setelah kembali dari pertapaan sebulan di bumi Malaysia.Ada Qusai,lalu macam biasa Qusai yang membaca khutbah dan lalu berimamkan pada dia.Bro Qusai datang dengan anaknya yang comel Mohanad dan isterinya.Anak dan isterinya hanya main-main di luar surau.Mungkin selepas solat terus ada urusan bersama isterinya,agak aku.


ini gambar Mohanad [maknanya pedang] yang aku snap setahun yang dulu.Masa tengah bulan puasa,aku ingat lagi.!.Yang nampak sebelah wajah itu,ibunya,sis Arwa.

Ada bro Ismail,imam masjid Mito.Aku tak pasti kenapa tiba-tiba dia muncul di surau kami tengahari Jumaat sebegini,mungkin ada urusan yang perlu diselesaikan di sini,agaknya.Bro Ismail ini orang Arab Saudi.Tenang tengok mukanya.Sungguh.!.

Teringat "komentar" seorang sahabat yang telah pulang tentang bro yang seorang nih,"Hai,entah banyak mana lah pahala yang dia sudah buat di sini..[merujuk kepada kerja-kerja dakwah dan Islam yang telah,sedang dan terus dibuat oleh bro Ismail ini di bandar Mito.]"

Ada bro Rames yang tengah berehat sejam dari kilang Hitachi.Itulah,dalam rehat yang sejam itu pun masih sempat "berlari-lari" mengejar urusan Jumaat di surau sini.Mana kan nak makan tengahari,mana kan nak rehat barang sedetik dua,tengah-tengah begitu nak kena kejar solat Jumaat lagi.Aduhai,besar juga pengorbanannya itu.Kalau calang-calang orang,ambil mudah lalu "escaped" sokmo.Sedang di Malaysia pun ramai kes-kes begini.Aduhai.!.

Lagi,ada bro Ahmad dari Bahrain.Dia ini orang baru di sini,dalam seminggu dua.Aku pun masih tak sempat kenal-kenal dengan dia.Yelah,masa bro yang seorang ini tiba di Jepun, aku masih di Malaysia.Dan,masih tak punyai kesempatan untuk kenal-kenal.[bujang rasanya,atau pun sudah punyai isteri cuma masih boleh dibawa bersama ke Jepun].Ketika aku tiba di surau,dia khusyuk membelek-belek Al-Quran,jadi terbantut niat untuk sembang-sembang dan kenal-kenal.Mungkin kesempatan lain masih ada.

Siapa lagi?Selebih-lebihnya orang Malaysia.Ada Qusyairi,Musa,Syed,Rashdan,dan aku sendiri.Tunggu-tunggu juga kalau-kalau ada dua orang lagi kohai nak datang,tak nampak muka lah pula.Demi bersangka baik,mungkin mereka ada urusan yang lebih penting.[?]

Selepas solat,Syed dan Musa gegas,mengejari waktu kelas yang sudah dekat benar.Yang lain masih selesa dengan sunat serba sedikit.Keluar dari surau,sempat menyelit ke surau Musa,berhubungan dengan pihak NTT demi urusan telefon yang rosak.Tak boleh dihubungi pada talian.Aduh.!.

Keluar semula ketika ramai berkumpul di tengah laman di depan surau,bercerita tentang buah kaki.Buah yang warnanya kuning oren,yang mirip rupa buah tomato.Kebetulan di sisi surau,berjarak kurang-lebih 10 meter ada pohon kaki milik oyasan [landlord] sudah mula berbuah.Nampak sedap,dan memang pun sedap.Masih ingat,tahun lepas puas bersantap dengan buah kaki milik tuan rumah itu.

Mula-mula,masing-masing segan mahu berjumpa dengan tuan rumah yang perempuan untuk minta izin pada buah kakinya,akhirnya Rashdan mengalah."Ambil lah,lagipun saya tak pernah ambil pun..".Wah,kenduri buah kaki-lah budak-budak Malaysia.Sempat sesekali berbuka puasa dengan buah kaki.Manis dan berair.Sedap.!.

Bercerita tentang buah kaki barang 5 minit,lalu masing-masing bubar.Ada tugasan masing-masing yang terus diteruskan.Sungguh,perjuangan belum selesai.!.
ILHAM HAMDANI at 2.10.03

Wednesday, October 01, 2003

Assalamualaikum,

Beberapa hari melayani mood "lemah-gemalai" yang terbawa-bawa dari Malaysia,sambil-sambil menggarap ide.Memang begitu,kalau bosan,ada-ada sahaja ide mahu bercerita.Mengumpul semangat,lalu aku menulis sebuah cerpen budak-budak.

Sesuci Putih Sakura

Ketika melewati garaj kereta,matahari jingga benar-benar di hujung usia siang.Sempat melepas pandang pada sekawan burung yang sedang mengarah pulang.

"Pandai mereka menghitung waktu.Tahu waktu keluar dan pulang semula ke sarang."

Betapa hidup aku sehari-hari juga tidak ubah seperti seekor burung pada jadual pergi-pulang.Keluar ke pejabat bersama terbangnya sekawan burung,dan pulang nanti pun seakan beriringan dengan burung-burung yang pulang kenyang.Kehidupan seperti sebuah komputer yang terprogram,persis robot hidup.!.

Mencapai loceng di muka pintu dan bersusul dengan salam yang sederhana.Juga,seperti sudah terprogram pada salam,sejak sekian lama.Masih berbekas birat pada belakang badan,kesan dilibas dengan rotan halus sebesar jari keliling oleh mama-tidak memberi salam ketika menjengah ke ruang rumah.!.Dan,pengalaman itu benar-benar mendidik aku.Terkesan.

Aku sudah tidak ambil endah pada jawab dari salam aku tadi.Aku dalam gegas mengejari waktu yang kian terhapus. Kedengaran suara-suara dari ceruk dapur,mungkin mama sedang ligat menyiapkan juadah malam.

Oh,mama berpuasa Syaaban.!.Patutlah cepat benar mama ke dapur petang ini.Demi asar yang sudah kian pupus,aku tidak langsung ke dapur temui mama,seperti biasa.Nanti lah.!.

Dalam gesa-gesa,memandang jam antik yang terdenting genap tujuh.Jam,hadiah perpisahan dari ibu angkat di tanah jauh,bumi sakura.

"Hakimi,anak ibu.Walaupun jarak akan memisahkan kita nanti,kasih-sayang ibu pada Hakimi tetap sama.Sesekali kalau Kimi punyai kesempatan,teratak ibu sentiasa merindui kehadiran Kimi..",bicara akhir dari ibu Jepun itu benar-benar meruntun jiwa.Dan,aku rasa cukup bertuah menumpang kasih pada keluarga Jepun itu.4 tahun cukup mendewasakan aku,betapa kasih-sayang tidak pernah tersekat pada ras dan adat budaya.

"Sihatkah ibu agaknya sekarang?."

Tidak sempat memikir jawapan yang pasti tentang ibu Jepun kerna kaki pantas melangkah melewati anak-anak tangga ke tingkat atas.Mengejari masa,sedang asar sudah kian terpancung oleh maghrib yang tidak sabar untuk naik takhta.

Separuh campak pada briefcase.Gegas-gegas mencari air wuduk.

Belum sempat mengangkat takbir sulung,terlepas pandang pada surat yang tertampal padanya setem bergambar burung kenari kecil dengan angka sembilan puluh.

"Nur Hana Kimura..",sudah lama gadis itu tidak mengutusi aku surat,menjadi aku terlalu rindu.Mungkin kesibukan membataskan,sama seperti aku yang mengharung hari-hari yang padat.

Solat sudah menjadi sulam,antara kenangan dan ibadah.

"Aku tidak suka pada Islam,Islam ganas.!.Islam terror.!.Kau tahu..Islam jahat..Berambus kau dari sini,aku tidak tidak suka dengan orang Islam.Aku tidak suka dengan kau.!."

Aku langsung senyap,sepatah pun tidak bersuara,membiarkan gadis itu menang dalam emosi agama.Lagi pula,memegang resam anak rantau,aku tidak mahu menambah gempar pada suasana.Aku membiarkan anak gadis itu meluahkan umpatannya pada agama.

Aku cuma membalas dengan sebuah senyum.Tawar.!.

Mujur,ketika rukuk aku menjadi kembali sedar.Tetapi,tidak lama,lalu menjadi sebuah wayang kenangan semula.

"Terima kasih,terima kasih kerana menyelamatkan saya.."

Huh,siapa sangka gadis yang basah kuyup,dan separuh lemas itu adalah Kimura Hanako.Dan,aku percaya titian perjalanan yang ditulis Tuhan terlalu indah.

Sudah menjadi biasa.Setiap Sabtu,aku berbasikal sejauh hampir 7 kilometer mencari damai di Tasik Senba,di pinggir bandar Mito.Angin musim bunga yang sudah berpenghujung,sesekali sekawan angsa tasik memecahkan damai arus,anak-anak Jepun yang berlari riang di celah-celah pohon sakura yang sudah gugur semua bunganya,atau bola mata memandang jauh ke tengah Bandar Mito yang tertegak bangunan arca,yang mirip-mirip keris berlok tujuh.Lalu semua ini benar-benar memberikan aku damai.

Dan,di tasik itu aku selalunya seharian,mencarik-carikkan ilham pada helaian kanvas.Asyik.!.

Sabtu akhir Jun datang,kebetulan aku sendirian.Dan,ia satu lagi daripada takdir-takdir tuhan untuk diriku.

Perahu kecil diolek ombak tasik yang tiba-tiba ganas,lalu dua tubuh terhumban ke dalam tasik biru.Aku benar-benar kaget.Dalam gesa-gesa,menyingkirkan boot panjang,dan menghamburkan diri dalam tasik biru.

"Terima kasih kerana menyelamatkan saya..",dalam tenaga yang kian sisa,bibir gadis Jepun yang kian pucat sempat berbicara.Dan,aku memberikan senyuman yang paling indah untuknya.

Aku menjadi benar-benar keliru,antara tiga atau empat.Serasa-rasa tiga,sekali pula dirasakan empat.Lalu,aku sujud sahwi.Diusik bisikan syaitan yang bermain dalam kenangan lama.!.


Nur Hana Kimura
Tsukuba-shi,Ibaraki
12 Oktober 2003


Assalamualaikum,

Menemui Haikal Hakimi yang sering dirindui,aku doakan mudahan kau sentiasa dalam keberkatan dari Tuhan.!.

Ketika aku menulis warkah ini,seluruh Jepun sudah menjadi jingga,daun mamoji yang luruh satu-persatu ini benar-benar memberikan ceria pada seluruh wajah perderahan di sini.Daun-daun jingga ini sering mengingatkan aku pada kenangan,kenangan bersama Haikal Hakimi.Sungguh,kenangan itu tidak akan mati,selagi Nur Hana Kimura masih bernadi.

Daerah Mito,Hitachi,Tsukuba,atau pergunungan Nikko yang meriah ketika daun luruh begini tentunya rindu pada suara tawa kita,kan?!.Mungkin mereka jua merasai kehilangan kita,sama seperti aku yang merasai kehilangan kau.Dan,aku lebih-lebih lagi,terasa sunyi benar musim luruh kali ini.Aku merindui pada kenangan dulu.!.

Dan nanti,daun jingga ini akan berganti salju putih.Dan,aku tetap sama,merindui pada kenangan lama. Kenangan, ketika kita sama-sama membuat orang salji di padang universiti di awal pagi.Gila.!.Awal Subuh,kau telefon aku, kejutkan aku Subuh,konon.Kemudian kau gemparkan pintu rumah aku,ajak aku ke padang,bermain perang salji.Mengalahkan anak-anak kecil.Tetapi,kenangan itu indah kan,Hakimi.


Aku begitu asyik membina orang salji dengan ketulan ais-ais halus yang keputihan penuh di tengah padang universiti.

Kelepeeekk..seketul ais kepal sebesar penumbuk anak singgah di muka,meninggalkan kesan merah.Dan,anak gadis itu berlari di atas ais-ais putih dengan ketawa yang berpanjangan.Di atas bukit berhampiran gym,dia menjerit-jerit mengacah aku agar ikut mengejarinya.Nakal.!.

Dan,beberapa ketika kemudian,di saat aku sedang asyik meyambung cita-cita orang salji,diserang hendap lagi.Gadis itu ketawa lagi,lalu melarikan diri.Aku sudah hilang sabar.

Lalu,ketika daerah Hitachi makin galak diselimuti salji putih,perang dunia ketiga sudah bermula,tetapi peperangan salji.!.

Mata merenung sekeping gambar yang berbingkai di sisi komputer peribadi.Sekelilingnya putih dengan salji.Ya,pagi itu aku mintakan jaga sekolah yang kebetulan meronda kawasan di situ abadikan kenangan kami.Dan,gadis itu tersenyum dalam girang yang bukan kepalang.

Aku ingin kembali berperang dengan salji,Hana.!.

"Hanako,gadis orang salji ini aku namai dengan Kimura Hanako.Aku bina dengan kasih sayang,sama seperti aku membina persahabatan kita.."

Dan,aku lihat gadis itu tergamam,sedang salji putih masih terus timpa-menimpa pada wajah jernihnya.Aku lihat gadis itu mengalirkan air mata.

Hakimi,
Kau terlalu banyak meninggalkan keindahan untuk aku,sehinggakan kadang-kadang menjadikan aku terlalu takut untuk hidup sendirian tanpa kau.Kau mengisi sebahagian usia mudaku,memberikan secangkir rasa kasih yang sama-sama kita bajai dengan kemesraan dan kebahagiaan.Dan,sehingga saat ini,aku masih merasai kehangatannya.Terima kasih.!.

Hakimi,
Apa kau masih menjadi hantu yang suka makan udang manis?.Setiap kali aku ke kedai sushi,aku sering teringat kenangan bersama dengan kau.Bergaduh,berebut sepiring amai-ebi.Kau memang jahat.!.Laju sahaja tangan kau menyambar piring amai-ebi,semuanya kau bolot.Lalu,aku akan pura-pura merajuk.Konon-konon sudah tidak berminat lagi dengan amai-ebi,udang manis,konon-konon beralih pada ikan Meguro yang isinya kemerahan.Dan,dalam kau leka,aku pantas sambar udang-manis.Aku ketawa puas.!.


Amai-ebi?Udang-manis?

Sibuk benar-benar membataskan luang aku untuk mengintai sejarah silam.Seingat aku,sejak 4 bulan aku kembali ke Malaysia,baru sekali aku ke kedai sushi-di majlis meraikan pekerja baru syarikat Hitachi.Kami makan ramai-ramai di Mid-Valley.Dan,itulah satu-satu kesempatan yang datang.!.


Haikal Hakimi,
Paling-paling lagi,aku sembah syukur pada Tuhan.Kau mengenalkan aku pada agama kebenaran.Saat aku menukil luahan ini pada kau,air mataku mengalir laju.Aku menangis Hakimi,menangis kesyukuran atas nikmat Islam.

Aku tidak dapat bayangkan betapa kalau aku tidak bersama dengan Islam.Masih terngiang-ngiang suara kau bercerita tentang azab neraka,bercerita tentang nikmat syurga.

Aku masih ingat,kau sering bercerita tentang sahabat nabi yang bernama Mus’ab Umair.Kata kau,kau inginkan cahaya-mata lelaki,lalu mahu namai dengan Mus’ab.Lalu kita berbalah,kerna aku mahu anak perempuan,kelak akan aku namai dengan Ummu-Umara,srikandi dalam peperangan Uhud.

Huh,kenangan.!.Tetapi,syukurlah.Kini,aku sungguh tenang dengan Islam yang kau pelawa pada aku.

Terima kasih sayangku.!.


Aku senang memerhatikan camar dan layang-layang yang terbang rendah.Di tengah laut luas,mentari sudah berimpitan pada ufuk bawah,sebentar lagi akan tenggelam untuk membenarkan malam.

Bicara gadis itu tadi benar-benar menghadirkan resah dan bimbang.

"Hakimi,pandang muka aku Hakimi.Aku ingin suarakan sesuatu.."

Aku menjadi kaget,ragu dalam penantian bicara pelik gadis itu.Sesekali suara orang berteriak girang di atas perahu layar di pantai Oose itu memecah suasana damai petang.

"Ya,apa Hanako?"

"Hakimi,hampir 3 tahun aku mengenali kau,menyenangi kau..dan..",bicaranya tersekat di situ.Gadis itu bagai meraih kekuatan demi bicaranya yang amat penting.

Aku pandang masuk dalam anak matanya.

"Hakimi..",bicaranya mati lagi.Sebuah Mazda RX8 edisi terbaru menderam laju di sebelah keretaku,meninggalkan bingit yang bukan kepalang.

"..menyenangi kau,dan akhirnya menyenangi Islam yang kau ledani..",aku menjadi gamam.Kelu.

"Ajari aku dengan Islam.!.Aku sudah jatuh cinta dengan Islam..",di wajahnya ada air mata yang mengalir perlahan.Aku seka cermat air yang bergenang itu.Aku senyum ikhlas pada gadis itu.


Hakimi,
Bagaimana ingin aku suarakan rasa hati aku pada kau.Naluriku benar-benar bersuara tentang kematian.Sungguh.!.Aku rasa aku tidak sasau dalam dunia yang nyata.Tetapi begitulah,hari-hari yang mutakhir seperti sebuah wayang yang bercerita tentang kematian.Sekujur tubuh yang besar agam seakan berjubah putih yang sering datang memberi salam dengan senyuman.Aku bingung.Dia datang seperti membawa watikah kematian.Dan,aku dapat rasakan detik itu kian dekat,Hakimi.

Cuma,andai bicara naluri aku benar,aku harap kau redha dengannya.Maafkan segala kesilapan aku yang dulu.Dan untuk kau,aku telah lupuskan segala kesalahan yang mungkin ada.

Dan,kalaulah kematian itu sebuah kebenaran yang dekat,aku menjadi hambaNya yang cukup syukur,kerna aku sudah bernaung di bawah payung Islam.

Dan,izinkan aku membawa cinta tulus kita bersama dengan denyut nadiku yang bernama,Nur Hana Kimura


"Hakimi..ada panggilan telefon.",suara mama sayup-sayup dari tingkat bawah.

Jantung menjadi sedikit laju gegarnya.Fikiran menjadi sedikit celaru.Tulisan Hana yang pelik benar butirnya,sambil-sambil otak ligat meneka gerangan pemanggil di hujung talian.Aku paling benci dengan panggilan di ambang maghrib begini.!.

"Hello,Assalamualaikum.Ya,Hakimi bercakap di sini.Siapa ya?"

Senyap.Kedengaran hanyalah desingan perlahan,persis talian telefon yang terganggu.Selebihnya,tangisan sendu.Aku menjadi kaget.

"Hello,Hakimi di sini…",aku mengulang bicara.Mungkin lawan di sana tidak jelas pada bicara aku.

"Hello..",aku menangkap bicaranya,disulami tangisan yang merongoi-rongoi.Dan,bicara itu dalam bahasa Jepun, menambahkan rentak kencang pada debar jantung.

"Ya..ya..kenapa..?Boleh saya tahu siapa bercakap di sana?.",aku tiba-tiba menjadi kalut,lewat asakan bimbang.

"Kimi..ini okaasan..",suara tua yang makin aku perasan empunya gerangannya.Cuma,iringan tangisannya itu membangkitkan curiga dan bimbang memuncak.

"Kimi..Hana sudah tiada,Kimi.Dia kemalangan di laut siang tadi..",ibu Hana yang aku senangi dengan panggilan okaasan itu berbicara dalam riak tangis yang tidak menentu.

Aku menjadi lemah benar.Sendi badan terasa seperti mati mengejut.Gagang telefon terasa hampir terlucut dari genggam.Berita dari okaasan benar-benar meragut langsung segala kekuatan.

"Innalillah hiwainna ilaihiraji’un.Sungguh,dari Dia kita datang,dan akhirnya kepada Dia kita kembali.",suara itu berbicara tanpa sedar.

"Okaasan,bersabar lah okaasan..",aku cuba membisikkan kekuatan untuk ibu malang itu,walaupun hakikatnya aku sendiri sudah tidak berdaya langsung.

Usai maghrib,aku tidak langsung gegas dari sejadah.Perlahan mengambil ruang,mengucap isti’far pada Tuhan yang telah menciptakan kehidupan pada insan.Lama ratib aku di sisi sejadah.Doa aku terlalu panjang.Menyebut nama Nur Hana Kimura dalam doa yang khusyuk itu,menjadikan aku sayu benar.

Kematian,sebuah kepastian.Hari ini,dia pergi,mungkin esok atau lusa catatan ajal untuk aku sudah tersedia.

Tidak sudah,bersambung dengan solat jenazah secara ghaib.Panjang dan ghalit dalam doa aku padanya.Mudahan dia bahagia dengan Islam yang tersampai padanya.




ILHAM HAMDANI at 1.10.03

Assalamualaikum,

Berfikir-fikir untuk mengemas rumah yang hampir-hampir seperti tongkang karam[tak jadi tongkang karam lagi,tongkang separuh karam.].Bukannya apa,barang-barang yang aku bawa balik dari Malaysia masih terhambur di tengah ruang tamu.Rempah karinya masih di dalam kotak,belum ada kekuatan[?] untuk memindahkannya ke kabinet bawah dapur.Beg pakaian yang dipenuhi dengan helaian jersi Real Madrid[aha,hajat hati nak menjualkan pada saing-saing Jepun atau Brazil yang gila bola],masih terbungkam di tengah laman rumah.Sakit juga mata.!.

Talian telefon masih bermasalah.Entah lah.!.Aku pun tak pasti.Nak kata aku tak bayar,semalam sahaja aku sudah ke konbini melunaskan bayaran untuk dua bulan yang aku tertunggak.Jadi,sepatutnya sudah tiada masalah lagi.Sudah boleh on,sudah boleh melayarkan internet.Tetapi,begitulah.Tengoklah,kalau punyai kesempatan nanti aku telefonkan NTT.Mudahan dapat selesai sesegera mungkin.

Semalam,hanya bertiga dengan Qusai dan Musa bertadarus di surau.Lama tak ikut serta,menjadikan aku sedikit janggal,terutama ketika berbicara dengan Qusai.Rasa-rasa seperti tiada wadai [topik] nak memulakan sembang-sembang.

Awal Subuh,bersengkang mata untuk RealMadrid dan FC Porto.Su-ta Gundan da real menang 3-1.Tetapi,tak puas hati sangat dengan permainan.Nampak benar Real yang terlalu tempang tanpa kesebelasan utama.Tanpa Beckham di tengah,Raul yang sering berganding Ronaldo di depan,dua-duanya cedera,menjadikan Real seperti kereta semput.Perpindahan Makalele,persaraan Hierro,pada aku,RealMadrid bukanlah the dream team.!.

Mujurlah Zidane banyak berperanan menghidupkan mood permainan.Kesian dia,kepala yang sedia botak berdarah terkena lutut lawan.Atau,sesekali aksi akrobatik Casillas di gawang Real.Selebihnya,bosan.!.
ILHAM HAMDANI at 1.10.03

Tuesday, September 30, 2003

Assalamualaikum,

Semalam di hujung petang,sengaja mengambil masa membelek halaman-halaman jurnal teman yang sekian lama tak aku kunjungi.pakdi , kaksu [takziah di atas keuzuran,mudahan segera sembuh], kemai [aha,berwajah baru nampak] ,dan beberapa laman yang lain.

Menjenguk ke laman mat jan ,ada pula beberapa edisi gambar jurnalis.Baru lah kenal yang mana satu pakdi,yang mana satu enmiya.

Enmiya ?O ya,tahniah untuknya di atas kelahiran Merentasi Sungai Sejarah.Sungguh,kekadang dilanda rasa cemburu melihat dia.Seorang lulusan agama dari Mesir,tetapi cukup ampuh bermain dengan garapan tulisan.Karya-karyanya sudah cukup gagah di tengah arus penulisan Melayu-Malaysia.Cemburunya.!.
ILHAM HAMDANI at 30.9.03

Monday, September 29, 2003

Assalamualaikum,

Masih dengan demam,demam homesick.!.

Gila,seingat aku tak pernah aku jadi begini,tetapi kali ini jadi ala-ala homesick lah pula.Masa zaman comel-comel muda-muda datang ke Jepun dulu,tiadalah pula asyik mandom semacam begini.Aku rasa masih dulu,extra-active ada lah.Em,mungkin sebab sudah jemu dengan Jepun,kot.

Tetapi,bukanlah asyik teringat pada Malaysia,cuma masih dengan mood Malaysia,mood santai-santai,mood makanan dimasak dan dihidang sampai depan hidung.Aduhai.!.Sudahnya lagi,terasa macam malas hendak bergerak ke sana sini,asyik hendak berkurung dalam rumah,tengok tivi,lepak-lepak.Gila,memang gila.!.

Bangunlah.!.Hidup perlu diteruskan.Matahari sudah jauh di atas pucuk gunung,takkan lah masih terrindukan sang pungguk yang sudah lama lena.Bangun.!.

tema akhir september : agi idup,agi ngalabah ,ops ngalaban

............................

Senja,ketika asar sudah hampir mangkat dijulang oleh maghrib,aku dengan Adam sampai ke kaikan Mito.[hostel untuk pelajar-pelajar luar Jepun.Di Ibaraki university,kebanyakan pelajar tahun satu dari luar Jepun dapat tinggal di hostel.Murah gila.!.].

Sebenarnya aku menemankan driver tak bergaji,lillahita'ala Adam yang datang ke Mito dengan misi khas.Aha,misi mengambil "rezeki" dari Malaysia.!.

Pagi semalam,kohai perempuan aku yang tahun satu,Sheda baru sampai dari percutian sebulannya dari Malaysia.Jadi,banyaklah habuan yang dibawakan untuk sempai-sempai kesayangannya,ahaks.Itu yang si Adam bersungguh dan beriya benar ke Mito.Aku?Mencari semangat yang hilang,ahaks.!.

Usai maghrib,menemankan kohai-kohai shopping barang-barang rumah sikit di Life Supermarket,kemudian bersusul di kedai elektrik Ishimaru.Kebetulan aku pun nak beli ayam di Life Supermarket,langsung disekalikan sahaja.

Itulah,sejak mutakhir ini,aku lihat banyak pula supermarket-supermarket di Jepun yang sediakan ayam halal.Entahlah,aku tak pasti samada,sebab semakin banyak permintaan,maksud aku komuniti Islam di Jepun semakin meningkat,atau orang Jepun semakin menyedari hakikat betapa ayam halal,ayam yang disembelih cara Islam jauh lebih bersih dan berkhasiat.Yelah,cara Islam,cara yang disuruh Tuhan sekalian alam,tentulah jauh lebih baik,kan?!.

Pertama kali beli ayam boneless,sebab berkira-kira dengan Shaiful,kohai lelaki aku,boneless lagi jimat dari ayam biasa.Akhirnya,beli sampai 5 ketul,termasuk pesanan budak-budak Hitachi sama.2 kilo,900yen[RM27],mahal juga,kan?!.Tambah-tambah bagi orang Malaysia,RM27 untuk 2kilo ayam,tentulah mahal amat.Tetapi bagi kami yang sudah biasa bermain dengan yen,sudah seperti alah bisa,tegal biasa.


ILHAM HAMDANI at 29.9.03

Sunday, September 28, 2003

Assalamualaikum,

Wah,sekian lama aku membiarkan BandarSepi menjadi sepi,bahkan terlalu sepi.!.

Maaf,kalau ada yang tertanya ke mana gerangan aku hilang,aku rasa aku sudah khabarkan pada kalian,aku pulang bercuti ke Malaysia.Aha,sebulan.!.

Di Malaysia,server laju sedikit dari siput yang bergerak dalam kesesakan jalan raya siput,jadi aku malas nak update segala kerja-kerja sehari-hari.Langsung,BandarSepi sepi sebulan.

Hari ini,setelah sebulan lebih[termasuk 3 hari,sejak aku sudah kembali ke bumi sakura],aku bermeditasi,akhirnya DatukBandar kembali.Harapan,dengan semangat dan aspirasi dan berwajah baru,mudahan.!.

Jepun?Tak banyak berubah.Hampir sama seperti aku tinggalkan lewat sebulan yang dulu.Kalau ada pun,sedikit.Daun-daun sudah mulai luruh.Itupun,tak banyak.Baru berjinak-jinak untuk luruh.Tunggu-lah sebulan lagi,akan tinggal batang-batang pokok yang togel.Dan,aku selalu cadangkan[ajak-ajak ayam jer..] pada teman-teman dari Malaysia,"kalau nak ke Jepun,datanglah ketika musim luruh,paling cantik seingat aku..".Ya,memang cantik.!.Percaya lah.!.



Entah malang apa,Jepun bergempa lagi baru ini.Pagi aku menjejak semula ke tanah permai bumi sakura,daerah Hokkaido di sebelah atas bergegar.Teruk juga.!.Khabarnya beratus-ratus orang yang cedera,tetapi tak kedengaran pula yang terkorban,mudahan tiada.!.Sampai ke hari ini cerita-cerita gegaran sesekali mencelah dalam berita-berita tivi.Kuasa Tuhan.!.

Aduhai,masih lagi terasa-rasa bayang hidup di Malaysia.Sungguh.!.Rasa macam tak puas bermesra dengan orang Malaysia.Aha,jangan didouble-meaningkan "orang Malaysia",ya.!.Balik ke sini pun,masih terikut dengan mood santai yang terbina lewat sebulan makan-tidur di Malaysia.Aduhai.!.

Betul lah orang tua-tua kata,"hujan batu di negeri sendiri,tetap lebih baik.".Walaupun di Malaysia,serba-serbi rasa macam kurang berbanding tanah orang Jepun nih,tetapi aku suka dengan Malaysia.Alah,di situ tumpahnya darah sulung,kan?!.

O ya,masa aku balik bercuti sebulan baru nih,aku sempat keluar makan sate di Awan Besar dengan seorang super-sempai yang sudah lama pulang terus ke Malaysia.Masa itu,aku on the way balik dari melawat seorang teman yang beranak kecil di Johor[tahniah utk pasangan itu.!.].Super-sempai itu bilang begini pada aku; "ko mesti rasa asing dengan suasana Malaysia,kan?!.Rasa macam bukan tempat sendiri.Nak bercakap ambil order pun rasa macam kurang yakin,kan?!.Rasa kekok belaka-belaka..".

Aku angguk,sambil tersengeh."Ala,biasa lah.Aku pun rasa begitu juga dulu,masa baru-baru balik.Sementara nak sesuaikan diri dengan keadaan Malaysia."

Ya,itulah yang aku rasa.Rasa terasing di bumi sendiri.Ambil masa juga untuk sesuaikan diri.Yelah,3,4 tahun di tempat orang.Serasa-rasa tanah orang itu sudah seperti kampung sendiri,seingat-ingat udara orang seperti oksigen kepunyaan sendiri.Lalu,padanlah terasa kekok bila sudah balik ke tempat asal.

Huh,susah juga.!.

O ya,untuk teman akrab yang sedang mengira hari untuk beransur dari bumi kangaroo[berapa hari lagi ya?40hari?],mungkin tulisan aku yang ini sebagai satu gertakan amaran untuk anda.Jangan terkejut bila anda menjadi orang Malaysia semula.!.




ILHAM HAMDANI at 28.9.03

Di tengah orang tua, dia-lah pemuda.
Dan,di tengah pemuda dia-lah ketua.
Bermazhab pada adil dan jujur,
berkitab pada sirah dan siasah.

IPIJepun mempersilakan anda semua ke program usrah-maya mingguan melalui YM kami,dan maklumat adalah seperti berikut;
i) JUMAAT,MALAM SABTU 8 MALAM
ii) SABTU,MALAM AHAD 9:30 MALAM
iii)PAGI SABTU 9:00 PAGI,KULIAH TAFSIR
iv) AHAD, MALAM ISNIN 8 MALAM

*mengikut waktu Malaysia.

Anda boleh pm kepada
addeen57,
shahreza03,
aznanhamat,
adiemad,
liya51

Name

URL or Email

Messages(smilies)

Diriwayatkan daripada Sahl bin Saad r.a katanya:
Janganlah kamu menghitung tarikh dari awal kebangkitan Nabi s.a.w dan hari kewafatan Nabi s.a.w. Janganlah kamu memulakan hitungan kecuali dari hari baginda tiba di Kota Madinah.

(Hadis Riwayat Imam Bukhari).

Israel hadapi kecaman baru di ICJ

THE HAGUE 24 Feb. - Israel hari ini menghadapi kecaman terbaru di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dari negara-negara yang menyokong tindakan Palestin mencabar langkah Israel membina benteng keselamatan di Tebing Barat.

ICJ bersidang selama tiga hari mulai semalam bagi memutuskan kewajaran pembinaan tembok keselamatan yang didakwa oleh negara Yahudi tersebut sebagai usaha untuk menghalang kemasukan pejuang Palestin ke wilayah mereka.

Bagaimanapun, Palestin mendakwa langkah itu merupakan taktik kotor Israel untuk menguasai kawasan Palestin kerana Tebing Barat merupakan wilayah Palestin.

Antara negara yang akan memberi keterangan pada perbicaraan kes itu ialah Jordan, negara yang paling tegas menentang pembinaan benteng keselamatan berkenaan.

Malaysia, Indonesia, Bangladesh dan Cuba merupakan negara yang paling kuat menyokong tindakan Palestin membawa kes itu ke ICJ.

PENANTIAN
[tulisan ini aku dedikasikan untuk seluruh pejuang]

Lahir di tengah kemelut yang berselut,
Lahir di tengah lumpur yang berlumur,
Kota Ismaliah 1906,
Tangisan bayi senyuman harapan ummah.

4 muka lewat la'natullah Mustafa makan khalifah,
Dia hidangkan wahdatul-ummah,
Bersatu dengan aqidah,
Berderap dengan mujahadah,
Berentap dengan sabilillah.

Dari desa-desa ke kota-kota,
Allah-lah matlamat kami,
Dari gurun padang ke gelanggang,
Rasulullah pimpinan kami,
Dari kota pasir Sinai, Alex Aswan,
Al-Quran perlembagaan tertinggi kami,
Dari denai-denai zahmah Kaherah,
Jihad jalan kami,
Dan,
Mati di jalan Allah cita-cita tertinggi kami.

Darah sudah jadi murah,
Mati sudah jadi sebati,
Penjara sudah jadi biara,
Dakwah sudah jadi lumrah,
Islam sudah jadi iltizam.

Menang,
Dan memang menang,
Cuma bila dan siapa?
Di sini, atau di sana.