Friday, November 07, 2003

Assalamualaikum,

Aku akan ke Tokyo pagi-pagi lagi, ada usrah kelompok kawasan Tokyo.Lalu, aku mahu tinggalkan kalian dengan satu renungan, Malaysia Negara Islam Contoh.!.

Assalamulaikum
>
> Saya adalah salah seorang pengajar di MRSM Kuala Klawang. Dan setahu saya
> ramai lagi sahabat-sahabat dari IPU yang mengajar di MRSM. Baru-baru ini
> satu arahan dari menteri(Nazri) untuk mengarahkan setiap pelajar perempuan
> untuk menukar penampilan mereka dari segi tudung. Tidak lagi dibenarkan
> memakai tudung tiga segi yang menutup dada tetapi dikehendaki memakai
> tudung yang diikat kebelakang yang memang menampakkan dada. Saya sebagai
> salah seorang guru asrama telah diarahkan untuk memberi tunjuk ajar kepada
> pelajar tentang pemakaian baru ini. Penguatkuasaan akan dijalankan pada
> tahun hadapan.
>
> Saya sebagai pendidik yang beragama Islam sangat sedih dengan arahan ini.
>
> Saya dan bebarapa orang guru telah bercadang untuk tidak mengikut arahan
> ini. Tetapi tidak tahu apakah ianya diterima atau tidak. Bagaimana dengan
> sahabat-sahabat yang mengajar di MRSM lain. Adakah arahan ini telah
> dikuatkuasakan dan apakah tindakan sahabat semua? Saya merasakan di
> dalam hal ini kita sebagai guru hendaklah bersatu hati untuk menentang
> perkara ini supaya tidak di jalankan. Saya amat mengharapkan pendapat dari
> sahabat semua yang InsyAllah dapat membantu masalah ini.
>
> *********
>[ ada nama dan alamat email guru yang menulis, tetapi aku padam demi keselamatannya.]
> MRSM KUALA KLAWANG

fesyen tudung terkini

surat pekeliling

petition

ILHAM HAMDANI at 7.11.03

Thursday, November 06, 2003

Assalamualaikum,

catatan
Tulisan ini adalah untuk dihantarkan pada sahabat editor di Mesir, mungkin gaya tulisan sedikit berbeza dari kebiasaanku.

................................


Kala masyarakat Islam di Jepun baru berlima hari memegang puasa, kantung email saya menerima dua pucuk warkah eletronik, dan kedua-duanya dari Mesir.Butirnya pun hampir sama; mahu saya menulis sedikit seputar suasana Islam di bumi sakura.Saya memikir sendiri, mahu berkongsi apa ya dengan teman-teman di tanah anbiyak.

Lalu, bagaimana kalau saya bercerita tentang Ramadan dan sedikit nanti saya heret kepada dunia Islam Jepun?.

Ya, Ramadan di sini tidak banyak bezanya dengan tempat-tempat lain; ada terawih,ada iftar dan ada sahurnya.Cuma yang sedikit berbeza dengan orang di Malaysia, tiada kereta mayat mengangkut orang Islam yang ponteng, dan tiada pesta ibadah, oh maaf, pesta juadah, pasar Ramadan.!.

Kalau di Ibaraki sini, terasa benar ukhuwwah Islamnya.Dua minggu berpuasa, sudah dua iftar kami ledani, dari pamili SriLanka dan Jordan.Menyusul nanti, iftar istimewa dari warga bujang Malaysia pula, InsyaAllah.Dan, malam hari tentunya masing-masing tidak mahu lepas dengan Terawih, di sini 8 rakaat, atau 20 rakaat dengan satu juzuk, atau kadang-kadang sejuzuk lebih.Huh, boleh tahan lenguh-lenguh jadinya.

Dan, rata-rata masjid di Jepun membuat perkara yang hampir sama.Masing-masing cuba khatamkan Al-Quran untuk sepanjang Ramadan.Di Tsukuba, kawasan yang bersebelahan dengan bandar Hitachi ini, lain sedikit.Imam akan baca separuh juzuk dalam Terawih, dan separuh lagi dalam tadarus lepas Terawih.Menarik juga.!.Dan, banyak juga masjid-masjid yang mengambil imam hafiz sepanjang-panjang Ramadan, kadang-kadang ada yang dari Malaysia, misalnya Masjid Hachioji di negeri Saitama.Khabarnya, imam Ramadan dari Malaysia, Ustaz Taufik.

Mungkin ramai yang tertanya-tanya dan agak aneh; "banyak ker masjid di Jepun nih?".

Ya, mungkin suasana atau berita muslim di Jepun kurang mendapat liputan dari media antarabangsa, almaklumlah ia mahu terus dalam low-profile nya, ibarat api dalam sekam.

Alhamdulillah, dalam tiga atau empat tahun kebelakangan ini, perkembangan Islam berlaku dengan cukup pesat sekali.Subhanallah.!.

Pernah sekali, saya ikut sembang-sembang dengan Dr Salleh Samarai, Pengarah ICJ [ Islamic Center of Japan], katanya mutakhirnya banyak sangat permohonan sampai pada pihak mereka untuk buat masjid.Sampai tak menang tangan katanya; di sana sini.Kalau rujuk dengan pihak Kedutaan Arab Saudi pun sama, permohonan untuk bantuan membina masjid terlalu banyak, hingga tak tahu mahu satu mahu dilayan dulu.

Bercerita dengan seorang teman di Tsukuba [ orang kuat Surau Tsukuba, AJK Penerbitan ], sebelum bulan Ramadan baru ini imam Masjid al-Haram Mekah datang melawat ke tempat mereka.Wah, bertuahnya saya kata.Al-kisahnya di Tsukuba ini, Islamic Community mereka telah beli sebuah kilang yang rugi, dan mereka sedang ubahsuai untuk jadikan masjid.Tetapi, kata sahabat ini, mungkin makan masa juga untuk dapatkan sebuah masjid yang betul-betul rupa masjid.Tetapi, tak mengapa, paling kurang mereka sudah bermula.Jadi, kedatangan Imam Masjid al-Haram itu sebagai promosi untuk kutip derma dari kerajaan Arab Saudi, mudahan orang-orang kaya Arab terbuka hati.

Sekitar tiga minggu lepas pula, saya menerima email, juga sebuah berita gembira.Antara isinya, kami yang di sekitar Tokyo dijemput untuk majlis pecah tanah dan peletakan batu asas untuk Masjid Chiba [ Chiba, ialah negeri di sebelah Tokyo, sekira-kira sejam perjalanan dengan keretapi], lalu Alhamdulilah.!.

Beberapa tahun dahulu di negeri Gunma [ ramai eksperiat dari Pakistan di sini,agak besar jumlah mereka], kumpulan Tabligh telah berjaya mengambil-alih sebuah kedai kasino 3 tingkat [ di sini dipanggil pacinko ], dan ditukarkan menjadi masjid.Dan, usaha dari sahabat-sahabat tabligh ini berterusan, saban cuti-cuti panjang pasti ada mereka untuk menebarkan lagi agama Tuhan ini, termasuk untuk orang Jepun.

Di mana-mana di bumi sakura, Islam menanti masa untuk sampai ke hati-hati orangnya.

Ketika dunia masih panas dengan tragedi WTC di Amerika, saya sempat bersembang dengan seorang sahabat yang agak rapat dengan orang-orang Masjid Kobe; [ sahabat ini jadi sukarela mengajar Al-Quran untuk anak-anak kecil ] dalam tragedi gempa bumi Kobe 1990, satu-satu bangunan yang tidak roboh adalah masjid ini.Kalau melawat ke Masjid Kobe [lihat gambar ], ada dipaparkan gambar tragedi dan bukti bergambar.Subnallah.!.

Menurut sahabat saya ini, sepanjang beberapa minggu selepas tragedi WTC, hampir setiap hari ada sahaja rombongan-rombongan orang Jepun yang datang melawat masjid, sambil mendengar hal kebenaran Islam yang sebenarnya.Katanya, bagus juga tragedi WTC, orang Jepun tertarik mahu dengar tentang Islam, saya senyum sahaja.

Tokyo?.Jawapan saya; Alhamdulillah.!.Walaupun mungkin tidak serancak negara-negara Islam, tetapi sekurang-kurangnya kita boleh menarik nafas di atas perkembangan mutakhir yang berlaku.Dalam pengetahuan saya, di Tokyo sahaja ada tidak kurang 10 buah masjid, samada yang kekal, seperti Masjid Tokyo, [lihat gambar ] atau ICJ yang saya ceritakan tadi, ataupun bangunan-bangunan yang disewa, lalu dijadikan masjid.Bahkan, sudah ada Institut Bahasa Arab di tengah-tengah Metropolis Tokyo.Begitulah.

Perjuangan?Perjuangan tentu perlu pada pengorbanan, kan?!.

Dan, kadang-kadang saya rasa kerdil di tengah-tengah orang yang pengorbanan mereka hebat, sumbangan mereka, derma mereka, hanya Tuhan yang tahu.Pernah beberapa kali saya mengikuti mesyuarat untuk menyewa sebuah bangunan untuk dijadikan surau di Mito [ ibu negeri Ibaraki, tempat saya ]. Setelah diambil ketetapan untuk derma jihad, lalu pengerusi majlis pun umumkan derma jihad, di depan mata saya, saudara-saudara kita dari Bangladesh; rata-rata mereka adalah pekerja dan ramai juga yang masuk secara haram, dengan senang hati keluarkan sekeping, dua keping bahkan mungkin berkeping-keping not 10,000yen[ RM300 ] untuk diinfakkan pada kerja-kerja dakwah.Wah, benar-benar rasa kerdil kala itu.!.

Kalau ke ICJ, hampir pasti bertemu dengan seorang tua; seringkali jubahnya putih, serbannya putih, janggutnya putih dan sudah berusia benar, agak-agak 70 tahun lebih.Dan, itulah Syeikh Nikmatullah.!.Orang tua ini sudah lama sungguh di Jepun, mungkin sudah 20 tahun, dan kerjanya dakwah.Pergi ke stesen-stesen keretapi, suakan sahaja pamplet-pamplet Islam, atau salinan kalimah Shahadah, "mudahan mereka Islam", bicaranya.Entah lah, saya sendiri tidak pasti sudah berapa ramai yang Islam di tangannya, yang pasti; ramai.!.

"Mereka ingin hendak memadamkan cahaya [ agama ] Allah dengan mulut [ ucapan ] mereka, dan Allah tetap menyempurnakan cahayaNya meskipun orang-orang kafir benci." 61:8





ILHAM HAMDANI at 6.11.03

Wednesday, November 05, 2003

Assalamualaikum,





senyum yang hilang kerna nama agama







Pagi ini, hujan renyai-renyai.Berlari-lari mengelak hujan, dan hanya berdua di surau, dengan Musa yang sembahyang sudah separuh Subuh.Mujur sempat berimam padanya.Mungkin dek sejuk hujan , lalu bro Ramesh yang selalu datang berjemaah Subuh jadi absen pagi ini.

Telefon adik sayang, tanya khabar peperiksaannya.Semalam kertas Matematik Moden, "lulus tu,InsyaAllah.Cuma,harap boleh dapat lebih baik.".Hari ini, dia ada kertas Matematik Moden.Mudahan dia berjaya.Ringkas sahaja panggilan aku, tidak mahu berlama-lama, demi masanya yang amat berharga.Mungkin, adik mahu buat persediaan terakhir.

Tadi, cuba merangkap-rangkap cerita untuk sahabat di Mesir, separuh jalan, ide langsung ghaib.Pagi ini, ide benar-benar kemarau; kemarau kala hujan renyai.Ataupun, mungkin ada jadi bantut dengan server yang tiba-tiba jadi perlahan macam semut.Sabar sahaja lah.!.

Tunggu-lah tengahari sedikit, mungkin ide lebih jujuh, harapnya.


ILHAM HAMDANI at 5.11.03

Tuesday, November 04, 2003

Assalamualaikum,

Ia seperti sebuah plot-plot drama, sebabak dan sebabak, seepisod dan seepisod, ia berangkai-rangkai dan seperti saling berkait.

Tengah minggu lepas, aku dan Senada-san berbahas pada keTuhanan, hujung minggu aku bawakan pamili angkat Jepun risalah Islam dan petang semalam, Senada-san kembali.

Dia datang pada aku, bertanya lagi pasal puasa [sebelum ini bicara kami banyak berkisar pada yakyuu, besball , tetapi sejak musim yakyuu tamat dan kebetulan Ramadan, dari yakyuu pada puasa.!.] Tetapi, kali ini nadanya sudah tidak menyerang seperti minggu lepas, lebih pada nada bertanya [adakah ini bunga-bunga hidayah?Wallahua'lam, sebab ini pengalaman aku yang pertama.Mudahan.!.].Lalu, aku jawab lah seadanya, sambil-sambil fikir dalam hati, "ini bola tanggung, jangan lepaskan peluang untuk smash."

"Senada-san, begini lah.Aku nak cerita lebih-lebih pun, tak pandai sangat.Jadi, esok aku bawakan kau risalah Islam.Ok?."

"Tak mahu lah.!."

"Ok laa, aku bawa, ya.Kau nak baca atau tak, tak kisah lah..".

Akhirnya, iya pun tidak, menolak pun tidak.Aku azam dalam hati, esok aku bawakan juga, dan sedikit manisan, sebagai umpan.

Mungkin betul dia tidak baca, tetapi siapa tahu anak-anaknya akan baca, atau siapa tahu, cucunya.Kerja kita sampaikan, selebihnya soal hidayah urusan Tuhan,kan?!.

Teman, doakan aku.!.

HAIKU


Aku sudah berjanji pada kalian untuk berceloteh sedikit pasal haiku [sajak?pantun? Jepun ] ini.Aku tidak pandai, aku pun baru sangat kenal haiku ini, walaupun sudah lebih 4 tahun di sini.Kalau mahu tahu lebih, boleh lawat ke laman haiku klik.Atau pun, kalian boleh tanya pada mba, ia lah antara mahaguru haiku.Dan, aku pun berguru dengan dia malam minggu yang baru lalu.O ya, untuk orang Tokyo yang berminat dengan haiku, boleh hubungi aku, mungkin kita boleh buat VC[ video conference] dengan orang Malaysia, kata mba

i : yang tulen-tulen


Asasnya begini, haiku ada 3 baris, dengan barisan pertama ada 5 sukukata, barisan kedua ada 7 sukukata, dan barisan ketiga ada 5 sukukata.Contohnya;

DI/ BAN/DAR/ SE/PI [5 sukukata]
A/KU/ SE/O/RANG DI/RI [ 7 sukukata]
CIN/TA/ A/BA/DI [5 sukukata]

*haiku ini adalah tulisan mba untuk aku.

Dan, biasanya di atas haiku ada sekeping gambar, menjelaskan lagi maksud haiku.

ii : yang bikin-bikin


Datang dari Jepun sebagai haiku , tetapi ketika sampai ke tangan aku, sudah jadi HAI-WAH [ haiku dakwah ], HAI-RAH [ haiku sirah ] dan HAI-TIK [ haiku politik ].Maaf lah, dari aku untuk pencinta haiku.

Hai-wah




Dedaun gugur
Nanti datanglah salji
Pujilah Tuhan



Hai-rah




Malam pertama
terjun ke medan jihad
syahid Hanzalah

Mudanya kaya
perginya pada papa
mujahid Mus'ab

Hamzah pun pergi
pada sebatang lembing
sedihnya Nabi



Hai-tik




Penjara Islam
bebas dalam ikatan
lawan tetap lawan



ILHAM HAMDANI at 4.11.03

Monday, November 03, 2003

Assalamualaikum,

Iftitah


Aku menarik nafas panjang, fuhhh..hembus dengan lapangnya.Syukur, aku masih diberi pinjaman oleh Tuhan sebuah nikmat kehidupan.!.



Kita merancang, Tuhan pun..

i


Berpagi-pagi Selasa, memikirkan apa untuk beralas pada sahur.Bernada malas, aku hanya merancang untuk telur goreng, serunding buatan opah dan kicap sebagai kuah.[kalau tahu dek opah di kampung, mahu berlinang air matanya mengenangkan cucu nan seorang di negeri orang.]

Tetapi, begitulah.Tuhan merancang yang lain.

Belek pada mesej di YM, Syed ajak bersahur di rumahnya.Katanya, ada kari. Alhamdulillah.!.

Kala tengah bersolat witir, datang bunyi telefon, "Addeen, cepat sedikit.Kita bersahur beramai dengan Qusyairi sekali.".

Akhirnya, sahur jadi bertiga.Qusyairi ada sayur campur, Syed dengan kari ayam, dan kebetulan kohai perempuan, Fauziah ada berikan Qusyairi pajeri nenas, kata Qusyairi; Fauziah balas pajeri yang dia beri dua bulan dulu.O, berbalas-balas pajeri rupanya.Syed sampuk, kalau begitu esok aku beri apa-apa dengan Fauziah, mesti nanti Fauziah balas dengan masakan yang lebih istimewa.Kau beri tak ikhlas ye Syed,ahaks.!.

Lepas sahur, Qusyairi siapkan masing-masing secawan nescafe panas sambil-sambil menanti masuk Subuh dan ramai-ramai ke surau.

Lalu, hidangan sahur hari ini benar-benar jadi istimewa.

ii


Semalam, aku bersembang lama dengan mba, kak ella dan kak inaibak tentang haiku [sajak Jepun].Menarik juga seni Jepun yang satu ini.

Lalu, untuk hari ini aku merancang untuk berkongsi haiku dengan kalian.Sudah aku siapkan sebuah haiku [ o tidak, aku memanggilnya dengan HAI-RAH; Haiku Sirah] untuk aku paparkan di sini.Malangnya ada sedikit masalah, lalu langsung cancel jadinya.Aku bawa ke esok, InsyaAllah.

Mahu tahu apa itu haiku?. Datang lagi esok, ya.!.

i & ii

Nah, manusia sebenarnya terlalu kerdil dalam merancang.Kita merancang, Tuhan pun merancang, siapa yang menang?


warkah dari mesir


Petang semalam, terperasan dalam kantung email ada 2 warkah eletronik dari bumi Mesir; minta aku tuliskan pengalaman hidup di Jepun, katanya mahu dimasukkan dalam majalah mereka untuk segmen Salam Benua.
Jangan tanya aku, bagaimana mereka bisa hubungi aku.Aku sendiri tak pasti.Cuma, beragak-agak mungkin mereka sebahagian daripada pengunjung BandarSepi.

Aku rasa mereka dari sumber yang sama, cuma orang yang bekerja untuk satu tugas itu dua.Tetapi, skop yang dipohon pada aku berbeza sedikit; satu mahu aku bercerita tentang belajar di Jepun,dan isu semasa di sini, dan satu lagi tentang pengalaman ramadan di sini.Nampaknya, mungkin aku kena buat dua.

Lalu, aku balas dengan ringkas, "InsyaAllah, saya akan cuba penuhi sesegera mungkin."

Permintaan sebegitu, adalah satu penghormatan besar bagi penulis kerdil seperti aku, ibarat kata; seperti DatukBandar dapat TUN, ahaks.


ILHAM HAMDANI at 3.11.03

Sunday, November 02, 2003

Assalamualaikum,

Awalan, aku utuskan doa ikhlas untuk insan-insan yang akrab; adik bongsu Mohd Helmi yang akan menduduki peperiksaan SPMnya hari ini.Mulanya memang bercadang untuk telefon pada malam semalam, tetapi aku menjadi alpa.Maafkan abang, adik.!.Lalu? Kala dinihari, jam masih 4:24 di sini aku telefon adik sayang, hanya untuk ucapan selamat.Ya Allah, berikan yang terbaik untuknya.Dia akan bermula dengan Biologi, dan aku doakan dia bermula dengan langkah kanan,mudahan.

Dua, aku iringi perjuangan seorang teman yang akrab di bumi Australia dengan doa tulus, mudahan dia jua beroleh kejayaan gemilang.Aku tahu, masih berbara marahnya pada aku [?], biarlah, asalkan dia bahagia dan tenang saat-saat genting sebegini. Ya Allah, hambaMu pohon kejayaan untuk seorang teman.



Menumpang Kasih Pada Yang Sudi


Setelah jenuh mencari lapang, akhirnya kami bertemu semula, setelah hampir tiga bulan tidak bersua.

Sebuah model menara KLCC, sepaket maruku, sepaket kuih tradisi yang aku terlupa namanya, dan 3 risalah Islam bertulis Jepun, semuanya ole-ole untuk ibu dan ayah Jepun.Menumpang kasih pada yang sudi..!.

Selepas berbuka dengan seketul snickers, maghrib dan bergerak sendirian ke rumah keluarga angkat Jepun, sedang teman-teman yang lain keluar berbuka di kedai Pakistan.Aku sudah berjanji dengan ibu angkat, mahu makan malam bersama dengan mereka hari ini.Ini kali pertama aku ke rumah mereka sejak balik dari Malaysia sebulan yang dulu, sebab itu ada ole-ole dari Malaysia.

"Ding-dong", suara loceng bersambung dengan suara orang menyambut di dalam.Ayah angkat.!.Jarang-jarang punyai kesempatan untuk aku bertemu dengan ayah Jepun, maklum-lah orang business, memang begitu.Ini pun setelah jenuh mengatur pertemuan.

Terus diajak ke ruang tamu, bertanya-khabar dan aku suakan buah tangan dari Malaysia, sambil bercerita apa-apa tentang barangnya.

"Ini pun dari Malaysia?", tanya ibu Jepun.

"Oh tidak.Itu risalah Islam.Saya bawakan untuk otousan dan okaasan.Baca lah kalau ada luang.",aku senyum.

Sudah lama aku berhajat untuk berikan mereka dengan risalah Islam, malangnya asyik terlupa bila aku ke rumah mereka.Dan, semalam baru lah betul-betul ingat.Tiada kegembiraan lebih besar bagi aku, melainkan keIslaman mereka.

"Sudah, sudah.Jangan bersembang lama di ruang tamu.Din-san yang berpuasa seharian itu tentu kelaparan, ayuh langsung ke dapur.", memang hati seorang ibu di mana-mana pun sama, mudah membaca perasan seorang anak.Mungkin inilah dinamakan naluri seorang ibu,kan..walaupun cuma ibu angkat.Subhanallah.!. [masa itu aku baru hendak rancak bersembang pasal politik Jepun dan Malaysia dengan ayah angkat, ini antara topik peberet kami berdua, selain golf." like father,like son",ahaks.]

Jejak masuk ke ruang dapur, kali kedua aku dengan dapur yang baru diubah-suai, ongkos ubai-suai sahaja RM60ribu, kalau tak salah ingatan aku.Aduh.!.

Ada hidangan istimewa, masakan nabe [masakan claypot], berasap-asap lagi.Berjinak-jinak dengan sarada [sayur mentah; ada tomato,hirisan bawang besar,dan satu-dua sayur segar lain.] dahulu, mungkin sebagai warming-up agaknya, sambil menunggu nabe benar-benar empuk.

Makan-makan sambil sembang-sembang, pasal percutian, pasal hidup sehari-hari, pasal Jepun yang makin banyak kes jenayah dan serba mak-nenek.Dari claypot kepada yogurt Turki dan buah-buah sebagai penutup. Dan, aku lah yang jadi jaguh makan.Ibu angkat asyik tambah sahaja udang rebus claypot dalam piring aku, dia tahu itu kegemaran aku.Dan, aku rasa berselera lah pula.Mungkin kerna enaknya, ataupun kerna mesranya; dua-dua.!.

Mulut banyak kerja.Satu untuk makan, dan satu untuk sembang.Lama, dari jejak ke situ sekira-kira jam 5:30, hingga jam 8:00 malam, itupun kerna mahu mengejari Terawih di surau.Kalau tidak, aku tak pasti sampai pukul berapa.

Sedang ayah angkat tak banyak makan, dia lebih banyak melawak, jadikan aku mangsa, atau ibu sendiri.Kala ayah angkat mahu jadikan aku mangsa kutukan, ibu angkat selalu sebelahi aku, lalu jadilah perang mulut.Lucu pada lagak tengkar mereka, cemburu pada mesra mereka.Aku tumpang bahagia.!.

Tetapi, begitu lah dalam bahagia, dan ceria, aku tahu mereka merana.O ya, aku sudah ceritakan dulu-dulu, mereka hanya punyai seorang anak perempuan, dan sudah berkahwin dengan rakyat Amerika, sudah tidak berhajat untuk pulang tinggal di Jepun lagi.Kasihan.!.

Aku, ibu angkat dan ayah angkat, terasa seperti keluarga yang mesra.Syahdu juga.Dalam kejauhan dari keluarga sendiri di Malaysia, masih ada yang sudi memberi secangkir kasih.Syukur pada Tuhan.Dan, kesyukuran ku jadi lebih-lebih besar kalau,kalau..mereka juga berpayung pada Islam satu detik mendatang. [ tiba-tiba datang sebak dalam dada.]



ILHAM HAMDANI at 2.11.03

Di tengah orang tua, dia-lah pemuda.
Dan,di tengah pemuda dia-lah ketua.
Bermazhab pada adil dan jujur,
berkitab pada sirah dan siasah.

IPIJepun mempersilakan anda semua ke program usrah-maya mingguan melalui YM kami,dan maklumat adalah seperti berikut;
i) JUMAAT,MALAM SABTU 8 MALAM
ii) SABTU,MALAM AHAD 9:30 MALAM
iii)PAGI SABTU 9:00 PAGI,KULIAH TAFSIR
iv) AHAD, MALAM ISNIN 8 MALAM

*mengikut waktu Malaysia.

Anda boleh pm kepada
addeen57,
shahreza03,
aznanhamat,
adiemad,
liya51

Name

URL or Email

Messages(smilies)

Diriwayatkan daripada Sahl bin Saad r.a katanya:
Janganlah kamu menghitung tarikh dari awal kebangkitan Nabi s.a.w dan hari kewafatan Nabi s.a.w. Janganlah kamu memulakan hitungan kecuali dari hari baginda tiba di Kota Madinah.

(Hadis Riwayat Imam Bukhari).

Israel hadapi kecaman baru di ICJ

THE HAGUE 24 Feb. - Israel hari ini menghadapi kecaman terbaru di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dari negara-negara yang menyokong tindakan Palestin mencabar langkah Israel membina benteng keselamatan di Tebing Barat.

ICJ bersidang selama tiga hari mulai semalam bagi memutuskan kewajaran pembinaan tembok keselamatan yang didakwa oleh negara Yahudi tersebut sebagai usaha untuk menghalang kemasukan pejuang Palestin ke wilayah mereka.

Bagaimanapun, Palestin mendakwa langkah itu merupakan taktik kotor Israel untuk menguasai kawasan Palestin kerana Tebing Barat merupakan wilayah Palestin.

Antara negara yang akan memberi keterangan pada perbicaraan kes itu ialah Jordan, negara yang paling tegas menentang pembinaan benteng keselamatan berkenaan.

Malaysia, Indonesia, Bangladesh dan Cuba merupakan negara yang paling kuat menyokong tindakan Palestin membawa kes itu ke ICJ.

PENANTIAN
[tulisan ini aku dedikasikan untuk seluruh pejuang]

Lahir di tengah kemelut yang berselut,
Lahir di tengah lumpur yang berlumur,
Kota Ismaliah 1906,
Tangisan bayi senyuman harapan ummah.

4 muka lewat la'natullah Mustafa makan khalifah,
Dia hidangkan wahdatul-ummah,
Bersatu dengan aqidah,
Berderap dengan mujahadah,
Berentap dengan sabilillah.

Dari desa-desa ke kota-kota,
Allah-lah matlamat kami,
Dari gurun padang ke gelanggang,
Rasulullah pimpinan kami,
Dari kota pasir Sinai, Alex Aswan,
Al-Quran perlembagaan tertinggi kami,
Dari denai-denai zahmah Kaherah,
Jihad jalan kami,
Dan,
Mati di jalan Allah cita-cita tertinggi kami.

Darah sudah jadi murah,
Mati sudah jadi sebati,
Penjara sudah jadi biara,
Dakwah sudah jadi lumrah,
Islam sudah jadi iltizam.

Menang,
Dan memang menang,
Cuma bila dan siapa?
Di sini, atau di sana.