Saturday, November 15, 2003

Assalamualaikum,

Bersahur ramai-ramai di surau, lebihan dari berpuasa, berlauk 7 mata.

Menanti-nanti masuk Subuh, dan terus solat.

Balik, ambil ma'thurat, belek-belek isinya.Terasa-rasa sudah lama terlupa pada naskhah ini, lalai belaka-belaka, aduhai.!.

Usai mengadap ma'thurat, mengadap internet.Pagi ini ada mesyuarat persediaan Winter Gathering IPIJ.Terasa masih awal untuk terus berteleku menanti mesyuarat maya jam tujuh.

Ke ruang depan, baring-baring di sofa, sambil baca-baca buku yang baru aku terima petang semalam dari seorang teman; Perjuangan Wanita IM Zainab al-Ghazali.Terima kasih untuk teman daerah atas yang pinjamkan aku buku istimewa itu.Buku itu, sebenarnya mahu aku pinjamkan untuk seorang adik muslimat, tetapi aku sendiri belum baca lagi.Jadi, sebelum aku panjangkan pada adik muslimat itu, aku ambil peluang menggaulinya dulu.

Menarik kisahnya.Buku ini hanyalah terjemahan, dalam bahasa Indonesia. Tetapi, bahasanya tidak susah.Jadi, tak alah kalau para srikandi kita mahu baca.Bacalah, baru kita sedar di mana takuk kita sekarang.!.

Elok langsai tajuk satu, aku pun langsai juga.Terlelap.Akhirnya, telefon beberapa teman untuk aku ikut-serta dalam mesyuarat-maya langsung tak sedar[kebetulan telefon dalam bilik dalam, tidak dibawa sekali.], aduhai. Maafkan aku.!.



ILHAM HAMDANI at 15.11.03

Friday, November 14, 2003

Assalamualaikum,

Raja adil, raja disembah, raja zalim, raja disanggah.



Apabila aku memaparkan gambar PakLah dengan sedikit komentar, seorang teman cyber menyapa;

"Tulisan kau bias..",aku faham maksudnya.Aku senyum.!.

Prinsip aku jelas; kalau benda yang baik [ etc; imamkan solat, perangi rasuah ], jadi tidak alasan untuk kita menidakkan kebaikannya.Tetapi, yang baik, aku sokong, yang buruk, aku tidak bisa diamkan diri.

Rezeki dari langit


Dari malam bersambung ke pagi langsung tidak tidur, banyak tugasan perlu sudahi.Letih, kepalangnya.Tetapi, semuanya harus teruskan sahaja, hidup jangan selalu dimanja-manjakan.!.

Sudah menjadi lazim, berpagi Sabtu begini dengan usrah bersama pimpinan [?, pemimpin pun perlu dipimpin, paling aula dipimpin Al-Quran dan sunnah.].Hari ini memimpin tajuk ukhuwah, satu mauduk yang cukup besar, sedang diambil secara sambil lewa oleh ramai orang.Selepas nabi saw mendirikan Masjid Quba, apa lagi, kalau bukan persaudaraan antara Muhajirin dan Ansar.Dan, kala nabi saw masuk ke kota cahaya itu pada tengahari Jumaat, lalu baginda saw berdiri khutbah dengan tema; sebarkan salam.Semuanya ukhuwah, bukan?.Lalu, kita-kita yang mutakhir mengambil enteng, lalu kita hanya jadi bola-bola yang disepak ke penjuru kiri, dan ditolak ke kanan.Huh.

Sengaja memilih untuk berpijak pada buku tulisan Sheikh Yusuf Qardawi, 70 Tahun Al-Ikhwan Al-Muslimin Kilas Balik Dakwah Tarbiyah&Jihad.Aku sudah punyai buku ini hampir 2 tahun, tetapi masih belum hadam semuanya, lewat masa yang tidak menentu.Tetapi, syukurlah kala dibebani amanah membawa kumpulan ilmu sebegini, paling-paling datang dorongan tambahan.Mungkin inilah hikmah kesatuan.!.

Aku hanya menceduk-ceduk isu yang bertiang pada ukhuwah, sesuai dengan tajuk pagi ini.Hanya mencarik-carik pada permukaannya sahaja, tidak langsung ke dasarnya lagi.Itupun sudah tidak terpikul rasanya.

Subhanallah, kalau dibandingkan dengan IM, memang bagai langit ketujuh dengan bumi aras ketujuh.Tetapi, puas lah. Sekurang-kurangnya kita nampak role-model nya, tidak teraba-raba dan akhirnya memilih ideologi gila.

Dari pagi, berlangsung-langsung hingga ke Zohor, berhenti kala azannya. Sembahyang, dan bercadang untuk lelapkan mata.Letih.!.

Belum pun terlelap, Musa datang dengan senyum-senyum;

"Addeen, masakkan nasi ayam untuk iftar petang nanti.."

O ya, hari ini giliran pelajar Malaysia untuk sediakan iftar mingguan.Musa yang jadi ketua belaka-belaka, agihkan tugas, kumpul duit dan belikan barang.

Aku jadi keliru, terkenang dengan letih badan, terkenang pada permintaan [ itu arahan ketua juga..? ], akhirnya aku memilih untuk turut, turut permintaan Musa, dan persetankan nafsu tidur.

Musa pergi beli ayam 4 ekor untuk dimasak, mujurlah.Masa itu, sempat curi-curi untuk lelap sekejap.Dapatlah lebih-kurang sejam, dalam diganggu-ganggu dengan Qusyairi yang datang tanya itu dan ini.Sabar jer lah.!.

Pukul 3, masuk dapur.Ayam sudah ada orang lain yang tolong potong.Pegang bawang besar, putih dan halia, untuk dibuat sup.Sambil-sambil terfikir juga, masa cukup ker tidak nih.?.Akhirnya, tawakal juga.Terus memasak, memang tak menang tangan.Yelah, untuk masak nasi ayam untuk 25 orang, ulang nasi ayam, untuk 25 orang.

Faham-faham jer lah, nasi ayam, bukannya macam kari atau tomyam; buang seketul kiub tomyam dalam periuk berasap, sudah boleh basuh tangan, dan tunggu masak.[sebab itu, lelaki senang masak tomyam atau kari, mudah kerja, ahaks ].Nasi ayam; mulanya dengan sup, kuah sup mahu dijadikan air untuk tanak nasi, daging sup sebahagiannya mahu diperap campuran kicap dan sos tiram kemudian goreng.Ada lagi, kena buat sos cili.Ada lagi, kena ada hiasan, hirisan timun, tomato dan daun salad.Uih, remeh juga.

Masalah, masanya sejam.Memang macam pertandingan betul.!.

Teringat hujung tahun lepas, kena jadi kepala memasak nasi ayam juga.Tetapi, masa itu lagi ramai, memasak nasi ayam untuk beratus-ratus orang Jepun.Fuh, itu lagi susah.Garamnya tidak boleh lebih, sebab orang Jepun tak suka masin-masin sangat, pedasnya kena kurang, sebab tak tahan pedas.Cerewet.!.



Masa itu, ada festival kebudayaan di bandar Kita-Ibaraki, keluarga angkat Rashdan yang minta tolong budak-budak Malaysia masakkan masakan Malaysia.Malam sebelum hari festival, tak tidur kerna memasak.Siap tanak nasi dalam kawah besar lagi itu.[baru lah aku tahu, rupanya orang Jepun pun ada pakai kawah besar, macam kenduri-kendara di Malaysia.]

Tetapi, itu kenangan juga.Kenangan, tak akan hilang sampai ingatan jadi hilang diambil balik oleh Tuhan.

4:30 cukup-cukup, nasi ayam siap.!.Tetapi, tak puas hati juga, sebab rasa-rasa tak sempurna, bergelut dengan masa.Terus bawa ke surau.

Tengok-tengok makanan di surau, Ya Allah, Tuhan Kareem; ada nasi ayam aku, ada rendang kampung Qusyairi, ada ayam masak merah Fauziah, ada ayam goreng Adam, ada kari Syed, ada kek batik Sheda, ada coslow [betul ker ejaan dia?] Rashdan, ada, ada, ada, banyak lah. Aku kira-kira lauk-pauk sahaja, ada tujuh mata.Subhanallah.!.

Berbuka sedikit, maghrib dulu.Kemudian baru selesa mahu berentap.Rentap?Asta'firullah.Adakah ini bentuk kegembiraan yang Allah janjikan pada orang berpuasa?.Ini sudah melampau namanya,ish.!.

Jam 6 baru selesai belaka-belaka, balik untuk rehat, sebelum sambung dengan terawih nanti.

Rezeki dari langit.!.

ILHAM HAMDANI at 14.11.03

Thursday, November 13, 2003

Assalamualaikum,

+Pagi ini sejuk betul, aku bersin tiga, empat kali, langsung jadi selsema.Ini alahnya, kalau sejuk sikit, mulalah nak selsema, tapi mujur juga tak lama. Duduk di sebelah pemanas, kadang-kadang jadi tak keruan.Kalau hala betul-betul muka pemanas pada tubuh, jadi panas terlampau.Tetapi, kalau tak hala langsung, sejuk lah pulak.Aduhai, peniN, peniN.Ini yang buat nak lari balik nih [ nih kes demam raya nih, ahaks..]

+Dalam seminggu atau dua minggu lepas seorang teman cyber bertanyakan aku persepsi bahagia;

"Punyai sebuah keluarga dengan isteri solehah dan zuriat beriman.."

Dan semalam, di hujung perbualan telefon, aku jawab soalan yang hampir sama, tetapi pada orang yang berbeza;

"Kebahagiaan yang paling besar; kejutkan orang yang paling kita sayang untuk sama solat di tengah malam.."

Harga Sebuah Gambar




Gambar sebegini kalau bijak digunakan akan berikan impak besar dalam Pemilu ke-11 nanti, seperti gambar tengkolok salib KuLi bersama Pairin Kitingan yang akhirnya hanyutkan anak raja itu dari mimpi kayangannya dalam Pemilu '90. Esoknya, APU [ Angkatan Perpaduan Ummah ] cuba counter balik dengan gambar juga, TunM dengan "gelas" di tangan.Malangnya, APU kurang ampuh dalam permainan media, kalau tidak mungkin PakLah tidak berada di tangga sekarang.

Lupakan soal gambar, aku mahu bicarakan soal orang dalam gambar.!.

+Orang yang paling depan, dengan baju Melayu biru-ungu ialah orang yang paling berkuasa saat ini, selepas badan kehakiman.[ dengan menolak ketepi seketika persoalan sistem kehakiman yang runtuh.!.].Dan, gambar sebegini menjadi ganjil sejak 22 tahun yang lampau.

Mungkinkah ia satu petanda yang baik?.

+Kala orang yang paling depan pada saf itu ditabal sebagai ketua, ucapannya; "bekerjalah dengan saya, dan jangan bekerja untuk saya.", seperti mengambil roh dari kata-kata Saidina Abu Bakar ketika dibai'ah oleh Saidina Umar di Saqifah Bani Sa'idah; "Jika saya bekerja di atas landasan Islam, sokonglah.Tetapi, jika saya menyimpang, tegurlah."

Apakah ia akan mematikan roh ampusana~ampusini yang sudah berakar-umbi?.

+Orang yang sama, lewat ini sudah mengisytiharkan perang pada rasuah dan pembaziran pada majlis keraian.

Adakah dia mahu benar-benar lari dari bayangan orang sebelumnya?.

+Orang yang sama, pada 3 November yang baru lalu memberikan green-light kepada Datuk Zaid Ibrahim [ dalam kecoh-kecoh isu Datuk, peguam dari Kelantan ini tiba-tiba dianugerahkan Datuk oleh kerajaan Melaka.Entah apa jasa orang Kelantan ini pada orang Melaka, ya?] untuk membawa petisyen hudud tidak sah ke mahkamah.Dan, tengoklah nanti bagaimana hukuman Allah akan diadili di mahkamah manusia, dengan hakimnya ialah seorang Hindu, Datuk Pajan Singh Gill.

Masih kah ada harapan?.

+Sudah 2 orang bertanyakan pandangan aku tentang PakLah [ dia ingat aku ini penganalisis politik ker apa, ahaks.] ,dan jawab aku sama;

"Setakat ini, boleh lah.Beri-lah PakLah masa-lah, kita tunggu-lah, dan kita lihat-lah."

Dan, aku hanyalah penulis picisan, tidak selantang Umar al-Faruq;

"Kalau kau menyimpang dari jalan Islam, pedang ini akan betulkan kau."





ILHAM HAMDANI at 13.11.03

Wednesday, November 12, 2003

Assalamualaikum,

Berpagi-pagi, Subuh jadi tiga; Musa yang jadi imam, Rashdan dan aku ikut di belakang.Kala melangkah masuk ke surau, hujan seperti bermanja-manja, mahu turun.Pandang pada cermin kereta yang terpakir di sisi surau, nampak bintik-bintik hujan.Sudah 3 hari kala Subuh beriring-iring dengan renyai hujan, mungkin pagi ini pun sama, mungkin.

Selepas Subuh, renung langit, sudah tiada bintik hujan.Berlari-lari balik ke rumah, sejuk.!.

O ya, Rashdan bertanya tentang majlis iftar pelajar Malaysia hujung minggu nanti.Aku ok sahaja, yelah, orang lain semuanya sudah berbudi.SriLanka awal-awal lagi sudah beriftar, kemudian Jordan, dan Malaysia bila lagi, InsyaAllah hujung minggu nanti.Tetapi, tidak pasti lagi samada iftar Malaysia dibuat pada Sabtu, atau Ahad.Em, aku pula sudah merangka-rangka dalam fikiran, mahu berbuka di rumah keluarga angkat hujung minggu nanti.Tengok lah.Kalau iftar, hari Sabtu, aku ke rumah mereka hari Ahad, dan sebaliknya.Dan, itu pun bergantung pada mood juga.

Hujung minggu depan pula, adik-adik di Tokyo sudah jemput ke asrama, katanya ada majlis bacaan Yassin untuk peperiksaan, bersekali dengan terawih.Aku jawab; InsyaAllah.Minggu ini pun, di rumah kediaman Kedutaan Malaysia di Tokyo ada buat majlis berbuka puasa, tetapi aku mungkin tidak ikut serta, serasa-rasa tiada daya untuk ke Tokyo saban minggu.Lelah pada upaya, dan kantung wang.

Berpagi-pagi menerima beberapa SMS, ada yang bertanyakan sahur dengan apa, ada yang tanyakan mahu pinjam buku tokoh muslimah Islam.Aduh, berpagi-pagi jadi hot talian SMS aku.Membalas kembali SMS pada yang aku mampu, pada yang tidak mampu, aku mohon tangguh dulu.

Berpagi-pagi bersembang maya dengan Faizal, kawan karib sejak sekian lama dari zaman SyedPutra lagi.Lama juga tak ketemu dengannya.Dan, hari ini datang sempat untuk kami sembang-sembang.Lama juga, bercerita tentang raya dan belaka-belaka.Paling tak puas hati, dia asyik bercerita tentang masakan bulan puasa, aduhai, tercabar, memang tercabar.Sabar jer lah.!.

Berpagi-pagi menjenguk kantung email, aha, ada e-kad jemputan kahwin.Hai, zaman canggih sekarang semuanya main E sokmo.Kawan IPIJ sudah bertemu dengan jodohnya.Yang lebih menarik, dua-dua teman IPIJ itu akan jadi biras; "jodoh~jodoh"..Aku pun tak pasti, siapa yang ambil kakak, dan siapa yang ambil adik.Apapun, mudahan kalian bahagia, di dunia dan akhirat.


ILHAM HAMDANI at 12.11.03

Tuesday, November 11, 2003

Assalamualaikum,

Selamat kembali teman yang akrab ke Malaysia.!.

Pagi tadi dia sudah kembali semula ke Malaysia, setelah setahun empat bulan menumpang ilmu di Australia.Berlepas semalam, jam 12 tengah malam dari Melbourne, sampai KLIA jam enam pagi, dan bersambung ke Pulau Pinang, sampai jam sembilan begitu.

Tentu tengah bermanja dengan keluarga, aku hampir pasti.

Tahun lepas dia beraya di Australia, satu-satunya masa dia beraya berpisah dengan keluarga.Jenuh juga mahu memujuk supaya sabar.Tentu dia akan ingat kenangan beraya di luar negara itu sampai bila-bila.

Tahun lepas, kala-kala hampir dengan Syawal, sengaja aku telefon keluarga dia.Bicara dengan emaknya, bertanya perihal persiapan raya;

"Em, tahun ini [ maksudnya tahun lepas la.!.] tiada raya, kami semua berkabung.."

Aku cuma gelak dalam hati.Makcik, makcik.Baru sekali beraya tanpa anak di sisi, agaknya kalau orang tanya dengan mama aku, apalah dia nak jawab ye, sudah empat tahun tanpa anak sulung beraya bersama?.Begitulah, kasih ibu, kan?!.

Dan, tentu beraya meriah lah agaknya makcik yang berkabung raya lepas.Selamat hari raya, makcik.!.


ILHAM HAMDANI at 11.11.03

Monday, November 10, 2003

Assalamualaikum,

Aku pun tak tahu, ide tiba-tiba jadi benar-benar tumpul.Bukan tidak ada peristiwa besar, bermakna, bermanfaat yang bisa kongsi-kongsi sama kalian, tetapi semuanya jadi lumpuh.Bagaimana itu, ya?

Sembang-sembang, jalan-jalan


Malam Ahad itu sudah hampir ke hujung, ketika kami susur keluar dari Masjid Asakusa; masjid ini dibiayai warga pekerja Pakistan di sini, ada 5 tingkat,termasuk rumah imam di atas sekali.Berjalan kaki berenam, berpasangan-pasangan.Aku di depan dengan Afendi, di tengah, Shah dan Nizam, dan di hujung pasangan Nan yang tengah bernafas dalam mode honeymoon.Kami cuma pukul-kaki untuk kembali semula ke Stesen Asakusa, mengusur footpath yang sesekali berselisih dengan shakaijin [ pekerja ] yang baru pulang kerja hari Sabtu.Dinginnya 20 darjah, tetapi tidaklah terlalu mencengkam tulang hitam, sedang-sedang sahaja.

Afendi bercerita tentang ICJ [Islamic Center of Japan, kan ada sudah ceritakan baru-baru ini,cuba belek balik sedikit entri-entri yang baru lepas ].Khabarnya ICJ sudah mahu ditutup.Ya Allah, bair betul.?!.Aku baru bercerita tentang peranan ICJ, masakan sudah mahu berkubur.Dan, kalau benar,ia satu malang yang besar untuk komuniti Islam di Jepun.Kata Afendi, ada seorang bro tempatnya yang kenal rapat dengan mantan-director ICJ, mantan ini bercerita tentang kesedihannya bila kenangkan ICJ yang tenat kewangannya.Bayangkan, untuk membayar gaji pekerja pun terpaksa guna duit individu [pinjam dulu ].Pelik, ICJ sudah banyak sumbangkan kewangan untuk bina masjid-masjid lain di Jepun, sekali ICJ pula yang kekeringan duit.Aduh.!.

Dalam sembang-sembang, dalam jalan-jalan, dalam hati aku berdoa mudahan kewangan ICJ boleh diselamatkan.Ada sesiapa yang berikan suntikan modal?.Ini untungnya besar, dong.

Aku pula mengambil gilir bercerita, seputar kisah Badar yang aku kongsikan di Masjid Asakusa dan bersambung dengan hikmah Tuhan.Hikmah Tuhan?.Kala bercerita tentang hikmah Tuhan, Nizam yang bersaing-saing dengan Shah di baris kedua, mengintai-ngintai ruang untuk mendengar dengan lebih rapat.Menarik agaknya hikmah Tuhan ini?.Sedang, Nan dan isteri jauh tertinggal di belakang, alah..itulah kekurangan orang yang berkahwin, jalan rabu-rabu, ahaks.

Ya, ada manusia diberikan cuti oleh Allah kala-kala berpuasa begini; kalau manusia yang dapat cuti khas Allah ini mahu bekerja pun tidak boleh, bahkan haram.Dan, itulah hikmah Allah mencipta sesuatu.Kenapa mesti Allah berikan sesetengah manusia ini cuti, sedangkan Allah boleh ciptakan semua manusia sama, tanpa cuti-cuti?.Dan, yang lebih menarik, cuti yang Allah berikan ini, ada masanya Allah tarik balik untuk sementara waktu, dan ada kala yang lain,sepatutnya masa itu dia dapat cuti, tetapi cuti itu sudah dibekukan Allah selamanya.

Sampai di situ, Afendi sudah pening kepala.Aku senyum.Aku tanya; "ada dua masa cuti ditarik balik, satu bersifat sementara, dan satu selamanya.Ha, bila?".

[ ada orang pernah tanya aku hikmah Allah buat begitu, itu yang aku kongsi dengan kawan-kawan masa jalan-jalan. ]

Tiba-tiba Nizam yang di belakang, mencelah, menjawab.Dan,jawapan Nizam cuti yang dibekukan sementara oleh Allah betul.Cuma, Nizam tak boleh berikan kenapa agaknya Allah buat begitu.Lalu aku bercerita belaka-belaka.Teman-teman angguk, ada benarnya hujah aku.

"Ok, ok.Kita puasa ikut bulan,kan?!.Kita tidak puasa ikut edarnya matahari.Agak-agak kenapa Allah buat begitu?", Afendi tak puas hati sebab tidak dapat jawab hikmah aku, lalu dia pun keluarkan soalan yang baru.

Lama juga rupanya perjalanan antara Masjid Asakusa ke stesen keretapi bawah tanah Asakusa ini, sempat berbalas-balas cerita lagi.

Masing-masing senyap, tak ada ide.!.

"Ini buktikan keadilan Allah.!."

Masing-masing makin cenggang.

"Yelah, kalau puasa ikut peredaran matahari, misalnya kita berpuasa setiap tahun bulan November-Disember, orang yang duduk di hemisfera Utara seronok la, sebab siang pendek, dan tak panas.Kalau orang duduk Australia, bagaimana?Jenuh la, asyik puasa kena musim panas belaka."

"IC.."

"Jadi, bila puasa ikut peredaran bulan yang setiap tahun akan kurang 10 hari dari matahari, maka dalam tempoh 36 tahun, kita akan dapat satu pusingan tahun yang lengkap.Misalnya, tahun ini kita puasa pada Januari, tahun depan, berubah sedikit pada Februari, beransur-ansur dari bulan ke bulan, dan selepas 36 tahun, kita akan kembali puasa pada Januari."

"Sudahnya?", aku ala-ala pening lagi.

"Jadi, kita akan bergilir puasa pada setiap musim.Ada kena musim sejuk, masa ini orang bawah musim panas.Dan, nanti kita pun ada kena musim panas, dan masa itu orang Australia dan benua bawah senang alami musim sejuk, siangnya pendek dan kurang panas.."

"O.."

"Itulah keadilan Allah.!."

Lor, sampai ke situ budak Afendi ini memikir.
ILHAM HAMDANI at 10.11.03

Sunday, November 09, 2003

Assalamualaikum,

Ketika aku merangka-rangka ide untuk menulis entri untuk hari Isnin ini, aku sengaja membiarkan tivi bernafas dengan sendirian, tidak ada tuan yang memerhatikannya.Dan suara "banzai [ merdeka] saling sahut-menyahut sehingga ke pagi.Dan, semua siaran tivi menyiarkan berita keputusan PilihanRaya Jepun.Dari satu daerah ke satu daerah, aku pun naik pening.Tetapi, apapun yang pasti, Pemilu Jepun masih tidak sehangat Pemilu Malaysia.Bandingan perang poster sudah cukup untuk membayangkan kelembapan mode pilihanraya di Jepun.

Dan, aku pasti penuntut Malaysia di sini pun kurang ambil berat sangat perihal Pemilu Jepun, sementelah orang Jepun sendiri hanya sebelah mata pada soal politik kepimpinan mereka.

Apapun, Liberal Democratic Party [ LDP] yang dipimpin oleh Perdana Menteri Jepun, Junichiro Koizumi yang memenangi 237 kerusi masih mengekalkan majoriti suara di Dewan Rendah Jepun [kalau di Malaysia, macam Dewan Rakyat ], dan dengan disokong oleh New Komeito and Hoshushinto [ New Conservative Party ], lalu mereka membentuk kerajaan semula setelah melepasi 269 kerusi.Gabungan ketiga-tiga parti ini menguasai 275 kerusi Dewan Rendah Jepun, dan dijangka membentuk kerajaan baru minggu hadapan.

Cabaran sengit hanya datang dari Democratic Party of Japan, yang meningkat mendadak sebanyak 40 kerusi kepada 177.Namun, mereka masih gagal menafikan penguasaan LDP.Bagaimanapun, dalam persaingan blok mengikut negeri [tidak memberi kesan kepada pembentukan kerajaan] , Democratic Party of Japan menerima suara tertinggi dengan 22 peratus, diikuti oleh LDP dengan hanya 20 peratus.

Cukuplah bercerita tentang Pemilu Jepun yang pening.Dan, berita-berita Pemilu bersambung-sambung hingga ke pagi, dan banzai itu terus bersuara tidak henti-henti.

O ya, ada beberapa teman maklumkan pada aku; gambar raya aku sudah keluar pada suratkhabar.Malunya, ahaks.Itu gambar tahun lepas sebenarnya, gambar semasa kami buka gerai untuk hari Pesta Universiti.Aku pun tak pasti siapa yang kirimkan gambar lama yang kelabu sebegitu, mungkin Syed agaknya.Dan, aku pasti akan keluarkan sekeping lagi gambar untuk raya dari budak-budak Ibaraki.InsyaAllah yang sekeping lagi adalah gambar terbaru, yang lebih cerah dan ceria, InsyaAllah.

Dan, aku sedang memikirkan satu permintaan dari beberapa teman; mahu aku berikan alamat rumah.Konon-kononnya mahu hantar kad-raya pada aku.Aduhai.!.Leceh lah, tak nak beri, dikatakan sombong; "lor, aku bukan nak hantar bom, nak hantar kad-raya sahaja.", dan kalau beri,bimbang-bimbang; nanti penuh pula post-box aku dengan kad-raya, ahaks.

D102, Nakanarusawa-cho
3-6-25, Hitachi-shi
Ibaraki 316-0033

Sedia menerima kad-raya, duit-raya, cek-raya, kuih-raya dan segala yang berkaitan dengan raya, kecuali jalan-raya dan lebuh-raya.Maaf, rumah aku kecil, tak tahu nak simpan di mana kalau kalian berikan aku jalan-raya dan lebuh-raya.

ILHAM HAMDANI at 9.11.03

Assalamualaikum,

Senyum dalam awas


Berpagi hujung minggu di asrama adik-adik, lama aku tak ke sana.Seingat-ingat, ini kali pertama setelah sekian lama, lewat asakan kesibukan.

Bersubuh dengan adik-adik; adatnya yang tua yang jadi imam.Selepas solat, berselimut balik dalam gebar tebal, sejuk.Membelek-belek sedikit tulisan Syeikh Munir Ghalban, pakar-rujuk dalam bidang sirah, menanti mata jadi layu semula.Dan, lelap juga.

Hampir-hampir jam 10, baru mengeliat untuk bangun, itu pun sebab sudah berjanji dengan adik-adik untuk memimpin sembang-sembang ilmu.Lalu, bertemankan dengan Afendi, memimpin adik-adik berbicara tentang Muqadimmah Aqimah Muslim.Jejak jam 12 jua.Berakhir dengan senyuman, sebab aku kira ada satu "masalah" besar yang hampir dirungkai.Syukur pada Tuhan. Tetapi, senyum dalam awas.!.

[ Bagaimana agaknya ya, kalau anak-anak yang kita bela dengan kasih-sayang tiba-tiba dicuri orang?.Tetapi, mujur anak-anak tidak lupa pada ibubapa. ]

Jamak berdua dengan Afendi, dan bergegas tinggalkan asrama adik-adik, mengelak pokok hujan.Nizam ajak berbuka puasa di asrama, maaf lah, kami dalam gegas berkejar dengan masa.Kasihan juga dengan Nizam, keluar membeli barang semata-mata mahu menjamu abang-abang.

Meratah Pasar Ueno


Hujan di atas kepala seperti mahu luruh, tetapi hati berdegil untuk meratah pasar Ueno.!.

Bayangkan, sudah 4 tahun lebih duduk di pinggir Tokyo [ dari tempat aku, kalau dengan bas 2 jam, kalau dengan keretapi laju, sejam lebih] ,tetapi Pasar Ueno pun tak pernah jejak lagi.Dan, kalau tidak kerna menemankan Afendi yang berhajat mahu beli kasut 1000yen[RM30, tak beli pun.!.] , mungkin aku akan balik ke Malaysia dengan tidak jejak ke situ.

Bukan lah terlalu istimewa benar pasar Ueno, cuma di kalangan pelajar Malaysia kawasan Tokyo ini seperti sudah tersohor dari bibir ke bibir, lewat harga daging segarnya yang murah-murah, selain aneka rempah ratus yang ada dijual.Cuma, aku yang kurang berjalan, terutama untuk membeli dan terbelah sahaja yang tidak menjejak ke situ lagi.

Pasar Ueno; kalau boleh aku katakan mungkin mirip-mirip seperti Chow Kit.Ada lorong yang kiri-kanannya ada gerai-gerai segera.Orang berjual serba mak nenek.Dari jam Rolex [ aku pun tak pasti, tulen atau tiruan.Rasa macam tiruan, tetapi bila ditanya,RM800.!.], sampai lah serbuk kari, semuanya ada.Boleh juga dikata, pasar antarabangsa, daripada serai hidup, sampai durian yang sebiji-biji macam di Pekan Bota [ harga sebiji, RM90-RM100.!.] , semuanya ada.Dan, separuh dari pengunjung adalah pendatang, dan mungkin separuh dari penjual juga pendatang, terutama dari Tanah Besar China.

Turun ke tingkat bawah tanah, ada jual serba mak nenek daging segar; dari udang segar sampailah pada kura-kura.Sungguh.!.Mungkin orang Cina ramai yang beli, agaknya.Aku yang ternampak kura-kura, naik geli tengkok.Laju sahaja kaki beredar, takut-takut terkeluar isi perut.Sudah lah di depan sedikit, nampak daging babx yang sebiji-biji; "Ya Allah..", betul-betul rasa mahu terkeluar belaka-belaka.

Cukup lah sekali ini masuk ke Pasar Ueno.!.


ILHAM HAMDANI at 9.11.03

Di tengah orang tua, dia-lah pemuda.
Dan,di tengah pemuda dia-lah ketua.
Bermazhab pada adil dan jujur,
berkitab pada sirah dan siasah.

IPIJepun mempersilakan anda semua ke program usrah-maya mingguan melalui YM kami,dan maklumat adalah seperti berikut;
i) JUMAAT,MALAM SABTU 8 MALAM
ii) SABTU,MALAM AHAD 9:30 MALAM
iii)PAGI SABTU 9:00 PAGI,KULIAH TAFSIR
iv) AHAD, MALAM ISNIN 8 MALAM

*mengikut waktu Malaysia.

Anda boleh pm kepada
addeen57,
shahreza03,
aznanhamat,
adiemad,
liya51

Name

URL or Email

Messages(smilies)

Diriwayatkan daripada Sahl bin Saad r.a katanya:
Janganlah kamu menghitung tarikh dari awal kebangkitan Nabi s.a.w dan hari kewafatan Nabi s.a.w. Janganlah kamu memulakan hitungan kecuali dari hari baginda tiba di Kota Madinah.

(Hadis Riwayat Imam Bukhari).

Israel hadapi kecaman baru di ICJ

THE HAGUE 24 Feb. - Israel hari ini menghadapi kecaman terbaru di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dari negara-negara yang menyokong tindakan Palestin mencabar langkah Israel membina benteng keselamatan di Tebing Barat.

ICJ bersidang selama tiga hari mulai semalam bagi memutuskan kewajaran pembinaan tembok keselamatan yang didakwa oleh negara Yahudi tersebut sebagai usaha untuk menghalang kemasukan pejuang Palestin ke wilayah mereka.

Bagaimanapun, Palestin mendakwa langkah itu merupakan taktik kotor Israel untuk menguasai kawasan Palestin kerana Tebing Barat merupakan wilayah Palestin.

Antara negara yang akan memberi keterangan pada perbicaraan kes itu ialah Jordan, negara yang paling tegas menentang pembinaan benteng keselamatan berkenaan.

Malaysia, Indonesia, Bangladesh dan Cuba merupakan negara yang paling kuat menyokong tindakan Palestin membawa kes itu ke ICJ.

PENANTIAN
[tulisan ini aku dedikasikan untuk seluruh pejuang]

Lahir di tengah kemelut yang berselut,
Lahir di tengah lumpur yang berlumur,
Kota Ismaliah 1906,
Tangisan bayi senyuman harapan ummah.

4 muka lewat la'natullah Mustafa makan khalifah,
Dia hidangkan wahdatul-ummah,
Bersatu dengan aqidah,
Berderap dengan mujahadah,
Berentap dengan sabilillah.

Dari desa-desa ke kota-kota,
Allah-lah matlamat kami,
Dari gurun padang ke gelanggang,
Rasulullah pimpinan kami,
Dari kota pasir Sinai, Alex Aswan,
Al-Quran perlembagaan tertinggi kami,
Dari denai-denai zahmah Kaherah,
Jihad jalan kami,
Dan,
Mati di jalan Allah cita-cita tertinggi kami.

Darah sudah jadi murah,
Mati sudah jadi sebati,
Penjara sudah jadi biara,
Dakwah sudah jadi lumrah,
Islam sudah jadi iltizam.

Menang,
Dan memang menang,
Cuma bila dan siapa?
Di sini, atau di sana.