Friday, November 21, 2003

Assalamualaikum,

Jalan-jalan di tengah bandar, nampak banyak pokok paine, ada renda-renda lagi pada pucuk pokok.

"eh, awalnya sambutan untuk krismas, kenapa mesti krismas?mana sambutan eid mubarak?"

Kelip-kelip mata, oh, aku di Jepun rupanya.

...............



Inilah sebuah negara Islam contoh.!.

Kelip-kelip mata,

Eh, aku silap.Inilah sebuah negara yang perlu dicontohi oleh negara Islam.

Baru lah betul.
ILHAM HAMDANI at 21.11.03

Assalamualaikum,

Ah, apa lah ertinya sebuah perayaan bagi aku, anak rantau yang tercampak sebegini? [baca dengan nada sedih, ahaks.]

Jurnalis-jurnalis lain sudah ramai yang "tutup kedai" sempena kehadiran Aidilfitri.Satu, jurnalis-jurnalis sudah kemas beg balik kampung, dan duanya, pengunjung pun ramai yang balik kampung.

Ah, apa lah ertinya sebuah perayaan, tambah-tambah lagi kalau di tengah hari persekolahan? [sekali lagi baca dengan emosi, dan air mata sikit, ahaks.]

Jadi, aku adalah aku, terus menulis, dan menulis.Jadi, pada mana-mana pembaca yang senasib dengan aku, kalau kalian rasa gian sangat mahu baca jurnal, datang sahaja ke BandarSepi, ye.!.

Kenangan raya


Tahun pertama

Malam raya, kami semua berkumpul di kaikan [asrama ] di Mito, masa itu aku tinggal di sana, maklum lah tahun satu, dapat duduk asrama, murah.!.

Masing-masing semangat mahu berhari raya, tempat sembahyang rayanya di Tsukuba, sekitar 40km dari bandar Mito.Jadi, cadang-cadang akan bertolak dengan 2 buah kereta seawal jam 6 pagi, sembahyang raya mula jam 8, 8:30 begitu.

Galak bersembang sampai ke Subuh, jam 4 lebih, baru mahu tidur.Akhirnya, sedar-sedar sudah jam 6 pagi, bersiap-siap semua 6:30 baru bertolak.Hampeh.!.Sudah lah pakai Route 6 yang sememangnya jammed kalau masuk pukul 7 dan ke atas.

Akhirnya, bertakbir dalam kereta, sedihnya.!.

Campur sesat mencari bangunan yang dijadikan tempat sembahyang raya, akhirnya kami sampai jam 9:30 pagi.Elok-elok sampai, sedang elok jemaah raya pun keluar dari dewan sembahyang.Aduh.!.

Selepas masuk salam-salam, sembang-sembang sekejap, pergi BBQ di rumah Dr Awang, seorang fellow lecturer di Universiti Tsukuba, sampai ke malam baru balik.

Beraya dalam kereta lah kita.!.


Tahun kedua

Ha, tahun ini bersiap awal.Raya kali ini kebetulan jatuh masa tengah cuti musim sejuk.Aku sudah rancang awal-awal lagi beraya di Nagoya, sekali dengan x-roomate aku masa di UM.

Lebih menarik, sehari sebelum raya, salji putih turujun, wah bestnya.!.Jadi, tahun ini aku raya puasa dua kali, ganti yang tahun lepas.Satu, bergaya-gaya raya, dengan baju melayu lengkap dan possing dalam salji turun, dan esoknya, sekali lagi raya, barulah raya betul, di Port of Nagoya.

Pergi tempat sembahyang raya dengan kereta Nafa, x-roomate, dan rupanya 1/2 dari jemaah dari Indonesia.Wah, bicara Indonesia aku pagi itu.Khutbah raya disampaikan oleh seorang dari Palestin, atau dari negara Arab mana entah, aku dah lupa.Tetapi, menyentuh tentang semangat ukhuwah Islam.Semangat betul.!.

Selepas selesai semua, berjalan rumah terbuka budak-budak Nagoya, kenyang sampai sengkak-sengkak perut.!.

Tahun ketiga

Beraya di Kedutaan Malaysia di Tokyo.

Sehari sebelum raya, aku naik keretapi ke Tokyo, dan malam raya aku menolong jemaah di Institut Bahasa Arab di Hiroo, Tokyo menyiapkan juadah hari raya.Banyak tu..langsung tak tidur aku malam raya.

Sudah bagus menolong diaorg buat juadah hari raya, pagi-pagi aku cabut pergi sembahyang raya di embassy Malaysia di Shibuya, rindu dengan takbir cara Malaysia lah.!.

Raya kali ini meriah betul, maklum lah dapat kumpul ramai-ramai.Selepas sembahyang raya, ada buat juadah hari raya, kemudian orang-orang kedutaan buat rumah terbuka lagi.Ini memang sampai pecah perut makan, akhirnya mengalah.Tak larat nak isi dah.Tunggu juga, kalau ada duit raya ker, hampeh, ahaks.!.

Tahun keempat

Masa ini masih bersemangat dengan kereta wagon yang baru beli, langsung bertujuh ke Tokyo dengan wagon.Banyak lah pengalaman menarik semasa dalam perjalanan.Musa belanja kami makan di Dinesy, tengah-tengah sembahyang Subuh di tengah-tengah taman, sekali datang kumpulan makcik untuk senaman pagi.Langsung diajaknya kami ikut senaman sama, sedangkan kami tengah sembahyang Subuh.Solat sudah jadi lucu pulak, mujur tak terbahak sahaja, jenuh tahan gelak.Selepas sembahyang selesai, terangkan dengan makcik-makcik tua tu, kami tengan sembahyang tadi.Lepas itu,ikut makcik-makcik bersenam sekali.

Pagi raya bersenaman, join makcik-makcik tua, ahaks.!.

Lagi, dalam perjalanan balik, kereta kena hadang oleh Yakuza [aku agak lah, sebab samseng semacam jer ], kecut perut aku dibuatnya.Masa itu, budak-budak lain semua sudah pengsan kekenyangan, tinggal driver jer [aku lah tu..], kecut perut.Mungkin salah aku juga, biasa lah adik sedikit daripada Alex Yoong.Insaf sekejap, jadi pemandu tertib, tak lama jadi jaguh semula.Apapun, mujur tak der benda buruk berlaku.Cuma, gerun masih terlekat sampai sekarang.

Tahun kelima

Tunggu lah, belum raya lagi laa..



ILHAM HAMDANI at 21.11.03

Thursday, November 20, 2003

Assalamualaikum,

i


Pagi ini hujan lagi.Sudah beberapa hari Jepun hujan pagi.Ada kawasan-kawasan yang langsung jadi banjir, negeri Chiba, tempat Puan Kemai kita. Pula, dalam seminggu-dua yang terakhir ini banyak betul gempa bumi. Boleh dikatakan hari-hari ada sahaja makluman di tivi tentang gempa bumi di mana-mana kawasan.Tetapi, mujurlah semuanya hanya bersaiz kecil, tidak seteruk Kobe '90.Pun kecil-kecil, gementar juga jadinya.

Bersahur di rumah Syed.Aku bawakan masak lemak ayam aku dari rumah, ambil nasi rumah Syed, makan.Cari Syed, tiada pula, tengok kereta dia pun tiada.Mungkin dia ke rumah Ammar agaknya.Dan, langsung tertidur di sana. Lepas sahur, subuh berdua dengan Musa di surau.Ada bau bahan perasapan, mungkin Qusai yang bakar masa Terawih tadi.Bau bahan perasapan itu mengingatkan aku pada kedai-kedai di sisi Al-Haram Mekah. Kalau lalu-lalu untuk beli barang, bau itu sudah jadi biasa.

Bertuah lah siapa yang dapat peluang buat umrah kala-kala Ramadan begini, bertuahnya.!.Dari cerita teman-teman penuntut di sana, kalau bulan-bulan Ramadan begini, jemaah umrah naik mendadak, sedang banyak dermawan-dermawan arab yang buat majlis buka puasa.Mahu cari pahala lebih di musim-musim berpuasa.!.

Baru ini bersembang dengan HS, kebetulan HS pun sudah berpeluang mengerjakan haji.Jadi, dia bercerita; kalau di sana hari-hari teringat mahu buat solat, mahu baca Al-Quran, itu sahaja.Boleh kata, hati asyik teringat dengan masjid semata, sudah jadi lupa pada dunia dan lain-lain.Katanya lagi, susah betul mahu dapat suasana yang sebegitu kalau bukan di sana.Aku cuma setuju sahaja dengan kata-kata HS itu.

Hai, entah bila lah bisa dipilih lagi?Doa-doakan aku, ya.!.

ii


Malam nanti ada buat solat Tahajud, dan berlangsungan ibadah sampai ke Subuh esok; begitu kata Qusai dua hari sudah.Dan, nanti ada mesyuarat tentang sambutan Aidil Fitri bagi kami di sini.Rumah siapa yang buat rumah terbuka, dan sebagainya.Tetapi, aku rasa kemungkinan besar rumah terbuka ini ditunda ke hujung minggu.Mana tidaknya, hari raya jatuh di tengah minggu. Ada sahabat yang terpaksa duduk untuk peperiksaan lagi.Kali pertama berhari raya di tengah-tengah hari persekolahan.Hai, pengalaman, pengalaman.!.

Beberapa hari sudah, terima jemputan berbuka puasa dari adik-adik di Tokyo. Tetapi, bukan berbuka puasa sahaja, ada tugasan sekali rupanya;

2.Kami bercadang satu slot pengisian di buat utk majlis itu nanti dgn tajuk "INDIVIDU DAN PELAJAR MUSLIM ,APA PERANAN KITA" .Kami memohon jasa baik Abang utk mengisi slot ini.Tetapi jika Abang mempunyai idea yg lebih baik utk slot pengisian ini kami mengikut sahaja.


Ya, esok tengahari mungkin bertolak ke Tokyo.Hai, Tokyo lagi.!.Beberapa kali sudah buat image training tugasan yang diminta oleh adik-adik untuk buat pengisian.Aku memang begitu, jarang menulis di atas kertas, kalau diberi tugasan.Pertamanya, tidak punyai masa yang cukup, dan duanya, memang sudah terlatih untuk jadi begitu, apa nak buat.Aku rasa bukanlah satu tugas yang rumit mana, InsyaAllah.Cuma, masih mencari-cari ayat Al-Quran yang sesuai untuk dipadankan dengan isi yang bermain dalam minda.

Semalam pun, sudah tanya sedikit dengan Ustaz Abdul Ghani Shamsudin kala sembang-sembang maya dengannya. Yelah, aku hanya ingat makna, sedang ayat berapa, surah mana, tak ingat.Kebetulan sudah sembang-sembang dengan ilmuwan sepertinya, langsung aku minta tolong sahaja dari beliau.Ok lah.!.

Dua hari lepas, ada seorang teman cyber yang minta pandangan aku tentang projek dia [ sebenarnya dia sudah buat keputusan awal, cuma mahu nilai pandangan kedua, pandangan aku. ]


1. Dokumen Negara Islam PAS: Satu Analisis
2. Pengguguran Janin Menurut Undang-undang di Malaysia dan Perbandingannya dengan perspektif Islam
3. Poligami: perspeksi wanita berpendidikan tinggi di Kuala Lumpur
4. lelaki merawat wanita dan sebaliknya menurut hukum Islam
5. Perceraian melalui SMS menurut hokum Islam dan undang-undang keluarga Islam di Malaysia
6. Peminangan, perkahwinan dan perceraian melalui aplikasi internet: satu kajian hukum


Akhirnya dia pilih tajuk no.1, mungkin sebab tengah panas dan berasap lagi isunya, kot.

Dan, semalam aku terima email beserta dengan salinan draf Dokumen Negara Islam yang dibentangkan oleh YB TG Hj Abdul Hadi Awang baru-baru ini. Tetapi, aku masih belum punyai masa yang cukup untuk teliti puas-puas, cuma sekadar sambil lalu.Nanti lah, sedikit hari lagi mungkin.





ILHAM HAMDANI at 20.11.03

Tuesday, November 18, 2003

Assalamualaikum,

1 Syawal sudah makin di ambang, terkenang-kenang, terngiang-ngiang bicara Dr Harun Din pada satu khutbah raya di tengah-tengah pohon getah yang tua; [ pohon getah itu sudah bergantian dengan sebuah komplek Islam yang makin rancak, Alhamdulillah.]

"Perjuangan Islam ibarat air yang datang dari gunung, di tengah laluan, ada batu besar yang halang.Tunggu kau di situ, kami kumpul perlahan-lahan, nanti kami nyahkan kau ke laut."

19 November 1985-19 November 2003; aku hulurkan al-fatihah ikhlas untuk 14 syuhada Memali.Al-fatihah~

Sebenarnya aku mencari-cari juga kertas putih Peristiwa Memali, sayangnya tiada dalam cetakan internet.Juga, merangka-rangka sebuah karya dengan mengambil latar anak Memali dan peristiwa berdarahnya, sayang, tersekat pada hambatan masa.Tunggu lah, InsyaAllah.!.

Saudara!
Seandainya kau tangisi kematianku,
Dan kau siram pusaraku dengan air matamu,
Maka di atas tulang-tulangku
yang hancur luluh,
Nyalakanlah obor buat ummat ini
dan...
Teruskan perjalanan ke gerbang jaya.

Saudaraku!
Kematianku adalah suatu perjalanan,
Mendapatkan kekasih yang sedang merindu,
Taman-taman di syurga tuhanku bangga menerimaku,
Burung-burungnya berkicau riang menyambutku,
Bahagialah hidupku di alam abadi.

Saudaraku!
Puaka kegelapan pasti akan hancur,
Dan alam ini akan disinari fajar lagi,
Biarlah rohku terbang mendapatkan rindunya.

Janganlah gentar berkelana di alam abadi,
Nun di sana fajar sedang memancar..

[Ditulis beberapa ketika sebelum as-Syahid Syed Qutb menemui syahidnya]



................

Iftitah

Dalam sedar dan leka, sudah hampir separuh dasawarsa saya menghuni daerah asing ini, bumi sakura.Dan, terlalu banyak yang saya pelajari di sini, dalam dua kampus; kampus akademik dan kampus budaya.Dan serasa-rasa saya, kampus budaya dan adat bangsa samurai lebih banyak mendewasakan saya; mencabar segenap ruas fizikal, meruntun seluruh kudrat rohani untuk mengadapnya dengan penuh tabah.Cuma, dia tidak ada sebuah ijazah sebagai bukti pengajian.

Syukurlah kerna Allah membawa saya ke daerah ini, tidak pernah termimpi pun sejak sekian lama.

Terbudaya Islam di sini

Beberapa hari terdahulu, pertengahan Ramadan mungkin, terbelek pada ruangan Surat Pembaca,Harakah Daily.Seorang penulis mencadangkan kepada pihak berwajib supaya diadakan pengasingan antara lelaki dan wanita di dalam koc komuter.Lantas, ia mengembalikan saya pada sebuah kenangan.

Disember tahun lepas, saya dalam perjalanan pulang dengan teman-teman dari sebuah perkhemahan musim sejuk, dan kami berhenti seketika di stesen keretapi Osaka.Saya menjadi pelik bila terpandang sebuah papan tanda di pinggir landasan keretapi elektrik;

"Gerabak ini hanya untuk wanita pada masa-masa puncak 7:00pagi-9:00pagi dan 5:00petang-7:00petang."

Lalu, saya suarakannya pada seorang teman lain yang ikut sama dalam musafir itu.Rupanya sejak bulan Oktober tahun lepas beberapa syarikat keretapi di Jepun sudah mengadakan gerabak-gerabak khas untuk wanita. Namun, pelaksanaannya masih tertumpu pada bandar-bandar besar seperti Tokyo, Osaka dan Nagoya sahaja, belum meluas ke seluruh daerah. Dan, tidak semua syarikat keretapi melaksanakan sistem ini.Mungkin pelaksanaan sistem ini dilakukan secara berperingkat-peringkat.*

*Maaf, saya tidak pasti berapa banyak syarikat keretapi yang sudah melaksanakan sistem pengasingan sebegini.

Wah, pada saya itu satu langkah yang cukup baik, dan sejajar dengan Islam. Alasan yang diberikan; pertama, tentulah untuk mengelakkan aktiviti-aktiviti kurang sihat, cikang [ meraba ] misalnya.Anda boleh bayangkan bagaimana padatnya koc keretapi di bandaraya Tokyo yang mempunyai kepadatan penduduk seramai 11 juta, padat, sendat dan berlipat.Saya pernah sekali-dua menyertai jutaan manusia dalam koc pagi, serasa-rasa mahu bernafas pun tidak lepas. Lalu, semuanya boleh berlaku.

Alasan lain, termasuklah komen-komen dari golongan wanita yang mengatakan bau badan lelaki yang kurang menyenangkan.Masakan tidak, orang Jepun bukannya mandi pagi.!.

Ia sebuah fakta kebenaran.Orang Jepun, lelaki dan wanitanya tidak mandi pagi, sebaliknya mereka mandi malam, berendam lama-lama dalam tab mandi sambil minum tuak dan arak.Cumanya, golongan wanita Jepun terlindung pada bau semburan dan wangian mereka.

Dan, menurut cerita teman yang sama, sudah ada tuntutan dari golongan lelaki juga; mahu gerabak khas untuk mereka.Alasannya; semburan pewangi wanita Jepun terlalu wangi, dan pula pakaian separas lutut wanita kadang-kadang menaikkan nafsu."Berikan kami gerabak khas juga.!."

Pelik, pelik.!.

Itu cerita di atas gerabak keretapi, tuntutan Islam juga terzahir dalam jual-beli; ada aqad jual-beli.!.

Kalau kita membeli barang-barang di mana-mana sekali pun, ada aqad jual-beli yang mirip pada tuntutan Islam;

"Harga barangan, 357yen.Wang diterima 500yen, wang dipulangkan 143yen. Terima kasih, sila datang lagi."

Dan, ucapan biasanya dengan senyuman dan ramah-tamah.Jurujual mereka memang dilatih dan dipaksa berbuat demikian.Kita yang datang membeli, rasa puas, harga yang dibayar pada barang berbaloi, bahkan berlebihan.

Bagi saya yang sudah lama hidup dalam suasana begini, sudah tidak menjadi janggal.Tetapi, kala-kala membawa tetamu dari Malaysia, ustaz-ustaz jemputan misalnya, pantas sahaja rasa kagum pada budaya Jepun ini menyelinap masuk di hati tetamu Malaysia;

"Isk, orang Jepun pun ada aqad jual-beli sampai begitu noo..Orang Islam pun tak buat.", saya hanya tersenyum kelat mendengar ngomelan ustaz-ustaz ini.

Di atas-atas pamplet-pamplet pelancongan pula, kita selalu laungkan; " Rakyat Malaysia kaya dengan budaya kesopanan orang timur.".

Cuma, bila saya bandingkan, maafkan saya; "mungkin ungkapan sebegitu, indah khabar dari rupa.", ataupun mungkin saya terbias dalam suasana bangsa Jepun yang terlebih sopan, agaknya sebab negara Jepun terlebih timur, mungkin.

Kala pulang bercuti ke Malaysia misalnya, saya menjadi terlalu asing dengan ucapan "maafkan saya.", "terima kasih.", atau sekurang-kurangnya bahasa badan yang membuktikan adanya rasa hormat sesama insan.Sedangkan fenomena begini suatu yang murah di tengah-tengah masyarakat Jepun, hatta untuk seketul gula-gula yang murah, "Domo arigatou.", dan sebuah senyuman ikhlas.

Bukan lah tujuan tulisan saya ini untuk memperkecilkan bangsa sendiri, tetapi ia satu hakikat pahit yang harus saya terima.Kita, bangsa Malaysia yang beruar-uar dengan tema kesopanan dan kesusilaan seperti kemarau dengannya. Sayang.!.

Soal masa, saya rasa tidak perlu diulas secara teorinya, kerna semua orang sudah arif tentang bangsa Jepun.Lalu, bagaimana kalau saya berkongsi secara alami dengan anda?.

Pernah sekali, saya dan seorang teman jadi seperti Jack Dawson dan temannya dalam Titanic; melompat ke dalam perut kapal.Semuanya gara-gara kelewatan masa.Kami sampai ke pelabuhan sekitar 11:25 malam, membeli tiket, dan berlari-lari dengan beg di belakang, melompat masuk dalam kapal, dan duduk tidak lama sauh diangkat, kapal belayar.Rupanya kami orang yang terakhir.Fuh..

Sekali lagi, juga bersama teman dengan sama [ kala mengingatkan teman ini, saya mesti tersenyum.Kenapalah asyik dengan teman yang seorang ini sahaja kala mengejari masa.Aneh.!.], kami mengejari shinkansen pula.Masa itu kami di stesen Tokyo, mahu ke Nagaoka untuk program perkhemahan musim panas. Teman yang seorang ini lambat tiba, sedangkan saya sudah panas punggung menunggu.Akhirnya dia tiba, berlari-lari kami menuruni tangga mengejari keretapi peluru, tetapi sayang, kami hanya nampak ekornya sahaja.Terlewat beberapa saat, yang pasti bawah seminit.!.

Terpaksa tunggu keretapi seterusnya 40 minit kemudian.



Bangsa Jepun yang gunakan bas, mereka pasti arifkan dengan masa bas, pengguna keretapi mesti arif dengannya, bahkan apa sahaja tentang jadual perjalanan.Cuma, saya yang bertaraf pendatang dan sesekali menggunakannya tidak arif benar.Jadi, kadang-kadang terpaksa menunggu lama.

Misalnya dua minggu lepas saya ke Tokyo dengan bas, menunggu awal-awal lagi, 6:15 pagi.Orang pertama yang sampai ke perhentian bas, wah bangganya saya dengan masa.Tengok jadual, 6:38 pagi.Saya fikirkan saya seorang sahaja dari perhentian itu, rupanya menjejak ke 6:30 dan 6:35 pagi, seorang demi seorang penumpang datang.Lalu, saya buat kesimpulan sendiri; mereka sudah arif dahulu tentang jadual bas.

Aduhai masa.!.

Kenangan

Semua ini akan tinggal dalam kenangan beberapa ketika nanti.Terasa mahu sahaja saya bawa pulang budaya-budaya ini, tetapi terasa-rasa tidak terpikul semuanya.Betapa lagi, berdepan dengan arus negatif di Malaysia, dan seperti ternampak-nampak saya pun akan hanyut semula dalam keruhnya arus itu.Sayang, bukan?!.

catatan : tulisan ini aku atas pemintaan seorang teman dari Mesir untuk majalah mereka, jadi bahasanya lebih formal.


ILHAM HAMDANI at 18.11.03

Monday, November 17, 2003

Assalamualaikum,

Aku memilih untuk tidak menari mengikut rentak beberapa orang yang mahu berpencak tentang Dokumen Hudud Kelantan&Terengganu, bukan soal takut pada kalah.Nanti lah, kala reda sikit panas pada BandarSepi, aku kembali kocakkan dia, tunggu lah.!.

Aku memilih isu landai, sekadar senaman-senaman panaskan badan.O ya, semalam sejuk betul.Sangat sejuk.!.Sudah ada fros pada cermin kereta, tanah-tanah hitam perang sudah diselimuti debu-debu ais, belum betul-betul ais, sedang musim luruh belum pun betul-betul puncaknya.

S-E-J-U-K, aku bersin tidak henti, mahu selsema lah nanti kalau terus-terus begini;

"Inna lillah hi wainna ilai hiraji'un.."

Apa Ada Pada Nama?


Nama; inspirasi&aspirasi

Satu malam di tengah luas lapang Mina, kami kumpul ramai-ramai, secara tak sengaja.Ada budak Malaysia dari Yaman, Mesir, dan rata-rata, termasuk Jepun tentunya.Kami sembang-sembang, mesra-mesra;

"Nama ana Fathul Bari [ nama sebuah kitab syarah Imam Bukhari], dari Perlis.."

Subhanallah.!.Aku jadi kagum dengan nama sehebat itu, dan aku pasti orangnya pun hebat, pelajar Ummul-Qura, Makkah.Dan, aku agak ibubapanya pun bukan calang-calang orang, tentu tinggi ilmu agamanya.

Kala lain, bersembang-sembang dengan seorang teman di sini, merangkap mentor perjuangan;

"Anak saudara ana yang baru lahir di UK [ ayahnya bekerja sebagai akauntan dengan Kedutaan UAE di England] dinamai Hassan al-Banna.."

"Tetapi, masalah juga anak saudara anak ana tu, kalau mahu sambung study di Mesir, tentu susah dapat visa, kerna namanya..".

Aku angguk, setuju.Aku sekali lagi takjub.Bukan calang-calang nama yang diberi pada anak kecil itu.Tentu ayahnya mahu anaknya sejejak pada pengasas IM itu, pasti.!.

Ketika aku pulang bercuti baru-baru ini, aku lawati seorang bayi kecil, Ahmad Mus'ab, mengambil roh perjuangan sahabat muda Nabi saw, Mus'ab bin Umair.Matanya jernih, bersih, dan aku pasti dari zuriat yang baik-baik.Aku kenal benar ibu-bapa anak kecilnya, dan aku jadi kagum pada mereka.Dalam hati, aku doakan anak kecilnya mewarisi darah mubaligh Mus'ab ra.

Mu'ammar Gaddafi, aku jumpa nama ini ketika aku mengendali sebuah kem motivasi bersama-sama adik-adik ke Jepun baru-baru ini.Ketika belek senarai nama peserta, pantas mata aku melekat pada nama aneh ini, dan ketika sessi suai-kenal, aku senyum bila orangnya perkenalkan diri.Aneh sekali nama ini, entah apa kaitan si ayahnya mengambil nama ini?.Mungkin ada rahsia istimewa, siapa tahu.

Nama; patriotisme, nasionalisme

Ahmad UMNO Supajita Uzir, aku tidak tahu bagaimana agaknya kalau orang ini tiba-tiba ingin masuk PAS?Tentu ganjil jadinya.Dan, insan bertuah ini dipilih untuk menyerahkan bendera UMNO pada Pemangku Presiden UMNO dua hari sudah di Kuala Terengganu.

Beberapa tahun dulu, aku terperasan ketika membaca sebuah akhbar harian, Malaysia bin Ismail.Wah, namanya bukan-bukan, terlalu cinta pada negara agaknya.Kalau tak salah ingatan aku, orang Sungai Petani.

Lahab bin Hussein, ini nama guru Pendidikan Seni aku.Pertama kali berjumpa dengan nama ini, jadi keliru dan tertanya sendiri; "mengapalah dipilih nama yang sebegini?".Kesian, apa nak buat, ayahnya sudah pilihkan awal-awal lagi.Kalau masih lahir dia boleh bercakap, tentu dia menolak, kan?!.Tetapi, Alhamdulillah, pada aku dia guru yang baik, walaupun namanya aku kurang baik.Mujur-lah, bukankah nama itu satu doa sebenarnya.

Nama; yang lucu

Seorang kawan aku di sekolah rendah, namanya Mohd Shahrin bin Ya.Aku rasa nama ayah dia boleh dimasukkan dalam Guinness World of Record; nama yang paling pendek, senang mahu diingat.Kawan aku nan seorang ini, selalu ponteng sekolah, guru kelas selalu perli-perli ketika ambil kehadiran;

"Mohd Shahrin bin Ya, hari ini ya ada titik ke ya tiada titik..", budak-budak senyum sahaja.

Ketika sekolah menengah, ada seorang kawan, nama dia Mohd Sabri bin Mohd Ali.Tetapi, dia selalu tulis namanya begini; M.Sabri M.Ali.Akhirnya, kawan-kawan yang nakal panggil sahaja sahabat ini dengan Mali mengambil sempena nama ayahnya, melekat sampai ke hari ini.Hari ini, dalam email-email pun dia sendiri membahasakan dirinya Mali,walhal nama ayahnya.

Banyak lagi, kalau mahu diceritakan tentang nama, dan aku pasti kalian pun ada rahsia sendiri.Dan bila diingat-ingat, aku senyum sendiri, mengenangkan lucu dan anehnya sebuah nama.

Nama kalian, bagaimana?.Alah, apa ada pada nama..


ILHAM HAMDANI at 17.11.03

Di tengah orang tua, dia-lah pemuda.
Dan,di tengah pemuda dia-lah ketua.
Bermazhab pada adil dan jujur,
berkitab pada sirah dan siasah.

IPIJepun mempersilakan anda semua ke program usrah-maya mingguan melalui YM kami,dan maklumat adalah seperti berikut;
i) JUMAAT,MALAM SABTU 8 MALAM
ii) SABTU,MALAM AHAD 9:30 MALAM
iii)PAGI SABTU 9:00 PAGI,KULIAH TAFSIR
iv) AHAD, MALAM ISNIN 8 MALAM

*mengikut waktu Malaysia.

Anda boleh pm kepada
addeen57,
shahreza03,
aznanhamat,
adiemad,
liya51

Name

URL or Email

Messages(smilies)

Diriwayatkan daripada Sahl bin Saad r.a katanya:
Janganlah kamu menghitung tarikh dari awal kebangkitan Nabi s.a.w dan hari kewafatan Nabi s.a.w. Janganlah kamu memulakan hitungan kecuali dari hari baginda tiba di Kota Madinah.

(Hadis Riwayat Imam Bukhari).

Israel hadapi kecaman baru di ICJ

THE HAGUE 24 Feb. - Israel hari ini menghadapi kecaman terbaru di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dari negara-negara yang menyokong tindakan Palestin mencabar langkah Israel membina benteng keselamatan di Tebing Barat.

ICJ bersidang selama tiga hari mulai semalam bagi memutuskan kewajaran pembinaan tembok keselamatan yang didakwa oleh negara Yahudi tersebut sebagai usaha untuk menghalang kemasukan pejuang Palestin ke wilayah mereka.

Bagaimanapun, Palestin mendakwa langkah itu merupakan taktik kotor Israel untuk menguasai kawasan Palestin kerana Tebing Barat merupakan wilayah Palestin.

Antara negara yang akan memberi keterangan pada perbicaraan kes itu ialah Jordan, negara yang paling tegas menentang pembinaan benteng keselamatan berkenaan.

Malaysia, Indonesia, Bangladesh dan Cuba merupakan negara yang paling kuat menyokong tindakan Palestin membawa kes itu ke ICJ.

PENANTIAN
[tulisan ini aku dedikasikan untuk seluruh pejuang]

Lahir di tengah kemelut yang berselut,
Lahir di tengah lumpur yang berlumur,
Kota Ismaliah 1906,
Tangisan bayi senyuman harapan ummah.

4 muka lewat la'natullah Mustafa makan khalifah,
Dia hidangkan wahdatul-ummah,
Bersatu dengan aqidah,
Berderap dengan mujahadah,
Berentap dengan sabilillah.

Dari desa-desa ke kota-kota,
Allah-lah matlamat kami,
Dari gurun padang ke gelanggang,
Rasulullah pimpinan kami,
Dari kota pasir Sinai, Alex Aswan,
Al-Quran perlembagaan tertinggi kami,
Dari denai-denai zahmah Kaherah,
Jihad jalan kami,
Dan,
Mati di jalan Allah cita-cita tertinggi kami.

Darah sudah jadi murah,
Mati sudah jadi sebati,
Penjara sudah jadi biara,
Dakwah sudah jadi lumrah,
Islam sudah jadi iltizam.

Menang,
Dan memang menang,
Cuma bila dan siapa?
Di sini, atau di sana.