Saturday, December 20, 2003

Assalamualaikum,

daging bxbx

Awal pagi, sekitar jam 2 begitu dalam sejuk-sejuk Syed datang ke rumah. Masa tu, aku masih belum tidur lagi. Maklum lah hujung minggu lah katakan. Tengah tengok perlawanan bolasepak remaja Piala Dunia antara Argentina dan Colombia untuk penentuan tempat ketiga. [Colombia akhirnya menang 2-1] Syed datang nak bermanja-manja, ahaks.

"Jom lah keluar mana-mana. Bosan ni! "

Alahai kasihannya! Dan,memang jenis aku. Pantang orang ajak, mesti nak kena bergerak walaupun sebenarnya aku tak lah berhajat sangat nak ke mana-mana. Lebih senang merengkok bawah kotatsu yang panas-panas-suam tu. Tapi, biasa lah, ni la persahabatan adik-beradik mungkin! Iyalah, aku pun biasanya gitu. Kalau aku bosan pulak nanti, aku nak ajak depa juga ke mana-mana. Jadi, masing-masing sefahaman lah. Hari ni, hari dia bosan. Esok-esok hari aku bosan dan ajak ke mana-mana pulak. Adil bukan?

Akhirnya, Syed, Adam di sebelah dan aku, tiga manusia melayu Malaysia yang jadi batman bergerak ke Gusto, sebuah restoran 24 jam. Nak panggil makan malam pun, sudah pukul 2. Nak panggil sarapan pun awal sangat. Panggil sahaja suppast [supper-breakfast ] . Masing-masing order nasi dan lauk yang berasingan. Aku yang baru sahaja makan nasi pun order sekali. Sejuk-sejuk begini, makan banyak o!

Aku order nasi semangkuk kecil, dan satu set lauk. Tengok dalam gambar nampak ada hirisan telur rebus, tuna, dan sayur-sayur. Adam pun order sama macam aku. Eh, aku yang order sama macam Adam sebenarnya! Cuma, Syed yang order lain sedikit. Ok lah! Sembang-sembang sementara nak tunggu order sampai. Sedang aku pula jadi JK Rowling, penulis Harry Porter yang melakarkan idea novel Harry Porter ini di cafe-cafe. Aku bukanlah melakarkan Harry Porter! Aku sedang memerah idea untuk C4M, sebuah buah tangan yang menggarap seluruh kenangan aku 4 musim di Jepun. Tunggu lah!

Tidak lama order datang. Menu Syed lepas. Tiada masalah! Cuma menu aku dengan Adam yang macam bermasalah, ada hirisan daging-daging yang merah-merah. Ya Allah [masa aku menulis nih pun tengkuk rasa satu macam, rasa macam nak terkeluar isinya!] Aku dan Adam sudah lain macam. Nak bedal jugak ker tidak. Bedal, maksudnya bukan bedal daging merah tu, maksudnya tolak ke tepi daging tu, dan makan benda-benda yang lain. Sambil-sambil kepala duduk memikirkan dari segi hukum feqah. Tak keluar pulak! Mungkin akal pun terencat sekali, shock. Ini kali pertama aku terima menu daging depan mata.

Akhirnya, panggil semua pramu saji datang. Tanya dengan dia; "Em..maaf! Yang merah-merah tu daging bxbx! ". Sah! Kemudian dia ambil order kami, dia pergi keluarkan daging merah tu, dia bawa datang balik. Nak telan jugak ker? Rasa tengkuk dah satu macam.

"Begini lah Adam, kita tengok menu lain lah! Berbulu satu macam jer tengkuk aku ni, " Padan muka, lain kali berhati-hati sikit. Entah lah, mungkin silap aku yang over-confident agaknya. Akhirnya panggil pramusaji tu sekali lagi, dan minta tukar menu kepada sotong masak tempura. Alhamdulillah, dapat tukar tanpa sebarang bayaran tambahan. Fuh, selamat!

sarung tangan

Baru sahaja beberapa entry lepas aku bercerita tentang sarung tangan, kebetulan terdatang cerita tentang sarung tangan. Tengahari semalam, dalam sejuk-sejuk [tengahari pun sejuk beb!] tiba-tiba pintu rumah diketuk. Uehara Makiko? Otak berfikir-fikir sendiri. Mustahil Uehara Makiko. Ops maaf! Uehara Makiko tu cuma tidak lebih daripada seorang gadis imaganasi aku dalam C4M. Jangan marah ya! Jom balik pada realiti, ahaks

Rupa-rupanya pakcik pemungut bil elektrik. Sudah dua bulan aku tak bayar, jadi kebetulan dia datang periksa bil bulanan dia berenti rumah aku. Kena bayar 6608yen [RM180] untuk dua bulan.

"Encik, kalau ada 8yen tu, lebih mudah cerita..."

"Ok..ok..tunggu sekejap ye.."

Selesai semua urusan pembayaran, pakcik tu pun beransur. Tiba-tiba aku tengok sebelah sarungtangan warna hitam. Aik, takkan lah sarung tangan aku pulak. Sedangkan aku masih belum cari pun sarung tangan aku dalam gerobok kain baju tu. Fikir punya fkir, baru teringat. Sarung tangan pakcik tu! Mungkin masa dia nak ambil duit atau pulangkan duit pada aku, dia bukakan sarung tangan dan terlupa langsung.

Alahai, kasihannya pakcik tu. Tengok sejuk gila dia. Aku boleh bayanglah, sejuknya. Tambah lagi datang naik motor pulak tu. Kasihan-kasihan-kasihan. Seperti mahu sahaja aku telefon syarikat elektrik tu,

"Pakcik, pakcik tercicir sarung tangan di rumah saya. Datang lah ambil! "

Aku siap letakkan sarung tangan yang sebelah tu di tombol luar pintu. Mana lah tahu, kot-kot masa aku tak der di rumah, pakcik tu datang ushar balik di mana sarung tangan dia tercicir. Nampaknya sarung tangan tu masih di situ.

Alahai sarungtangan!

salji

Yahoo.com! Daerah Hitachi jadi putih berseri dengan salji. Tak sangka pulak awal sebegini tahun nih. Tapi, tahun nih tak lah gila macam tahun lepas. Mungkin sebab orang-orang gila tu dah masuk penjara kot, ahaks. Bayangkan lah tahun lepas, salji turun awal pagi, dalam pukul 4 pagi gitu, boleh kami budak-budak Malaysia main perang salji, pulak tu siap gi berperang di padang sekolah lagi. Memang orang gila betul lah, ahaks.

Tahun ni salji turun saja, masing-masing makin sedap duduk merengkok bawah kotatsu. Kena pulak hari tu cuti, yahoo.com kuasa tiga. Teramat lah bahagianya! Kebetulan satu program di tivi, tunjuk cara buat aiskrim dari ais salji. Rasa-rasa macam nak mencuba sahaja nasihat buat aiskrim dari salji tu. Nampak menarik juga cara memasaknya. Ais yang original turun dari langit tu siap dimasak dulu di atas periuk, kemudian baru dimasukkan dengan perisa coklat, vanilla dan gula sikit kalau tak salah. Dan rasanya? Sebijik macam kita beli di kedai. Menarik, menarik!




ILHAM HAMDANI at 20.12.03

Thursday, December 18, 2003

Assalamualaikum,

Iftitah

Hari ini hari apa murid-murid? Hari Jumaat cikgu!

Jumaat, hari yang disebut penghulu hari saiyidul-ayyam bagi orang Islam. Hari yang dijanjikan padanya oleh Allah melalui lidah RasulNya akan kejadian hari kehancuran sekian alam untuk satu lagi kehidupan yang kekal abadan-abada, selama-lamanya!

Yahudi, generasi warisan Bani Israel berbangga dengan hari Sabtu, lalu bercuti mereka hari itu demi memudahkan penganutnya beribadah puas-puas. Kristian pula berbangga mereka dengan hari Ahad sebagai hari agama, lalu bercuti mereka, demi memudahkan penganutnya beramal dan ke gereja pada pagi Ahad.

Islam, datang dengan kehebatan hari Jumaat. Cuma, sayangnya kita di Malaysia terlupa untuk mengambil cuti pada hari Jumaat. Lalu, cik-cik abang kita yang bekerja, kala-kala tuk khatib terlebih seminit-dua di atas mimbar berkhutbah, membelek-belek jam di tangan, atau tuk imam terlebih baca ayat surah sebaris-dua, mengutuk mereka di dalam hati.

Bangganya kita dengan hari Jumaat, bukan?

Sembahyang Jumaat

Hari ini aku nak ber-tuk selampit dengan kalian tentang tempat-tempat yang pernah jadi tempat solat Jumaat aku. Maklum lah, aku ini di negeri kafirun, maka tempat solat pun selalunya seperti musafir padang pasir, bernomad ke sana sini.

Masa mula-mula aku sampai ke Jepun dulu, aku sembahyang Jumaat di atas atap bangunan. Masa tu, hanya aku bertiga, bro Hisham dari Mesir, yang selalu jadi imam, kawan aku Syeikh yang selalu jadi pak bilal, dan aku yang jadi tukang ekor. Yang lain-lain? Senyum, mudahan Allah beri mereka hidayah, InsyaAllah!

Tempat solat Jumaat tu memang agak berdebu sedikit, tetapi pada aku itulah tempat yang paling baik. Agak terpisah dengan yang lain-lain, serta tiada gangguan sangat. Tetapi, bro Hisham kata, kurang sesuai sedikit, sebab macam kotor. Pada aku, berdebu bukannya kotor, selagi tiada najis dan sewaktu dengannya, maka Islam tidaklah terlalu memberatkannya. Tetapi, memandangkan dia tua, seganlah nak melawan. Lagipun, benda remeh begitu, tutup telinga dan ikut kata orang tua sahaja lah.

Tak lama, kerana alasan yang aku katakan tu, kami pindah sembahyang Jumaat di rumah Hisham sendiri. Maknanya, pada hari Jumaat, kebetulan masa satu masa sebelum rehat tengahari tiada kelas, jadi sempat lah balik ke asrama, sebab rumah Hisham di asrama untuk sembahyang Jumaat. Lebih selesa, dan kdang-kadang lepas Jumaat dapat pisang dari bro Hisham. Bro ini memang hantu pisang! Oh, itulah rezeki dari Allah kerna pengorbanan kami yang sedikit; berulang-alik antara universiti-asrama. Syukur!

Duduk tidak lama, aku pindah ke Hitachi, kampus kejuruteraan. Memandangkan masa tu, rumah aku paling dekat dengan universiti, langkah pagar sahaja, sudah sampai ke rumah aku, maka rumah aku jadi port sembahyang Jumaat, dan solat Terawih pun di rumah aku. Dan setahun-tahun itu, kami bertiga; bro Qusai sebagai imam, Syeikh yang masih mengekalkan title tuk bilal dan aku, sebagai tuan rumah.

Naik tahun dua, aku pindah rumah duduk beramai-ramai empat orang. Jadi, rumah aku yang dulu, yang jadi port solat Jumaat hanya tinggal kenangan! Cari port baru, rumah kohai aku, Rashdan yang juga merupakan rumah yang aku duduki sekarang. Lama juga di situ, sempat bertahun la juga, dengan bilangan ahli jemaah yang tidak menentu. Kadang-kadang ramai, dan kadang-kadang tinggal sejemput, 4 org! Tetapi, Alhamdulillah, solat Jumaat tetap on. Kali ini, imamnya masih bro Qusai, cuma bilalnya bertukar. Syeikh kata, "aku nak pencen, bagi kat Rashdan pulak." Dan, seperti tahun lepas juga, di mana port jumaat, disitulah jadi tempat untuk terawih. Maka, terpaksa lah bersempit-sempit.

Sudah usaha pinjam bilik dengan pihak universiti, tetapi tak dapat, tiada bilik kosong katanya!

Dan, Alhamdulillah setelah hampir dua tahun jadikan rumah Rashdan sebagai Darul Arqam Hitachi, kami dapat sewa sebuah rumah untuk dijadikan surau. Kumpul duit seorang sedikit, dan bayar ongkos sewanya. Dan, Alhamdulillah sudah hampir dua tahun kami gunakan surau tu untuk apa-apa aktiviti. Tidak perlu bernomad-nomad lagi.

Cumanya, aku tidak pasti bagaimana kah nasib surau itu setelah ketiadaan aku nanti? Mampukah bertahan, atau kembali bernomad semula, wallahua'lam!





ILHAM HAMDANI at 18.12.03

Wednesday, December 17, 2003

Assalamualaikum,

susu

Kalian pernah dengar satu kisah hikayat dari negeri Antah Berantah Arab al-Padang Pasir?

Alah, kisah seorang pengembara yang musafir naik unta, bawa susu dan ketika sampai di destinasi tempat dia nak pergi, susu sudah bertukar menjadi keju!

Ha, kali ni aku bawak kisah dari negeri Antah Berantah Jepun al-Sepeti, mahu dengar?

Di satu sore yang tenang, seorang pemuda aku lah tu, ahaks membeli sekotak air susu. Diminumnya sesuku susu yang warna putih itu [sudah nama pun susu, takkan lah warna hitam pulak, ko nih, hish! ], lalu se-tiga-suku lagi, pemuda itu tak simpan dalam tong seperti pengembara arab kawannya, tetapi disimpannya di dalam peti sejuk.

Kerana sibuk dengan menaiki unta kerja-kerja, tugasan dan tuntutan yang bertimbun, terlupa lah akan pemuda itu kepada susunya. Dua hari tak minum susu, minum air-air lain. Selepas dua setengah hari, lima jam dan duapuluh lima minit, baru lah pemuda itu teringatkan air susunya yang putih tadi.

Dia pun buka peti sejuk; "lor, air susu sudah jadi ais susu! "

Begitulah adanya.

Aku bukan simpan di bahagian freezer pun, aku simpan tempat air biasa di bawah tu, sekali jadi beku langsung. Terkezut aku!

Dua tiga hari yang terakhir ni memang benar-benar sejuk betul. Sudah banyak kawasan yang berselimut salji. KakInai di Nagoaka, katanya sudah 8 danbou [ pemanas yang berisian minyak tanah ] digunakan. Aku tengah membayangkan, bagaimana lah KakInai letakkan 8 pemanas tu dalam rumahnya. Iyalah, kalian bayangkan lah dengan rumah Jepun, bukannya besar mana pun, kena pulak 8 pemanas langsung. Agaknya, satu meter satu, gamaknya!

Dan satu lagi, aku tengah berkira-kira; "berapa lah belanja bulanan untuk minyak tanah sahaja?"

Kalian tengok ya, satu tong minyak tanah [ aha, Jepun nih walaupun dikenali antara negara termaju di dunia, tetapi bab pemanas, masih menggunakan sistem kuno, entah lah kenapa? mungkin kerana kos operasi yang mahal, itu pandangan aku! ] minyak tanah dengan 18 liter, lebih kurang 800-900yen [ antara RM24-RM27 ]. Kemudian, 18 liter ni kalau digunakan lebih-kurang 5-6 jam sehari bagi satu pemanas, boleh lah tahan hampir dua minggu. Tetapi KakInai kita nih gunakan 8 pemanas, fuh, boleh bayangkan tengok betapa tersenyumnya tokey minyak tanah tengok KakInai datang, ahaks!

Jangan marah ya KakInai, terpaksa jadi domenstrator promosi minyak tanah lak hari ni, nanti boleh minta honorurium dengan tokey minyak tanah ye KakInai!

Eh, dari citer susu, boleh terlajak masuk sempadan minyak tanah pulak, jauh betul dia merayap, kan?

jalan-jalan

Walaupun nama sahaja berjalan, tetapi janganlah kalian bayangkan pakai kaki, berjalan di sini maksudnya berkenderaan. Lagipun, rasanya tak sanggup aku saja-saja berjalan kaki tengah-tengah sejuk, melainkan ada tujuan penting sangat. Itupun, kena siap dua-tiga lapis baju, dan bersarung tangan. Tengah melilau cari sarung tangan aku nih, mana aku simpan tak tahu, maklum lah setahun semusim sahaja pakai. Lepas pakai, entah campak di mana pun tak tahu. Nak beli lain? Kira hari ... ish, tak lama mana aku nak pakai pun. Kena cari dulu, kena cari dulu!

Jalan-jalan cari makan , aku tengok semalam, ramai pula pak-pak pacak di tepi jalan. Ish, bukan polis pacak la, tukang kira kereta, banci bilangan kereta! Aduhai, sampai ke pagi aku rasa mereka bekerja, kasihannya!

Kalian boleh bayangkan lah, keluar jalan kaki pun, sudah jadi lemah longlai, tak tahan dengan sejuk, inikan pula hamba-hamba Allah ini berpaksa duduk di atas bangku [ mujur juga ada bangku! ] di tengah-tengah suhu yang mencecah kosong, bahkan kalau awal pagi minus langsung, dan berpanjang-panjangan selama hampir 10jam. Ish, sesungguhnya mereka ni freeze man!

Tetapi, aku rasa walaupun tugas tu teruk dengan gaji yang tak lah seberapa sangat, ia 1000 kali lebih baik dari mereka yang buat kerja jenayah kolar putih, "sapu" permit teksi misalnya, ops..off record! ..ahaks

permit teksi

Bila tersebut pasal permit teksi dan sekarang kecoh-kecoh tentang isu ini, teringat aku pada perbualan dengan seorang pemandu teksi. Masa tu, aku naik teksi, sebab terpaksa sangat, nak cepat! Aku naik dari Batu10 depan Metrojaya Sungai Wey untuk ke Stadium Kelana Jaya, tengok bola, Perlis lawan MPPJ. Baru lah kisahnya, masa aku balik Malaysia bulan 9 hari tu.

Bercerita-bercerita dengan pakcik yang seorang ni, terkeluar lah beberapa hal yang tersorok di bawah karpet tebal yang cantik. Di luar, memang nampak karpet Turki yang bercorak-corak lawa, tetapi dibawah karpetnya berdebu, dan serb mak nenek sampah-sarap.

Cukup lah, kalau aku kodkan begini, mengambil kata-kata dari pakcik pemandu teksi;

"O, kalau kami sembelih penumpang [ merujuk kepada mengenakan tambang yang diluar dari kebiasaan ], mengamuk, bising, buat operasi sana-sini. Yang diaorg dok sembelih kami nih? Kenapa tak buat operasi? Kenapa tak tangkap? "

Teringat aku pada kisah double-standard Dasar Apartied di Afrika Barat, "Ish, ini kisah di Malaysia lah kawan!"



ILHAM HAMDANI at 17.12.03

Monday, December 15, 2003

Assalamualaikum,

Penangan

Semalam, sempat berborak seketika dengan Kak Ija di Pulau Pinang, antara yang menjadi pengunjung bisu kepada BandarSepi. [ bila nak ngomel dalam kotak menjerit atau gesbuk ni kak? ]

ija75s (18:22:13): din tau tak aper dah jadik ngan penangan bandarsepi kat akak
beskal_kuning (18:22:20): apa?
ija75s (18:22:45): akak dah terrasuk ngan karya sastera la ni
ija75s (18:22:47): hmmm
ija75s (18:23:06): dulu akak tak minat sangat
beskal_kuning (18:23:07): yeker..bagus la..hehe..
ija75s (18:23:34): tapi bila baca promo din bab novel 1515 dan rona bosphorus
ija75s (18:23:49): hai tak tidoq malam akak dibuatnya
ija75s (18:24:17): asik tingat ja kat nak cari novel tu

Aku hanya senyum mendengar KakIjaPenang mengomel-ngomel, sanggup menapak ke kedai buku mana entah, semata-mata mahu mencari 1515 dan Rona Bophorus. Malangnya tiada dalam stok!

Untuk penulis ZaidAkhtar yang sesekali menjengah ke BandarSepi, atau mungkin FaisalTehrani [ taktahu lah, samada penulis yang sorang ni tahu atau tidak dengan BandarSepi ],

"Takder persen ker untuk DatukBandar yang jadi tukang iklan ni? " Ahaks!

Dan lagi, aku ucapkan terima kasih kepada sahabat-sahabat yang memberikan komen terhadap penulisan aku saban hari di BandarSepi. Dan ... rata-rata menyimpulkan tulisan aku jiwang! Mujurlah masih bersisa lagi nilai dakwah yang ingin aku ketengahkan. Aduhai.. pandangan anda?

Dan, semalam terima juga satu email yang juga memberi komen tentang gaya penulisan aku;

"Kalau dapat, selitkan sedikit jenaka! "

Aduh, bab lucu-lucu nih yang akan tak pandai nih, sangat-sangat tak pandai! Tetapi, akan cuba diusahakan, InsyaAllah.

Alhamdulillah

Alhamdulillah, teman yang akrab sudah dilamar!

Semalam, sempat juga bersembang seketika dengan dia, katanya sudah ada panggilan dari CitiBank di tengah bandar Georgetown untuk dia melaporkan diri. Dan, lebih menarik, tarikh melapor dirinya hari ini, hari Rabu! Ataupun masuk sekali dengan intake bulan depan.

"Tak bersedia lagi mental dan fizikal, masuk bulan depan sahaja lah! "

Alhamdulillah, rezekinya murah. Berjarak sebulan lebih sedikit dari tarikh kepulangan semula ke Malaysia, sudah ada satu dua lamaran yang sampai. Dan, katanya hari ini pun dia ke proses temuduga lagi. Amboi!

Titik

Main-main

Hari Selasa minggu depan ada program "main-main" dengan pelajar-pelajar sebuah sekolah menengah tinggi di sini. Main-main yang bagaimana? Alah, kira macam program pertukaran budaya. Pergi sana, bersembang dengan mereka, bercerita tentang Malaysia [ kalau pelajar dari Malaysia lah, ikut negara masing-masing! ] , makan-makan, dan balik. Ops, lupa! Sebelum balik, ambil upah dulu 4000 yen. 4000yen [RM120] untuk aktiviti "main-main" selama lebih kurang lima-enam jam. Berbaloi juga!

Tengok lah, kalau rajin pergi, kalau malas atau sibuk, tak yah pergi.

Merancang dalam kepala, hujung minggu nih nak kena pergi rumah keluarga angkat. Sudah hampir dua bulan tak menjenguk ke sana, juga tidak sekali pun pukul-tali ke sana. Masing-masing sibuk!

Lagi pula, lepas tu masing-masing akan bercuti untuk musim sejuk dan aku akan turun bertravel ke bawah untuk WinterGatheringIPIJ [ lihat iklan promo di sebelah ] , lagi tiada masa.

Dan satu lagi, tengah duduk bercadang menghantar kad selamat tahun baru untuk keluarga Jepun tu. Di sini, sudah terbentuk budaya sebegitu, biasanya antara mereka yang berhubungan rapat, dihantarkan kad-kad ucapan selamat tahun baru. Alah, macam kita untuk kad raya aidilfitri lah! Tetapi, orang Jepun tidak lah AidilFitri, tetapi tahun baru.

Tuk Ayah

Dan satu lagi, minggu lepas telefon bercakap dengan mama, sudah sah, adik bongsu aku hanya datang bersekali dengan abah dan tuk ayah, awal tahun depan. Entah lah, kata mama apa masalah kalau pergi asing-asing, terutama pada tiket kapalterbang Amy.

Tentang kehadiran Amy dan abah tu, aku tak risau sangat. Satu, Amy tu orang muda, boleh lah tahan lagi dengan sejuk-sejuk begini, walaupun aku boleh agak mesti menggigil punya. Sedang abah pulak, walaupun sejenis tak tahan sejuk jugak, tapi sebab sudah sokmo-sokmo juga berjalan ke negeri sejuk, paling-paling sudah mangli sikit.

Tetapi, tuk ayah nih? Jenuh memikir, bagaimana lah nanti? Mahu dibawa berjalan ke mana, kalau asal keluar rumah merungut kata sejuk.

Ish, aku macam merungut tentang kehadiran Tuk Ayah pulak. Asta'firullah!

" Tuk Ayah banyak jasanya, 17 tahun di bawah asuhannya di kampung, takkan lah untuk menggembirakan hari-hari tuanya sedikit pun tak boleh. Cucu apa begini?! " hati mengutuk-ngutuk sendiri!

InsyaAllah, akan difikir-fikirkan! Dan, kalau betul tuk ayah akan ke sini, aku harap akan bisa memberikan yang terbaik untuk tuk ayah.



ILHAM HAMDANI at 15.12.03

Sunday, December 14, 2003

Assalamualaikum,

Semalam, sejuk mengigil. Air pada cermin-cermin kenderaan yang terpakir di parking lot jadi ais belaka. Mengambil wuduk untuk Subuh pun menggeletar badan, itu dalam keadaan berpemanas dengan skala 16 darjah. Bayangkan lah orang yang duduk dalam iglu di kutub selatan. Tetapi, begitulah; alah bisa, tegal biasa. Tetapi, main dengan sejuknya, maaf lah, tak dapek den nak nolong!

Apa lagi yang menarik untuk memanaskan dingin ni? Bagaimana kalau sesekali bertulis-tulis satira politik sikit. Bukan ker politik tu panas lagi memanaskan? Sedang elok lah dengan musim sejuk, bukan?

antarabangsa

Aku tidak rasa orang Iraq ini pelupa, sebab yang selalu lupa dan pelupa hanya orang Melayu. Sebab tu ada orang berkata; "Melayu mudah lupa! " Orang Iraq bukan orang Melayu, dan begitu sebaliknya. Jadi, aku pasti orang Iraq tidak mudah lupa.

Tetapi, mungkin orang Iraq tak sempat membaca buku sejarah Kedah Tua dan Johor Lama, agaknya. Kalau mereka baca kedua-dua buku sejarah tu, tentu mereka tak buat apa yang mereka buat hari ini.

Kedah Tua semasa ditadbir Sultan Abdullah menjemput Francis Light untuk tolong halau keluar Siam, dengan mencagarkan Pulau Pinang. Dan, akhirnya Pulau Pinang tergadai. Hingga hari ini masih terjajah, tak boleh ditebus. Patung Francis Light di Padang Kota masih senyum selagi nama Georgetown itu tidak di-bahasa melayu-kan.

Orang Iraq juga terlupa baca sejarah Johor Lama, kisah tingkah-meningkah dua beradik anak raja Tengku Abdul Rahman dengan Tengku Hussein (Tengku Long) demi merebut takhta kerajaan Johor Lama yang kosong. Lalu dijemput Stamford Raffles untuk jadi hakim. Undangan pada Raffles tidak lebih seperti dua ekor kaldai yang menjemput singa kelaparan untuk jadi hakim perbalahan. Lalu, tergadai Singapura pada tahun 1819.

Dan, patung Stamford Raffles serba putih, tentu masih senyum sama seperti Francis Light, kerana orang Melayu anak-cucu Tengku Abdul Rahman dan Tengku Hussein masih ramai yang berperang demi merebut takhta.

Dengan menolak alasan, orang Iraq mudah lupa, lalu aku yakin orang Iraq tak baca kedua-dua buku yang aku maksudkan. Kalau mereka baca, mesti mereka tak melompat macam anak-anak kita yang sambut merdeka bila Saddam Hussein ditangkap 3 hari lepas.

Dan, tindakan mereka mengundang Bush untuk menghalau Saddam, tidak lebih seperti keluar dari mulut harimau masuk mulut buaya yang sepuluh hari berpuasa.Dan tengok lah jasa Bapak Bush, nilai matawang merundum teruk, pengangguran jadi gila-gila, kejadian tembak-menembak di mana-mana, dan itulah jasa Bapak Bush.

Aku setuju dengan kata-kata Tun Mahathir; jangan bawa masuk anasir penjajah!

Tetapi, aku sangsi juga kalau-kalau Tun bersembunyi di belakang perkataan "anasir penjajah" untuk mengekalkan status quo golongan pemerintah yang sudah tenat.

Apa khabar lah Tun yang dapat jadi Penasihat LADA dan Petronas, apalah yang sedang dinasihatkan beliau sekarang?

domestik

Sudah tiga kepala negeri menafikan mereka akan ditukarkan ke Parlimen untuk PilihanRaya akan datang. Mula-mula Johor, kemudian Pahang, dan tak lama Perlis. Demi bersangka baik, aku fikirkan begini; mungkin kepala-kepala negeri terkenaan masih belum puas berbakti memimpin negeri. Sebab itulah mereka menafikan khabar-khabar angin kerusi ketua sudah bukan milik mereka nanti.

Cukup-cukup lah!

Semasa nabi saw hampir-hampir wafat, nama Abu Bakar ra, Ali ra, Abdul Rahman bin Aus ra, dan Abu Ubaidah al-Jarrah ra disebut-sebut oleh penduduk Madinah sebagai calon buat ganti nabi saw. Dan calon terpopular, kalau hari ini mendapat pencalonan tertinggi lah kot, ialah Abu Ubaidah al-Jarrah.

Sebaik nabi saw wafat, semua penduduk Madinah kecuali Ali ra dan Ibnu Abbas ra berkumpul di Saqifah Bani Saedah untuk perlantikan MenteriBesar ketua negara yang baru. Bila pencalonan dibuka, calon yang mendapat suara sokongan tertinggi, Abu Ubaidah ra bangun;

"Saya mencadangkan Abu Bakar ra sebagai pengganti nabi saw." Umar al-Khattab ra menyokong.

Boleh kah bakal-bakal pemimpin kita buat begitu?

Dan betapa agungnya jiwa zuhud Abu Bakar ra;

"Saya telah dipilih di kalangan kamu, tetapi saya bukanlah yang terbaik di kalangan kamu. Bantu saya jika saya jujur, dan tegur saya jika saya khianat."

Bukan yang terbaik? Siapa yang tidak kenal dengan Abu Bakar ra? Anugerah as-Siddiq dari baginda saw untuknya cukup untuk menceritakan kehebatan Abu Bakar ra, tetapi soalnya kenapa dia kata; "saya bukanlah yang terbaik" ? Kalian jawab lah sendiri!

Dan sekali lagi, bolehkah pemimpin kita buat begitu?


ILHAM HAMDANI at 14.12.03

Assalamualaikum,

Bicara seorang aku untuk dirinya

Bermula dengan mimpi-mimpi, lalu jadi angan-angan,
Angan-angan, lalu jadi cakap-cakap,
Cakap-cakap, lalu jadi wawasan,
Dan,
Wawasan tukarkan jadi kenyataan!


Aku sentiasa percaya, semua orang boleh! Kalau dia yang berkaki dua, makan nasi dari beras, sama macam kita, boleh lakukannya, lalu kenapa kita memilih untuk menjawab; "tidak" ?

Tetapi, kenyataan yang kau hajati itu, tidak seperti yang pipih datang bergolek, yang bulat datang melayang!

Semuanya datang dengan kudrat, ketabahan, dan doa yang tidak putus-putus.

Terima kasih

Terima kasih!

Aku sudah terima komen dari kaksri, editor pengurusan Kumpulan Karangkraf, yang juga seorang jurnalis, yang juga seorang novelis, yang juga seorang cerpenis [berapa banyak "yang juga" nih? ahaks!] tentang luahan ide aku dalam Wardah Ain Salsabila.

O, baru lah nampak sikit.

Ada teman-teman menyoal;

"kenapa tidak publish kan WAS di BandarSepi? "

Lalu, aku jawab;

"tunggu lah! "

Terima kasih juga kepada beberapa teman lain yang terus menyokong anak kecil yang sedang merangkak dalam dunia penulisan yang luas.

Sudah! Aku tak mahu lagi mengulang-ulang tentang WAS di sini. Cukup lah dua kali ini. Titik!

Hujung minggu

Apa yang menariknya hujung minggu?

Rasanya sudah tiada istilah santai-santai sekarang. Terpaksa lah, berkorban sikit. Sabtu, macam biasa, berpaginya dengan usrah-maya. Maafkan aku, kalau ada yang msg aku untuk ikut-serta, tetapi aku tak memberi respon. Aku tak maksudkan begitu kawan! Mungkin masa itu, aku tiada di sisi pisi. Maafkan aku!

Malam Sabtu, budak-budak ajak main bowling. Wah, lama gila tak turun bertarung, hampir separuh tahun. Kalau tidak dulu-dulu, hampir setiap malam Ahad turun main bowling. Bukan apa, malam Ahad itu, selain hujung minggu, gelanggang dekat rumah [ dekat rumah ye, bukan dalam rumah, ahaks! ] tu menyediakan hadiah sebotol air bagi setiap strike pada balingan-balingan tertentu. Ya, ramai-ramai la turun hari Sabtu malam Ahad. Tetapi, sejak masing-masing sudah sibuk dengan agenda-agenda unfinished business nih, terlupa langsung dengan bowling. Dok terfikir juga, bagaimana lah nasib beg, kasut dan bola bowling yang aku tinggalkan di rak di gelanggang bowling?

Eh, belum masuk point aku lagi nih...

Budak-budak ajak turun bertarung. Ceh, berani betul depa ajak tuk guru kepada tuk guru Shalin Zulkifli turun bertarung. Kurang ajar budak-budak yang sedang belajar nih..

Tetapi, malangnya, pukul 12 baru nak turun, sedangkan pagi Ahad tu aku sudah ada temujanji; Hoshi-san minta aku tolong bekerja di kilang.Aduh, pagi Ahad kena kerja lah pula! Dan memang jenis aku; kalau orang minta tolong dan aku tak pandai nak kata "NO! " , walaupun hakikatnya aku tak berapa nak suka sangat. Susah betul lah!

Entah lah, mungkin ada bagusnya, dan buruknya sikap aku yang tak pandai untuk kata "NO!" .Bagusnya, mungkin tidak menghampakan orang lain. Bukan apa, aku dok bayang-bayangkan, bagaimana lah kalau aku yang duduk di tempat orang yang minta tolong dengan aku tu. Misalnya, bagaimana kalau aku duduk di tempat Hoshi-san, minta tolong pada orang lain untuk cover kerja di kilang yang bertimbun, dan orang tu menghampakan permintaan aku, mesti kiciwa, kan? Jadi, begitu lah. Apa orang putih kata; "put yourserves in their shoes ."

Bahkan, ada satu hadis, serasa-rasa hadis qudsi yang mana Allah berfirman;
"Sesiapa yang menyampaikan hajat seorang temannya di dunia, lalu di akhirat nanti Allah akan tunaikan hajatnya. "

Wah, hebat tu tawaran dari Allah. Di akhirat, apa lagi hajat kita? "Ya Allah, dengan amalan aku yang tak seberapa, dengan dosa aku yang menggunung, boleh kah aku hajati pada syurga-syurgaMu? " "Kerana kau di dunia banyak menyampaikan hajat kerabat-kerabatmu, lalu hari ini dengan rahmatKu aku masukkan kau ke dalam syurgaKu. Pergi lah kau berbahagia di dalamnya. " Subhanallah!

Mengingatkan itu, aku jadi ralat kalau tak cuba sampaikan hajat teman-teman, walaupun kadang-kadang sedikit terkorban untuk diri.

Cuma, yang buruknya, ada pula ambil kesempatan. Ini masalah juga, pada diri aku la. Em, tak mengapa, Allah itu satu, dan Dia Maha Adil. Habis cerita!

Jadi, akhirnya aku tak jadi pergi main bowling malam Ahad tu, sebabnya esok paginya aku kena pergi masuk kerja pagi. Terpaksa lah aku pendamkan gian nak main bowling, sebab nak bangun awal ke kerja. Mujur aku tak join, rupanya lepas depa main bowling, depa duduk sembang-sembang di restoran GUSTO sampai ke Subuh. Aduh, mujur lagi!

Dan, aku bekerja. Hanya berdua dengan Hoshi-san.Kerja bertimbun, terpaksa turun bantu-bantu.

Balik baito sudah hampir jam 6, tambah dengan jam sesak, kereta laju sedikit dari kura-kura yang berlumba dengan arnab, langsung 6:30 baru sampai ke rumah. Dengar kata, ada yang nak buat BBQ, tetapi senyap jer pula. Mungkin tiba-tiba ada aral yang melintang, agaknya. Jadi, tiada agenda makan-makan bersama minggu nih.

Habis-habis, tengok bola ACMilan, pasukan peberet aku sejak zaman berzaman; sejak zaman trio Belanda VanBasten-Gullit-Rijkard bersama lagi. Zaman ACMilan sokmo-sokmo jadi juara peringkat Eropah, penghujung 80-an dan awal 90-an. Bertemu dengan juara Amerika Selatan, Boca Junior.

Keputusannya? Kecewa, kalah! Kalah sepakan penalti. Sedih juga, tetapi apakan daya, bola itu bulat.

Selepas bola, sekitar jam 12 bersaing-saing dengan Syed dan Adam ke Saezeriya, supper berat; shiou aji bongore sphagetti dan magharitta pizza. Makan, sembang-sembang dan balik.

Selamat tinggal hujung minggu, mana santai-santainya?


ILHAM HAMDANI at 14.12.03

Di tengah orang tua, dia-lah pemuda.
Dan,di tengah pemuda dia-lah ketua.
Bermazhab pada adil dan jujur,
berkitab pada sirah dan siasah.

IPIJepun mempersilakan anda semua ke program usrah-maya mingguan melalui YM kami,dan maklumat adalah seperti berikut;
i) JUMAAT,MALAM SABTU 8 MALAM
ii) SABTU,MALAM AHAD 9:30 MALAM
iii)PAGI SABTU 9:00 PAGI,KULIAH TAFSIR
iv) AHAD, MALAM ISNIN 8 MALAM

*mengikut waktu Malaysia.

Anda boleh pm kepada
addeen57,
shahreza03,
aznanhamat,
adiemad,
liya51

Name

URL or Email

Messages(smilies)

Diriwayatkan daripada Sahl bin Saad r.a katanya:
Janganlah kamu menghitung tarikh dari awal kebangkitan Nabi s.a.w dan hari kewafatan Nabi s.a.w. Janganlah kamu memulakan hitungan kecuali dari hari baginda tiba di Kota Madinah.

(Hadis Riwayat Imam Bukhari).

Israel hadapi kecaman baru di ICJ

THE HAGUE 24 Feb. - Israel hari ini menghadapi kecaman terbaru di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dari negara-negara yang menyokong tindakan Palestin mencabar langkah Israel membina benteng keselamatan di Tebing Barat.

ICJ bersidang selama tiga hari mulai semalam bagi memutuskan kewajaran pembinaan tembok keselamatan yang didakwa oleh negara Yahudi tersebut sebagai usaha untuk menghalang kemasukan pejuang Palestin ke wilayah mereka.

Bagaimanapun, Palestin mendakwa langkah itu merupakan taktik kotor Israel untuk menguasai kawasan Palestin kerana Tebing Barat merupakan wilayah Palestin.

Antara negara yang akan memberi keterangan pada perbicaraan kes itu ialah Jordan, negara yang paling tegas menentang pembinaan benteng keselamatan berkenaan.

Malaysia, Indonesia, Bangladesh dan Cuba merupakan negara yang paling kuat menyokong tindakan Palestin membawa kes itu ke ICJ.

PENANTIAN
[tulisan ini aku dedikasikan untuk seluruh pejuang]

Lahir di tengah kemelut yang berselut,
Lahir di tengah lumpur yang berlumur,
Kota Ismaliah 1906,
Tangisan bayi senyuman harapan ummah.

4 muka lewat la'natullah Mustafa makan khalifah,
Dia hidangkan wahdatul-ummah,
Bersatu dengan aqidah,
Berderap dengan mujahadah,
Berentap dengan sabilillah.

Dari desa-desa ke kota-kota,
Allah-lah matlamat kami,
Dari gurun padang ke gelanggang,
Rasulullah pimpinan kami,
Dari kota pasir Sinai, Alex Aswan,
Al-Quran perlembagaan tertinggi kami,
Dari denai-denai zahmah Kaherah,
Jihad jalan kami,
Dan,
Mati di jalan Allah cita-cita tertinggi kami.

Darah sudah jadi murah,
Mati sudah jadi sebati,
Penjara sudah jadi biara,
Dakwah sudah jadi lumrah,
Islam sudah jadi iltizam.

Menang,
Dan memang menang,
Cuma bila dan siapa?
Di sini, atau di sana.