Assalamualaikum,
Tidak ada idea untuk bercerita. Banyak lah sebabnya. Satu, sudah masuk mood cuti. Dua, badan tak berapa nak segar sangat, terasa semacam nak demam pula. Mungkin sebab suhu makin menurun kot. Tetapi, cuba gagahkan juga menulis, dan mungkin ini tulisan terakhir. Tulisan terakhir? Tulisan terakhir untuk tahun 2003!
Sekolah sudah mula bercuti, cuma aku sahaja yang masih belum bercuti. Tetapi, aku akan cuba buat cuti sendiri. Peduli apa, ahaks. Syed sudah bergerak awal pagi semalam dengan Adam, berkereta ke lembah salji gila-gila negeri Iwate di sebelah atas. Mungkin saat ini Syed dan Adam tengah main perang salji agaknya. Atau, tidak mustahil juga mereka tengah berperang bawah gebar tebal, sebab sejuk!
Aku? Tak pasti samada akan bertolak ke negeri Ehime di sebelah bawah pada hari Khamis atau Jumaat. Masih berkira-kira lagi. Apapun, yang pastinya InsyaAllah aku tidak akan menulis selama hampir seminggu. Tak tahu lah pulak kalau ada yang rela-paksa nak ambil-alih tugas menulis di BandarSepi. Boleh email dengan aku, kalau berhajat.
Seperti kata Ciping dalam blognya; orang Jepun memang sasau sedikit! Walaupun mereka lahir secara buddha, kemudian sepanjang-panjang hidup tiada pegangan agama, tetapi ketika raya mereka sambut Krismas. Ketika kahwin pun mereka ikut kristian di gereja. Dan, ketika mati nanti mereka akan kebumi balik cara Buddha. Sasau bukan? Begitulah kalau manusia tanpa agama, ibarat buih di tengah lautan yang berbadai besar.
Hampir semingguan dalam minggu ini, ke mana-mana ada sentimen krismas. Buka tivi, ada sahaja gambar-gambar artis dengan pakaian badut santa-claus beraksi. Kadang-kadang terasa seperti orang Jepun ini lebih kristian dari orang kristian sendiri. Melampau-lampau sangat suka dengan krismas! Ke kedai atau pasaraya, boleh jumpa di kiri dan kanan hadiah-hadiah besar untuk sambutan krismas. Untuk pasangan percintaan, krismas adalah episod romeo dan juliet musim sejuk. Pelik!
Mulai Jumaat, semua operasi pejabat dan kilang di Jepun tutup hampir seminggu, sampai Januari 4. Lama tuh! Cuti tahun baru.
Aku benar-benar tidak ada mood untuk menulis. Jadi, sampai di sini dulu. Salam-salam ceria untuk semua pembaca BandarSepi. Terima kasih atas kunjungan anda, jumpa lagi!
Jom! Naik troli ke Ehime
ILHAM HAMDANI at 23.12.03
Assalamualaikum,
jom campak-campak!
Hari Ahad? Apa yang dibuat hari Ahad, hari minggu. Hari Ahad hari libur.
Tak banyak! Habis-habis pun bermesra-mesra anak melayu di kampung Hitachi ni dengan masakan nabe claypot . Boleh lah tahan menariknya. Kumpul duit seorang sedikit, makan ramai-ramai. Ah! Menariknya.
Di Jepun, kalau musim-musim sejuk seperti sekarang, dengan suhu terendah di awal pagi mencecah -3 di tempat aku, masakan claypot seperti ini menjadi sinonim dan serasi. Mungkin pasal cara memasaknya yang senang dan "campak-campak" kot. Apa yang berhajat nak makan, campak sahaja ke dalam periuk tanah. Bebola ikan, sayur segar, udang, apa sahaja lah yang terfikir. Cuma, jangan campak daging kambing sudah lah, ahaks. Dan, kebanyakan barang-barang rencah untuk nabe claypot sudah ready-made dari kedai lagi. Cuma, sediakan duit dan aktiviti mencampak pun bermula!
Kali terakhir ke rumah keluarga angkat Jepun dua bulan lepas pun dijamu dengan nabe claypot udang sebesar ibu jari, walaupun sebenarnya masa tu masih dalam 'idah musim luruh lagi. Kala-kala asyik bermanja dengan emak angkat yang duduk tambahkan udang ke dalam mangkuk aku, [ amaran : jangan cemburu ya! ahaks ] berkata dengan bapa angkat, "awalnya bermasak dengan nabe claypot. Masih belum musim sejuk, bukan? " "Sekarang nih, tak tunggu musim sejuk, asal terfikir nak makan sahaja, campak-campak sahaja." Gelak-gelak si ayah!
Itu bercerita tentang campak-campak nabe claypot. Dan, ada satu lagi jenis campak-campak juga, mungkin dua beradik kembar dengan nabe claypot tu; emak lain bapa asing. Campak-campak yang kedua namanya oden. Mungkin senang untuk bercerita dengan kalian, lebih-kurang masakan yong tau fu [YTF] di Malaysia.
Di Malaysia aku tak pernah makan, atau pun berhajat nak makan masakan chinese style yang telah dimelayukan ni. Entah lah, mungkin zarah-zarah chinese yang masih mengasak minda aku, menjadikan aku tertutup selera dengan YTF ni. Bukannya tak pernah terserempak dengan YTF ni, tapi tak terbuka selera untuk merasa walaupun secubit. Ingat lagi, masa di UM dua tahun. Kalau petang Rabu selalu lah bermotor-motor kami ke Pasar Malam Kampung Kerinci, dan kawan-kawan yang gila YTF nih, memang itulah tujuan yang sahihnya. Aku, maaf lah!
Tetapi, sejak datang ke sini, terutama masa tahun satu di Mito, adalah sekeluarga Jepun yang turun-temurun baik dengan budak-budak Malaysia yang rajin sediakan YTF oden ni. Kami senang gauli keluarga Jepun nih dengan panggilan ojiisan obaasan [datuk dan nenek]
Dan, selalunya yang jadi tukang menelefon dan rajin melayannya, budak ni la
Lama-lama sekali, mengidam nak makan oden terbayang dengan ojiisan obaasan. Telefon ojiisan si datuk, hujung minggu serbu ramai-ramai berentap oden istimewa dari obaasan. Bahagianya! Alangkah bahagianya dunia kalau semua mahu berhati luhur dan sudi menghulurkan kemesraan tanpa berbatas-batas pada bangsa dan rupa, bukan? Terima kasih datuk-nenek Jepun!
Kalau ada super-super senior keluaran Ibaraki yang baca BandarSepi [ aku tahu, ada juga di antara mereka yang sesekali jenguk ke sini. Mungkin mahu mengembalikan kenangan silam zaman-zaman jadi hero kampung Hitachi agaknya, ahaks! ] aku pasti mereka tentu maklum benar dengan ojiisan obaasan yang sepasang ini. Baik sangat!
Dan ojiisan obaasan ni pun sudah maklum benar apa yang boleh makan, apa yang tidak boleh bagi budak-budak Malaysia. Yang jadi kesukaan aku, selain bebola ikan dan telur rebus ialah daikon atau ubi. Sedap! Makan panas-panas masa sejuk, perh.. bakal mertua lalu di sisi pun, bo layan lah, ahaks.
oden dan nabe
tanda kasih sayangmu
Tuhan yang tahu
oden dan nabe
rindu kemesraanmu
sampai ke mati
ILHAM HAMDANI at 22.12.03