Saturday, January 10, 2004

Assalamualaikum,

Iftitah

Alhamdulillah! Selalunya kesakitan, kesusahan, kepayahan mengajarkan banyak perkara. Atau sekurang-kurangnya ia bisa menjentik akal kita sudah kembali pada aras yang waras;

"Eh! Apa ini petunjuk atau kirafat dari Tuhan? "

Al-kisah

Semalam aku kemalangan! Eh, silap! Aku menjentik kalian kepada kebimbangan ["Ya Allah DatukBandar. Parah ker?" "What?! Datuk accident no!!" sedutan beberapa scene fanatik DatukBandar, ahaks!] Maafkan aku! Bukan aku yang kemalangan, lebih wajarnya aku tulis begini; "kereta aku yang kemalangan." Maafkan aku!









Sekali lagi, Alhamdulillah. Aku tak alami kecederaan apa-apa. Cuma, "jantung hati" sahaja yang parah. Kasihan dia dengan keparahannya. Dan aku baru sahaja hantar dia ke Unit Rawatan Kecemasan, aka ICU. Mungkin dua minggu dia kena dirawat.

Aku dilanggar dari belakang. Aku berkedudukan nombor tiga ketika menanti lampu merah di sebuah lampu isyarat. Baru lepas keluarkan kaset Skim Cepat Papa oleh Ustaz Shamsuri Ahmad dari drive kaset.

Tiba-tiba ...

"Eh, aku kena langgar ker? " Pusing belakang, alamak ...cermin kereta berderai.

Terus tarik hand-break, buka pintu. Nak ngamuk nih [ cuba kalian bayangkan Incredible Hulk dengan keadaan muka hijau dan koyak-koyakkan baju dia! ]

"Sorry-sorry kereta belakang slip ! " Seorang pakcik dalam usia 60-an memohon maaf. Langsung marah jadi separuh. Itu tips sebenarnya. Perkataan maaf dan sesal tu selalunya melembutkan hati pemarah, kan?

Tengok belakang trak pakcik tu, sebuah kereta yang dipandu pemuda dalam usia 20-an cantik sedang mencium bontot lori pakcik tu. Kereta wak-segan panduan kirinya [kalau anda tanya aku; Jepun pandu kiri ker kanan? Meh aku jawab; "kanan!" ] remuk teruk, terutama sebelah kanan keretanya. Pemuda 20-an tu pun keluar, sambil tunduk-tunduk kepala minta maaf pada aku dan pakcik 60-an. Aku?Marah tadi dah langsung sejuk, sesejuk gigil jam empat pagi.

Ceritanya; wak segan pemuda 20-an sudah cium dengan kasar dan rakusnya trak pakcik 60-an. Dan trak pakcik 60-an yang diciumi dengan kasar dan rakus oleh wak-segan teruja, dan mencium dengan manja pula kereta aku. Cuma, kereta aku kuat iman tak cium pulak kereta yang di depan aku. Cuma jadi cinta tiga segi sahaja!

Pakcik 60-an pemandu trak putih telefon polis. Dan, polis Jepun lembab! Dan, polis Jepun lembab! Dan sekali lagi polis Jepun memang lembab!

Sementara nak tunggu polis datang, kami bertiga boleh borak-borak setelah penat saling ushar kereta. Pakcik 60-an siap boleh offer air tin setin, tetapi aku tolak. Dan, aku sempat masuk dalam kereta yang cermin belakang sudah lompang dan baca habis satu bab novel Sempadan Tanpa Seri keluaran Creative Enterprise tulisan penulis John Norafizan. [oh tidak! Aku tidak fikir entry ini sesuai untuk aku sekali lagi jadi tukang promo-buku yang berjaya seperti aku telah berjaya sihirkan ramai orang dengan Rona Bosphprus, ahaks! ]

Lepas tu barulah sebuah patrol polis dengan 3 anggota datang terkedek-kedek, macam itik pulang awal pagi. Diminta pada aku lesen antarabangsa dan dokumen kereta. Aku berikan pada polis tu lesen antarabangsa yang tamat tempoh bulan November tahun lepas, dokumen kereta, dan satu lagi ID kad. Nah, betapa yakinnya aku! Polis minta dua benda, aku bagi polis tiga benda langsung. Alah, apa nak takut? Aku pegang prinsip, "berani kerana benar, takut kerana tak benar."

Lesen antarabangsa sudah mati tahun lepas? Aku tahu dah mati! Dan, satu lagi aku tahu; polis Jepun tak tahu lesen tu dah mati. Ah! Betapa tidak lembabnya polis Jepun. Polis belek-belek, catat-catat dan bagi balik. Langsung polis tu tak tahu kata lesen antarabangsa aku tu dah tamat tempoh, walhal kat depan tercop megah 25 November 2002-25 November 2003.

Ish, betapa tidak lembabnya polis Jepun, kan?

...bersambung selepas balik makan dari Rumah Rames...InsyaAllah..

...bersambung selepas "makan besar" di rumah bro Rames...

Polis Jepun memang lembab! Lepas ambil dan catat segala maklumat dari aku, 3 polis Jepun yang lembab terus pergi macam tu. Aik! Lepas kereta aku kena cium dengan baik dan romantisnya oleh trak putih, takder laporan bertulis, takder apa, langsung settle macam tu jer. Ish, nak jer aku lempang polis bertiga tu. Cuma, risau pulak ... nanti tak pasal-pasal aku kena tulis report lain pulak; "mengapa anda lempang 3 polis? " Lalu, aku sabar sahaja.

Akhirnya kami selesaikan bertiga, dan pakcik 60-an yang banyak jadi ketua. Ambil alamat dan nombor telefon syarikat insuran pemuda 20-an. Memang pemuda 20-an tu salah 200%, 100% dia salah pada pakcik 60-an dan 100% lagi salah pada aku. Bertukar-tukar nama, alamat dan nombor telefon kemudian beransur.

Masa tengah dok settle tu, Syed datang untuk bertumbuk. Eh, tak! Tak! Datang untuk moral support pada aku kalau apa-apa hal.[Masa lepas sahaja berdebum tadi, aku terus telefon Syed. Bukan apa, sebagai langkah keselamatan. Dan Syed offer untuk datang. Terima kasih! ]

Lepas selesai semua bertukar-tukar MoU antara tiga pihak yang bertelagah, selesai. Aku pergi vendor mesin tak jauh, keluarkan 240yen beli dua tin minuman panas. Satu untuk aku, dan satu untuk Syed. Oh! Syed datang semata-mata untuk setin minuman panas percuma, ahaks. O, hampir terlupa. Sebenarnya Syed datang sebab sudah tertulis di Luh Mahfuz lagi pada jam 5:05 pagi 10Januari2004 dia akan dapat minuman panas percuma dari aku. Ya, semuanya sudah tertulis sejak sekian lama di Luh Mahfuz dulu. Lalu, kita hanyalah sebahagian dari pelakon-pelakon kepada skrip Tuhan di atas pentas dunia. Nah!

Akhir kalam

Moraliti, walaupun kita tidak melanggar orang jangan ingat orang tidak akan melanggar kita. Lalu, sebelum kita dilanggar orang, sakit, dan kemudian mati, persiapkan diri kita Titik


ILHAM HAMDANI at 10.1.04

Friday, January 09, 2004

Assalamualaikum,

Antara Jumaat ke Jumaat

Aduhai! Cepatnya masa berlalu. Terasa semacam baru semalam berlalunya dua Jumaat[ dua Jumaat, Jumaat dua minggu dulu! ] dan hari ini sudah berjumaat lagi. Apa ini tanda-tanda datang akrabnya hari-hari kehancuran pada dunya?

Jumaat dua minggu lepas

Semuanya masih terkesan dan hijau dalam sarung kenangan!

Berpagi-pagi kejutkan Qusyairi, minta bersegera hantar aku ke eki Hitachi-Taga. Mesti sebelum Subuh! Tahu kenapa? Oh! Bukan kerna mengejar keretapi pagi semata-mata, tetapi demi mengejar status sebagai seorang musafir. Kalau selak kitab feqah sikit, ulama menggariskan bagaimana untuk memberi status "musafir" kepada mereka yang bergerak pada hari Jumaat; bertolak sebelum Subuh! Kalau tidak, solat Jumaat menjadi wajib atas mukallaf lelaki.

Lalu, bersolat Subuh aku di dalam densha. Terfikir untuk solat Subuh di platform keretapi, tetapi kotor dan angin dari laut yang dekat menampar-nampar menjadikan aku gigil. Akhirnya dalam keretapi sahaja, sendiri-sendiri.

Sampai Ueno eki [eki-eki nih maksudnya stesen keretapi tau! ]. Tukar kepada keretapi "jalur hijau" Yamanote Line yang bergerak secara lingkaran yang hubungkan bandar-bandar besar di Metropolis Tokyo, seperti Shinjuku [ stesen keretapi paling sibuk di dunia, statistik beberapa tahun lepas. Yang mutakhir? mungkin masih mengekalkan ranking yang sama ], Shibuya [ Kedutaan Besar Msia di sini! ], Akiharabara [dikenal sebagai Bandar Elektrik!] dan banyak lagi. Ada sekitar 30 stesen untuk satu pusingan lengkap. Sah anda tidak akan sesat! Sebab? Ia bergerak secara lingkaran, nanti-nanti akan kembali ke stesen asal.

Sampai Tokyo eki terus ambil shinkansen, konon-konon nak mengejar rombongan Niihama yang ramai yang berlepas dulu. Malangnya ada dua muslimat yang tercicir, lalu aku tunggu dua muslimat ni di stesen Atami. Kasihan pula dengan muslimat berdua, kalau tidak disertakan dengan lelaki. Ar-rijal kan pimpinan untuk an-nisa'?

Dari Atami eki, aku jadi bertiga dengan dua muslimat lain. Bertukar keretapi di Ogaki eki, sebuah transit station di negeri Gifu tak jauh di Nagoya. Kemudian tukar lagi, di ..di Himeji kalau tak salah. Dan tukar lagi di Okayama. Rombongan besar memang kami tak sempat kejar. Tak per, biar mereka berlalu dulu. Di Okayama kebetulan ada dua lagi muslimat lain yang ingin ke WinterGathering bergabung dengan kami. Itupun secara kebetulan. Sudah jadi lima orang; aku dan empat muslimat. Bertukar keretapi lagi di tak ingat nama, kemudian lagi di Sakaide, dan akhir sekali sampai juga ke Niihama. Angin sejuk menyambut kami berlima jam 1 pagi. Naik teksi berlima, mujur pakcik teksi tu sporting. Dan bermalam di Masjid Niihama.

5 pagi bertolak, tiba hampir-hampir jam 2 pagi. Berapa jam tu?

Jumaat lepas

Bermalam di rumah adinda Reza di Tokyo. Itupun kami sampai ke rumahnya sekembali dari Niihama dengan keretapi subway yang terakhir, jam 12:xx pagi. Dalam erti kata lain, kalau terlepas subway Mita Line itu, kami boleh bermalam di eki, atau menapak entah berapa kilometer, atau bayar tambang teksi yang dua kali ganda. Selamat, dalam kejar-kejar dapat juga menyelit dalam subway yang terakhir tu. [orang Jepun panggil chika, singkatan dari chikatetsu! ]

Pagi Jumaat, minum pagi di rumah Ustaz Zaitun; ustaz jemputan ke program WinterGathering kami. Sambil-sambil itu kami bermuhasabah pasal program. Kemudian langsung berjumaat di Institut Bahasa Arab di Hiroo [lebih dikenali dengan Masjid Hiroo] Ketemu dengan teman-teman dari JAD, pelajar-pelajar tajaan MARA. Lepas berjumaat, baru bersantap masakan Pakistan di Ikebukuro eki. Kemudian langsung bersolat Maghrib sekali jamak Isyak di Ekoda, tempat adik-adik persediaan Bahasa. Lepas tu, langsung ada satu lagi tugasan; sessi muhasabah kecil dengan adik-adik yang ke WG. Lor, sekali bukan adik sahaja yang ikut muhasabah, rupanya kakak-kakak pun ada. Sila-sila, bisa-bisa sahaja; " yang paling meninggalkan kesan kepada saya ..ermm..Abang Izuddin menangis ketika sessi muhasabah .." Merona merah muka aku! Aku sayang dengan IPIJ dan perjuangannya.

Jumaat

Nah, hari ni Jumaat kembali lagi. Atau, siapa sangka Jumaat hari ni menjadi Jumaat yang terakhir untuk aku? Bersediakah duhai diri?

LambaianKaabah siri dua

Aku sempat di kota Al-Haram sebelum berwukuf kira-kira seminggu. Sempat juga sekali menunaikan umrah, dengan Ustaz Naim, teman dari Al-Azhar yang ikut rombongan PMRAM. Telefon opah di Malaysia; " jangan kalut nak buat umrah sangat! Jaga diri sebab nak buat haji dengan selesa " Malangnya, aku terleka dengan manis ibadah. Lalu ketika jelang-jelang saat nak wukuf, badan rasa lemah dan hampir-hampir demam.[ itupun, mujur tak ikut pakej "haji nabi saw" yang sahabat-sahabat Madinah tawarkan, kalau tidak lagi letih dan sekeping jadinya.]

Memandangkan kami dari Jepun yang bertiga ni lone ranger; tidak ikut mana-mana pakej urusan Haji kami bergabung dengan rombongan haji dari PMRAM Mesir, yang duduk di bawah TabungHaji untuk urusan haji. Terima kasih untuk Ustaz Anhal Opir, Ustaz Nizam[mantan Presiden], Ustaz Ilias@Poksu [ aku berpinjam kain pelikat dan baju melayunya demi menyalin tubuh dari sekeping kain ihram selepas selesai tunaikan umrah], dan teman-teman PMRAM yang lain yang terlalu baik dan banyak membantu.

Masuk musim haji, bertolak untuk wukuf di Arafah. Berjanji bertolak selepas maghrib, tetapi memandangkan jam Arab; lepas Isyak pun masih lepas maghrib bukan? Akhirnya janji lepas maghrib tu jadi sampai ke pukul 10 lebih. Sampai di Padang Arafah sudah hampir tengah malam. Dan, malam itu bermalam di bawah kain karpan, kata orang utara. Tidak ada dinding, tak ada tilam bantal.



Ketika itu, badan memang rasa panas. Letihnya Tuhan sahaja yang tahu. Ujian, ujian, Arafah ini bumi ujian. Itu sahaja yang terfikir. Malam itu, memang masing-masing asyik ibadah dan ibadah. Memang pun, antara tempat yang paling mustajab doa ialah ketika di Arafah. Betul! Arafah sudah banyak ditanam dengan pokok-pokok kayu, tidak betul-betul kosong seperti gambaran padang Mahsyar. Kenapa ya?

Subuh di hari wukuf, dan kemudian ada kuliah Subuh. Aku sudah separuh mamai. Seperti mahu pitam pun ada! Teman-teman dari Mesir beri ubat panadol minta telan, terima kasih! Kemudian, menjejak ke waktu Zohor [ ini waktu masuknya saat untuk wukuf], berkhutbah Arafah. Kalau tak salah, Ustaz Daud Che Ngah yang berikan. Ingatan-ingatan yang lumrah; "banyakkan ibadah, banyakkan doa untuk haji mabrur, kita sudah hampir waktu haji. Ikhlaskan niat.."

Subhanallah! Aku tidak boleh menulis bagaimana untuk menceritakan suasana di Arafah itu. Kalau ditulis pun, pasti takkan sama! Manusia semuanya dengan pakaian sehelai, berputih suci. Dan, dalam kepala hanya ingat Allah, Allah, Allah. Mulut yang keluar tasbih-tasbih. Anggota tubuh sentiasa ingin-ingin untuk Sujud. Dan seluruh alam bergema bagai lebah dengan kalimah tasbih dan tahmid.



Menjejak ke petang sebelum maghrib, naik ke bukit tidak tinggi hampir dengan kawasan khemah. Tengok keliling, nampak nampak saujana mata ialah pucuk-pucuk khemah. Putih belaka, dan selebihnya manusia yang juta-kuta. Dan, dari jauh nampak batu putih di bukit yang lain. Itu Jabal Rahmah! Itu tempat datuk-nenek kita Adam as dan Hawa as bertemu kembali setelah dicampakkan ke bumi dan berpisah sekian masa, dan mereka bertemu kali pertama di dunia di situ, Jabal Rammah! Lalu, ada bunyi-bunyi khurafat; berdoalah di situ untuk bertemu jodoh yang baik. Ada ker di sebut dalam hadis nabi?

Di puncak bukit tidak tinggi itu, terus-terus angkat tangan berdoa; kebahagiaan dunya yang sementara, dan kebahagiaan akhirat yang kekal abadan-abada.

bersambung, di Mina; melontar syaitan?


ILHAM HAMDANI at 9.1.04

Wednesday, January 07, 2004

Assalamualaikum,

Opah

Lama betul tak bertelefon ke kampung, seingat-ingat sejak raya. Dan, semalam telefon lah ke kampung bercakap dengan opah. Sudah lewat juga, hampir jam 11 malam waktu orang Malaysia. Waktu orang Jepun cepat sejam, kalian kira lah sendiri! Opah pun hampir-hampir nak tidur dah. Mujur terkenangkan cucu manja dia sorang, debus bangun juga bicara.

Sembang macam-macam. Dari kisah TukAyah yang tak jadi nak mai sini, gara-gara bimbang tak tahan sejuk sampai la cerita orang yang "turun" ke haji. Tak jadi datang pula! Aku tak kisah sangat samada TukAyah nak datang atau tidak berjalan ke sini. Kalau datang, aku layan sebaiknya. Kalau tak datang pun tak jadi ralat. Kemudian, abah offer Opah pula kot-kot nak datang menjenguk cucu dia, pun tak mahu. Beralasan dengan sejuk juga! Lalu, mungkin adik aku Amy seorang sahaja yang datang. Beres.

Bercerita pasal orang "turun" haji. Kata opah, ramai juga orang yang tak boleh pergi tahun ni. Mula-mula nama naik, tetapi tiba-tiba batal, kuota tak cukup. Yang peliknya, orang yang sudah banyak kali pergi, dapat pergi lagi. Yang pertama kali nak pergi, nama terpotong pula. Kasihan! Mungkin inilah namanya belum sampai seru, agaknya.

Lambaian Kaabah

Sudah separuh berlalunya bulan Zulkaedah, dan sedikit hari lagi musim haji datang. Aku pasti saat-saat sebegini, kota Mekah makin jadi kecil. Oh! Bukan mengecil, tetapi menjadi makin padat, sesak dan zahmah dengan umat yang datang dari pelosok-pelosok dunia. Hingga ketika hampir-hampir semingguan kepada tempoh wukuf, kota Mekah memang benar-benar padat dan sesak. Setiap inci buminya ada manusia. Dan menjadi takjub, manusia menjadi seperti suara lebah. Gema mereka sentiasa berbunyi dengan tasbih dan puji-puja pada Allah. Subhanallah! Kita takkan berjumpa dengan situasi sebegini melainkan di sini. Inilah wahdatul ummah!

"Dan berserulah kepada manusia untuk mengerjakan haji, niscaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki, dan mengenderai unta yang kurus yang datang dari segenap penjuru yang jauh"[ Al-Hajj : 27 ]


Kenangan itu masih hijau!

Semingguan hampir dengan wukuf, hari Jumaat. Hampir pukul 11, baru nak bertolak ke solat Jumaat. Ingatkan masih awal, sekali ketika tiba di perkarangan al-haram. Nah! Kena bersolat Jumaat di bawah terik mentari, bersejadah dengan aspal tar, dengan keliling asap bas, sekira-kira satu kilometer dari al-haram. Sedang suara imam dan khatib entah di mana.

Berpagi-pagi ketika hampir masuk musim haji memang indah sangat suasananya! Laman Masjidil Haram yang seluas-luas mata memandang itu penuh dengan manusia setiap inci buminya. Dan setiap manusia itu sujud, membaca Al-Quran dan beribadah seperti tidak ada hari esok. Sungguh, tiada kedamaian lain melainkan di sana. Dan, aku pun terpanggil sama. Dapatlah berkhatam sekali dalam tempoh tak sampai 20 hari. Mana tidaknya, asal ada masa, baca Al-Quran, rasa letih sedikit bergantian dengan solat sunat. Rasa haus, cari sahaja mana-mana zam-zam water cooler.



Kala-kala lepas Zohor menanti ke Asar, baru lah keluar memberi isi kepada perut. Kebab arab dengan dagingnya yang panas-panas, ataupun masakan Asia dari makcik-makcik Pattani atau Indonesia di kaki-kaki lima kedai-kedai di luar MasjidilHaram. Ataupun aiskrim istimewa tak jauh dari stesen bas SAPCO, sedap memang sedap. Selepas itu, kembali semula ke dalam masjid, dan terus sujud dan sujud.

Bersambung, Padang Arafah, bermuktamar budak Malaysia sedunia di Mina, di"culik" missionery syiah dan, dan, dan InsyaAllah


ILHAM HAMDANI at 7.1.04

Tuesday, January 06, 2004

Assalamualaikum,

Nikmat sakit

Semalam, aku memakai topeng batman mask. Pertama, demi melindungi diri aku sendiri dari jangkitan virus demam-demam musim sejuk, dan keduanya tak mahu kalau-kalau virus aku terbang pada orang lain. Kasihan! Malangnya, ketika nampak sahaja aku bertopeng tutup hidung begitu, pantas sahaja Kashimura mengutuk aku;

"Oi, orang Malaysia kena SARS ker? " Aduh! Sabar jer lah! Nak marah? Habis-habis pun aku sengih sahaja.

Ketika aku sedang asyik bermanja-manjaan dengan mesin seorang diri di dalam bilik kerja, tiba-tiba datang Senada-san. Terus dia sentuh badan aku. Apa hal pulak orang tua ni? Aku blank! Aku tak fikir ia salah-satu dari gangguan seks, mustahil! Kemudian dengan baik-hatinya, Senada-san bukakan dua keping plaster pemanas lalu dia tampalkan satu di belakang baju sweater aku, dan satu lagi di bahagian pinggang. Aduhai, baiknya lah! Terharu pun ada, malu pun ada. Mujur lah budak-budak lain tak nampak, kalau tak ...merona merah malu, ahaks.

Duduk tidak lama, Senada-san datang lagi, kali ni di tangannya ada beberapa keping kertas kadboard tebal. Senada-san jadikan seperti hadangan demi mengurangkan angin-angin yang mencuri masuk ke ruang aku duduk. Aduhai, sekali lagi aku terharu! Sebenarnya, aku tak kisah sangat pun . Sudah nama pun musim sejuk, takkan lah nak berpeluh pulak. Cumanya, Senada-san entah termimpi apa terlebih baik dan terlebih memanjakan aku pulak hari ni. Aduhai!

Lalu, apa lagi yang mampu aku balas? Sebuah ucapan terima kasih yang tidak putus-putus, dan jauh dalam hati;

"Ya Allah, alangkah indahnya kalau Kau berikan manusia yang seluhur hatinya ini nikmat hidayah..."

Nah! Cuba kalian pandang sekeliling kalian. Tak nampak kah kelibat-kelibat manusia yang baik-baik. Guru-guru yang kita tumpang ilmu mereka, rakan-rakan tempat luah suka-duka. Tetapi sayangnya orang yang baik-baik itu masih tidak bercahaya dengan iman, dan nanti di hari kebangkitan diazab selama-lamanya. Lalu, tiada belas kah kita pada mereka? Jom, kita buat sesuatu untuk kebahagiaan mereka, dan kebahagiaan kita jua!


Pernah makan setalam dengan non-muslim? Teman-teman yang ikut-serta dalam WGIPIJ2003 dengan seorang guru Jepun yang non-muslim sama-sama bersantap masakan kari Malaysia semasa majlis ramah-mesra penutup program.


Lagi-lagi kenangan WinterGathering2003

Banyak sebenarnya yang mahu dikongsi dengan kalian tentang program yang baru berlalu ini. Terasa terlalu manis. Apa ini namanya ukhuwwah Islam?


Tengah selesaikan masalah IQ ker teman? Oh tidak! Kalian sedang merantai ukhuwwah!
Paling kanan ialah seorang teman Jepun yang ikut-serta dalam aktiviti sukaneka muslimin.


Aktiviti LDK~tingkatkan 'izzah, rapatkan ukhuwwah


ii

Aku perasan satu benda masa makan-makan di WinterGathering baru-baru ini. Kalau masa muslimin yang kena giliran memasak [o ya! kami mengasingkan giliran memasak antara muslimin dan muslimat demi memelihara adab dan akhlak Islam], makanan memang cukup-cukup, ngam-ngam dan cun-cun. Tidak lebih banyak, dan tidak kurang banyak. Memang sedang-sedang elok sahaja. Pandai muslimin budget bahan masakan, kata aku sendiri.

Tetapi...

Kalau tiba giliran muslimat memasak, memang sah ... memang sah tak cukup! Sabar jer lah.

Tidak lah nak marah, tetapi nak marah jugak! Nak marah nih, nak marah!

"Kenapa muslimat IPIJ nih masak ... masak ... masak sedap sangat. Kan dah makan terlebih-lebih sampai jadi tak cukup pulak akhirnya.." Jangan marah ye muslimat IPIJ, yang awal-awal tu gimik datukbandar sahaja!

Terima kasih kepada chef-chef IPIJ yang masak sedap, terutama juadah nasi beriani dan nasi ayam [apapun, jangan lupa; hakikatnya kesedapan dan kelazatan dengan izinNya, kan?] Aku nak cadang satu aktiviti lah untuk program SummerCamp2004 nanti; apa kata buat kursus memasak nasi ayam dan nasi beriani style IPIJ. Lepas ni, aku pasti Chef Wan melutut punya, ahaks


pstt.. muslimin IPIJ yang nak makan nasi beriani sokmo-sokmo boleh berhubungan terus dengan Ustaz Mohd Zaitun, dia ada cara nak tolong ajarkan. Pesanan bermakna nih, ahaks.






ILHAM HAMDANI at 6.1.04

Monday, January 05, 2004

Assalamualaikum,

Berpagi-pagi

Pagi ini merenung naik ke langit biru, nampak bulan separuh Zulkaedah yang terang sangat. Cerah satu alam, indahnya! Terfikir-fikir sendiri, kenapa hati aku tidak secerah itu? Sebaliknya berbolak-balik dalam gundah-gulana ...cut!



"Kemudian tatkala dia [Nabi Allah Ibrahim as] melihat bulan terbit dia berkata; "Inilah Tuhanku." Tetapi setelah bulan itu terbenam dan dia berkata; "Sesungguhnya jika Tuhanku tidak memberi petunjuk kepadaku, nescaya aku termasuk orang-orang yang sesat." [Al-An'am : 77]


Pagi ini sejuk sangat! Bersin sudah tidak terkira, sampai naik merah hidung jadinya. Langsung sok-sek-sok-sek, aduhai lemahnya dengan sejuk ni. Walaupun aku sudah nak masuk lima tahun bermain dengan sejuk-panas di negeri Jepun ni, tetapi kalau dengan sejuk memang aku alah. Minta maaf la!

Tahun baru

Kebetulan semalam hari pertama bertemu semula dengan teman-teman Jepun, riuh rendah berbalas-balas ucapan; "akemashite, omedetou gozaimasu [selamat tahun baru, tahniah!] Yoda-san dari jauh lagi bila nampak aku terus menjeritkan ucapan itu, siap angkat tangan lagi. Pakcik seorang ni memang hona' sikit, padan lah berperangai begitu. [hona' ni bahasa orang utara, lebih-kurang gila-gila, ataupun gedebe dalam bahasa Kelate] Datang si Senada, aku ucap dahulu ucapan yang sama, dia balas balik; "Bukan akemashite, omedetou gozaimasu lah! " "Habis tu?" "Happy new year, hahaha " Amboi berlagak lak dia, hampeh!

WinterGatheringIPIJ2003

i

Aku kodkan salah-satu ayat Ustaz Mohd Zaitun yang masih aku ingat;

"Hari ni kita selalu sebut, saya bangga* saya lulusan universiti itu dan universiti ini. Tetapi kita jarang sebut, saya bangga* saya dapat baca Al-Fatihah dengan sempurna, dapat solat sesempurna solat nabi saw."

Gulp! Telan air liur sendiri. Aku macam mana?

*bangga merujuk kepada syukur

ii

Dalam rombongan pulang kami dari Niihama yang seramai 24orang, aku diangkat jadi kepala. Kebetulan ketika kami bertukar keretapi di stesen Okayama, aku dua orang muslimat yang tercicir dari kumpulan kerana sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Mungkin salah aku juga kot, sebab terlepas amanah. Aku harapkan ada ketua bahagian muslimat yang ambil-alih, tetapi tak juga. Akhirnya, nak taknak aku terpaksa biarkan sahabat-sahabat lain bergerak dulu, dan aku tunggu dua orang muslimat yang hilang. Akhirnya, aku dan dua muslimat tertinggal keretapi yang bertolak jam 11:21 pagi tu.

Pusing punya pusing berjumpa lah dengan mereka berdua, nak marah? Tak guna pun. Habis-habis aku senyum, tanya sudah sembahyang Zohor atau belum. Belum! Naik platform balik, belanja muslimat tu makan soba [rezeki orang terlepas keretapi lah tu, ahaks!]

Sementara dua orang menjamu soba aku pusing cari port untuk Zohor berjamak sekali dengan Asar [kebetulan aku baru sahaja makan, pula segan rasanya nak bersekali duduk makan dengan muslimat berdua] Semua selesai bersolat, baru turun semula ke tepi trek keretapi, tunggu keretapi seterusnya. Sedang teman-teman yang 21 orang lain tunggu kami di stesen Himeji.

Beberapa kali dua muslimat tu minta maaf dengan aku. Aku biasa jer! Nak minta maaf apa, sekurang-kurangnya ia jadi satu iktibar buat mereka, dan buat kita. Satu tarbiyah dari Allah juga tu!

"Alah, itu satu tarbiyah juga. Kita selalu dengar teori dari kuliah, dengar kata-kata pimpinan, taati pimpinan. Nah, tunai-tunai Allah beri kita ujian. Kan bagus itu. Untuk didik kita dengan cara praktiknya, tak gitu? "

O ya! Kerana tertinggal densha khabarnya dua muslimat tu dapat mencipta satu falsafah mereka sendiri;

"Berhenti keretapi lama*, tak semestinya tak tertinggal keretapi. " Aku tergelak besar!

*Biasanya kalau untuk pertukaran dari satu keretapi ke keretapi lain masanya agak singkat, kadang-kadang ada yang sesingkat 2-3 minit. Jadi, selalunya kena cepat-cepat bergerak untuk tukar keretapi sampai kadang-kadang kena berlari-lari lagi.

Tetapi, kebetulan masa di stesen Okayama hari tu agak lama, dekat sejam. Siap boleh rehat makan soba lagi. Itu yang boleh tercipta falsafah sebegitu; "berhenti keretapi lama, tak semestinya tak tertinggal keretapi."


ILHAM HAMDANI at 5.1.04

Sunday, January 04, 2004

Assalamualaikum,

Batuk-batuk sempena tahun baru 2004 masih berlanjutan. Tekak terasa gatal-gatal benar, lalu terpaksa batuk kecil demi melunaskan rasa gatal. Asal terjaga dari tidur, mesti tekak disirami dulu dengan segelas dua air buat hilangkan rasa haus. Sejak semingguan dulu, sejak safar ke daerah Niihama lagi. Alah, rezeki dari Tuhan, kan?

"Dan sungguh akan Kami berikan sedikit cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar"[Al-Baqarah : 155]


Sebenarnya masih tercari-cari mood untuk kembali menulis. Entah lah, mungkin lama benar bercuti menjadi jari-jemari sedikit keras untuk menari canggung di atas papan kekunci. Hanya mengembara dari jurnal teman-teman, mengambil idea, mencuri ilham. Ramai juga yang sudah berwajah baru kulit jurnal mereka, azam tahun baru gamaknya. Azam tahun baru? Ah! Aku tetap sama. Aku adalah aku! Asal boleh memberi secangkir sumbangan pada teman dan pada Islam, itu sudah satu kesyukuran yang maha besar. Doakan aku!

Hari ini, dalam letih-letih dan lelah-lelah yang masih belum lampias semuanya dari badan lalu memulakan sekolah. Alahai malasnya! Tetapi, masih ramai lagi teman-teman dari daerah lain yang masih bercuti. Semalam pun, masih ada sekumpulan teman dari Iwate University, sebuah univerisiti di sebelah utara Jepun yang datang bertandang ke sini. Katanya, mereka lambat lagi buka sekolah. Memang pun! Kebanyakan universiti yang banyak salji, di sebelah atas agak lama cuti musim sejuknya. Mungkin sebab kasihan dengan budak-budak yang terpaksa berperang dengan salji, agaknya!

Hajat hati aku yang ingin ke rumah keluarga angkat masih tergendala. Banyak kali telefon ke rumahnya, tak berjawab. Langsung masuk ke kotak pesanan. Mungkin tiada di rumah kot, balik ke kampung mereka di Okayama, rasanya lah. O ya! Tengah merangka-rangka sebuah cerpen lagi. Sudah tiga perempat siapnya, berlatarkan kisah benar ibu Jepun yang bersahabat dengan arak! Cerpen ini pun aku tulis semasa dalam densha [keretapi] perjalanan dari tokyo-niihama baru ni. Alhamdulillah, menulis semasa dalam perjalanan yang mencecah hampir 24jam tak henti itu jadi licin dan lancar. Sekarang hanya tinggal tulis semula ke dalam komputer, dan tugasan editing. Hai, makin rancak menulis sejak mutakhir ini! Mungkin sekadar ingin abadikan sisa-sisa kenangan aku di bumi sakura ni kot.

O ya! Semalam kebetulan dapat berbicara dengan seorang teman baru di sini, bicara-maya. Kebetulan menjadikan kami lebih akrab, sama-sama sefahaman pada minat; sirah! Wah, kali ini aku memang benar-benar bertemu dengan ruas. Lama bersembangnya, seputar kisah dakwah, cerita-cerita persatuan, saling tukar kisah sirah dan sejarah Islam. Terima kasih! Dan, hanya satu yang bersisa dari akhir pertemuan maya, kena banyak membaca lagi! Azam tahun 2004, kena banyak membaca, kena banyak membaca dan kena banyak membaca! Belek buku Fiqh Negara tulisan Dr Yusuf Qardawi di sisi, alahai bila nak habis ni? Kena banyak membaca!




ILHAM HAMDANI at 4.1.04

Di tengah orang tua, dia-lah pemuda.
Dan,di tengah pemuda dia-lah ketua.
Bermazhab pada adil dan jujur,
berkitab pada sirah dan siasah.

IPIJepun mempersilakan anda semua ke program usrah-maya mingguan melalui YM kami,dan maklumat adalah seperti berikut;
i) JUMAAT,MALAM SABTU 8 MALAM
ii) SABTU,MALAM AHAD 9:30 MALAM
iii)PAGI SABTU 9:00 PAGI,KULIAH TAFSIR
iv) AHAD, MALAM ISNIN 8 MALAM

*mengikut waktu Malaysia.

Anda boleh pm kepada
addeen57,
shahreza03,
aznanhamat,
adiemad,
liya51

Name

URL or Email

Messages(smilies)

Diriwayatkan daripada Sahl bin Saad r.a katanya:
Janganlah kamu menghitung tarikh dari awal kebangkitan Nabi s.a.w dan hari kewafatan Nabi s.a.w. Janganlah kamu memulakan hitungan kecuali dari hari baginda tiba di Kota Madinah.

(Hadis Riwayat Imam Bukhari).

Israel hadapi kecaman baru di ICJ

THE HAGUE 24 Feb. - Israel hari ini menghadapi kecaman terbaru di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dari negara-negara yang menyokong tindakan Palestin mencabar langkah Israel membina benteng keselamatan di Tebing Barat.

ICJ bersidang selama tiga hari mulai semalam bagi memutuskan kewajaran pembinaan tembok keselamatan yang didakwa oleh negara Yahudi tersebut sebagai usaha untuk menghalang kemasukan pejuang Palestin ke wilayah mereka.

Bagaimanapun, Palestin mendakwa langkah itu merupakan taktik kotor Israel untuk menguasai kawasan Palestin kerana Tebing Barat merupakan wilayah Palestin.

Antara negara yang akan memberi keterangan pada perbicaraan kes itu ialah Jordan, negara yang paling tegas menentang pembinaan benteng keselamatan berkenaan.

Malaysia, Indonesia, Bangladesh dan Cuba merupakan negara yang paling kuat menyokong tindakan Palestin membawa kes itu ke ICJ.

PENANTIAN
[tulisan ini aku dedikasikan untuk seluruh pejuang]

Lahir di tengah kemelut yang berselut,
Lahir di tengah lumpur yang berlumur,
Kota Ismaliah 1906,
Tangisan bayi senyuman harapan ummah.

4 muka lewat la'natullah Mustafa makan khalifah,
Dia hidangkan wahdatul-ummah,
Bersatu dengan aqidah,
Berderap dengan mujahadah,
Berentap dengan sabilillah.

Dari desa-desa ke kota-kota,
Allah-lah matlamat kami,
Dari gurun padang ke gelanggang,
Rasulullah pimpinan kami,
Dari kota pasir Sinai, Alex Aswan,
Al-Quran perlembagaan tertinggi kami,
Dari denai-denai zahmah Kaherah,
Jihad jalan kami,
Dan,
Mati di jalan Allah cita-cita tertinggi kami.

Darah sudah jadi murah,
Mati sudah jadi sebati,
Penjara sudah jadi biara,
Dakwah sudah jadi lumrah,
Islam sudah jadi iltizam.

Menang,
Dan memang menang,
Cuma bila dan siapa?
Di sini, atau di sana.