Thursday, January 15, 2004

Assalamualaikum,

Berpagi-pagi Jumaat aku jadi chef pula, demi menjawab apa takoyaki dan dorayaki.



Ini takoyaki! Lagi sedap dan terliur berbanding dengan dorayaki. Macam bro Rudi [ super-senior aku ni! tapi tak pernah jumpa pun masa dia di sini. balik Malaysia hari tu baru berjumpa, sama-sama makan sate-yaki, sate lah tu! ahaks ] kata, dan ramai lagi kata, takoyaki sedap! Cuma, tak tahu lah ada kedai takoyaki ker tidak di Malaysia. Bro Rudi, kalau takder, kita joint-venture lah nanti, ya ...ahaks

Apa nikmat sangat takoyaki ni? Aha, dalamnya berisi dengan tako, atau pun dimelayukan jadi sotong kurita. Itulah pasal dipanggil dengan takoyaki, maknanya sotong kurita yang digoreng. Tetapi, bukan tako semata-mata tako, ada salut dengan tepung, kemudian ada hias dengan kulit bawang [yeker orang panggil kulit bawang, kemai? ya kan? ..] Ada juga sesetengah kedai taruk sayur potong halus-halus sedikit, dan ada yang letakkan sejenis macam bertih sedikit. Itu lagi best.



Angkat sahaja takoyaki dari atas teppen [plate panas] , disiram sedikit dengan mayonis dan sos kicap, makan ketika masih panas berasap-asap. Masa tu, kulit bawang yang dihiris halus-halus tu pun masih bergerak lagi. Masuk dalam mulut, siap melecur sedikit kulit lidah. Ini lah kenikmatan paling besar ketika makan takoyaki!

[Ketika menulis ni pun, terasa cam nak meleleh air liur. Amacam bro Rudi? ahaks]

Aku pernah sekali buat sendiri takoyaki ni. Masa tu baru balik dari WinterGatheringIPIJ2002, dan singgah di Kobe [asal-asal takoyaki ni dari daerah Kobe dan Osaka. mungkin sebab dekat dengan pelabuhan, jadi senang dapat bekalan sotong kurita, agaknya!] dan kami ramai-ramai makan takoyaki hand-made di salah satu gerai di bandar Kobe. Itulah takoyaki paling sedap aku pernah makan. Sebabnya? Sendiri buat, sendiri ngap! [lebih kurang; masuk bakul angkat sendiri gak tu, ahaks]



Ha, ini barulah dorayaki! Nama dekat nak sama, tapi rupa lain-lain. Dan, tentunya rasanya pun lain. Apa yang menarik sangat dengan dorayaki ni? Entah lah, pada aku ...tiada sangat! Habis-habis sedap dengan inti kacangnya sahaja lah kot. [ ada juga inti dari ubi, tetapi tak banyak lah ]

Pada aku imej dorayaki ni imej orang tua. Makan pun tak mencabar seperti takoyaki tadi, sampai melecur-lecur lidah. Makan dorayaki ni, relak. Maklum lah makanan sejuk. Dan menambahkan imej tua pada dorayaki ni ialah boss tempat kerja aku yang umurnya 70-an selalu beri aku dorayaki ni. Mungkin sebab tu, bila sebut dorayaki sahaja, terbayang boss yang tua. Dan satu lagi, dorayaki ni kegemaran doraemon, ahaks.

Maka dengan itu tamatlah rancangan Dochi* untuk hari ni antara takoyaki dan dorayaki, domo arigatou!

*Dochi ialah satu program variety tivi yang mengundang artis-artis Jepun untuk ikut serta dalam program masak-masak. Setiap minggu akan dipertandingkan dua jenis masakan yang mempunyai kekuatan yang hampir sama. Contoh mudah, kari dan kurma. Lawan lah, masakan mana yang berjaya menarik minat artis lebih ramai. Dan yang lebih ramai, dapat makan masakan mereka, dan yang kalah melopong!








ILHAM HAMDANI at 15.1.04

Wednesday, January 14, 2004

Assalamualaikum,

Letih bin penat bin lelah!

Semalam sejuknya bukan main, aku sampai siap pakai empat lapis langsung. Macam kuih lapis jadinya, ahaks! Tshirt, baju kulit nipis sehelai, baju tebal sehelai dan luar sekali baju tebal lagi sehelai. Selamba! Ada seorang teman, taknak pakai begitu, katanya macam beruang eskimo. Dia kata lebih baik dia tahan sejuk sikit daripada jadi beruang eskimo. Lepas itu aku nasihat teman tu, kalau asyik mendengar komen-komen orang yang entah pelbagai, nanti jadilah kita seperti kisah Luqman Hakim dan anaknya dengan seekor kaldai.

Hai manusia ... macam-macam!

Juga di beberapa daerah di sebelah atas ada yang dilanda ribut hujan. Ada yang menerima salji tebal dan sebagainya. Mujurlah perkampungan Hitachi ni aman damai.

Tetapi, dalam sejuk-sejuk yang setengah gila tu ... aku tengok cik-cik gadis sekolah tinggi Jepun masih setia dengan skirt sekerat. Aduh, hebat! Teringat pesan seorang teman juga, bakal doktor; "yang sejuk-sejuk ni asalnya di tapak kaki. itu bahagian paling banyak reseptor kesejukan. jadi, sebab tu gadis-gadis Jepun ni pakai stoking tebal, dan kemudian berskirt pun sudah tidak jadi masalah." Masalah juga, masalah mata!

Hari ini berperang dengan komputer, lembab macam anak kura-kura! Sabar jer lah! Entah lah, apa sakitnya server jadi teramat lah perlahan[ skala pengukurnya, kadar kelajuan biasa 12M] Aku pulak memang jenis kurang sabar sikit kalau internet jenis perlahan ni. Yang lain perlahan, lemah gemalai boleh tahan lagi, jangan internet! Pada aku sudah terpaku kukuh dalam imej, internet mesti berdesup laju. Kalau boleh, belum tekan "enter" sudah berfungsi. Itu salah satu sebab aku malas nak berinternet di Malaysia, sebab lemb** . Eh! Bulan depan aku sudah jadi rakyat Malaysia semula, macam mana ya? Mungkin itu hikmahnya internet perlahan pagi tadi ...

Lusa pengamal-pengamal ilmu hitam,* ahaks blog di Malaysia akan bergathering di Tasik Titiwangsa.

*Ya, penulis blog sebenarnya adalah pengamal ilmu hitam! Mereka menyihir pembaca untuk ketawa bila membaca tulisan humor mereka. Menjadikan pembaca menangis teresak-esak bila mereka menulis tentang kepedihan. Nah, penulis blog ialah pengamal ilmu hitam, ilmu pukau, ilmu sihir, dan sewaktu dengannya!



Menariknya! Sayangnya aku terlambat sebulan, ataupun gathering tu sebenarnya tercepat sebulan. Kalau tidak, boleh sama memeriahkan gathering tahunan GengJurnal tu. Tak per lah, mungkin tahun depan lah kot, mudahan.

O ya! Bandarsepi tercalon masuk dalam senarai-pendek blog dakwah[?] sempena majlis Gathering Tahunan itu. Kalau tak salah aku, Khairusy yang calonkan Bandarsepi. Yang menyokongnya? Aku tak pasti. Cuma, dok terfikir satu sahaja; "dakwah ker Bandarsepi?" Tak kisah lah, menang atau kalah bukan soalnya. Kalau menang tidak jadi kudis, kalau kalah tidak pula jadi barah. Aku akan terus berbicara dari hati!

Aku harap nak tutup dah buku pasal kereta yang tercedera, tetapi masih ada teman-teman yang banyak menegur di YM[ walaupun aku sudah naikkan lambang no entry, semalam sahaja aku terima berbelas mesej! apapun terima kasih kerna menegur aku, aku balas kan teguran kalian, walaupun terlewat ..] Lalu, sebagai meraikan mereka yang bertanya, aku pun merajinkan diri untuk menjawab.

Alhamdulillah, petang semalam dalam sejuk-sejuk gila ke bengkel kereta, tengok kereta kesayangan tiada. Aik, mana hilang pula? Jumpa dengan bos bengkel [mamat ni memang kamceng , best!] , sembang-sembang dengan dia. Cerita dia; tengahari semalam orang dari syarikat insuran kereta datang lagi dan sudah meluluskan bayaran untuk kos pembaikan. Kereta sudah dihantar untuk pasang balik pintu belakang dan cermin belakang. Ok lah tu! Mamat tu pun sudah pesankan side-step, front step dan apa step entah lagi [ jenis-jenis aksesori untuk kereta, khususnya jenis-jenis wagon macam kereta aku] dari yahoo auction. Mungkin untuk aksesori tambahan ni aku kena tambah duit aku sendiri kot. Aku bukan "bedal" atas syarikat insuran jugak ya, jangan salah anggap!



Aku jadikan gambar kereta ini sebagai skala-pengukur untuk jantung hati aku selepas habis pembedahannya nanti. Mamat tu kata, set! Itulah antara kebestan mamat Jepun ni, cayalah!


ILHAM HAMDANI at 14.1.04

Monday, January 12, 2004

Assalamualaikum,

Nak bercerita tentang apa ni? Rasanya banyak perkara yang dilalui, berlaku, tersentuh dan menyentuh lewat-lewat ini. Tetapi, biarlah ia hanya hidup dalam lingkaran kenangan!

Kereta oh kereta

Berpagi-pagi siang tadi wakil dari syarikat insuran kereta pemuda 20-an sudah menelefon aku. Fuh lega! Bukan apa, aku bimbang kalau-kalau pemuda 20-an tu buat "akai" , jenuh lah aku nak merawat kembali kereta aku yang tercedera. Ada orang tanya aku lewat YM, " kenapa lambat sangat baru insuran telefon? " Iya lah, kemalangan Sabtu. Ahad cuti. Isnin pun Jepun cuti, cuti hari dewasa [kalau kalian nak baca tentang apa itu Hari Dewasa, kalian boleh melawat blog ciping.] Lalu? Selasa lah baru beroperasi pejabat-pejabat. Tak per, biasa lambat asal selamat, ahaks.

Wakil insuran yang bertelefon tanya kalau-kalau ada sakit apa-apa. Bagus dia, itu soalan pertama darinya. Memang prihatin betul, terharu aku! Aku jawab tiada. Tetapi petang tadi aku disambar bimbang bila dengar nasihat Hoshi-san. Kata Hoshi-san, selalunya selepas kemalangan akan sakit di bahagian belakang tengkuk. Awal-awal kemalangan, memang tak terasa, tetapi selepas beberepa hari, mungkin. Aduh! Tak per, kalau sakit nanti aku ke hospital dan bil beri dengan syarikat insuran tu.

Kemudian baru dia bertanya tentang kereta, di mana aku hantar dan juga nombor telefon bengkel kereta. Aku cerita satu-satu, siap dengan nombor telefon bengkel kereta. Dan, syarikat insuran tu memang boleh diharapkan! Sebelah petang, aku ke bengkel kereta, pekerja bengkel bagitau tadi wakil syarikat insuran sudah datang tengok keadaan kereta. Alhamdulillah!

LambaianKaabah siri ketiga

[aku terpaksa korbankan table untuk layout BandarSepi untuk memberikan ruang seluas mungkin untuk carta Route of Hajj]

O ya! Dalam LK siri kedua aku terlupa bercerita tentang WAMY, World Assembly Muslim Youth. Sebetulnya rombongan haji yang aku sertai dari Jepun ni ada kena-mengena juga dengan WAMY ni. Antaranya penginapan kami di Mekah dibayar separuhnya oleh WAMY. Tetapi, kami kena ikut serta dalam konvensyen tahunan WAMY yang dibuat ketika menjelangnya musim haji di bandar Rabitah, dalam 20-30 km dari Mekah.

Lalu, pagi yang sepatutnya nak adakan konvensyen tu aku, Aznan, Hafiz dan seorang lagi rakyat Mesir yang buat PhD di Jepun bersekali dalam satu teksi. Yelah, kalau nak harap kami bertiga yang tidak reti Arab, jenuh la. Itu yang ajak sekali bro Reza Mesir itu ikut sekali.

Sampai di pejabat WAMY di bandar Rabitah, lengang. Aik, mana konvensyennya ni? Bro reza tanya dengan jaga di pondok pengawal.

"Lepas musim haji baru buat konvensyennya! " Jawab pun nak tak nak sahaja. Memang tak hormat langsung! Sabar sahaja lah.

Muka bro Reza Mesir merah, lambang tak puas hati. Aku tak faham lagi.

"Kalau dia jawab kata lepas musim haji, maknanya dia tipu lah tu! Selepas musim haji semua orang dah nak balik ke tempat masing-masing. Tak logik langsung! " Bro Reza menerangkan trick percakapan orang Arab. O, baru lah faham. Maknanya jaga tadi tu tipu, dan konvensyen WAMY memang tarak!

Habis berapa riyal entah semata-mata nak ambil teksi untuk pergi dan balik. Belum campur panas terik, belum campur dilayan hendak tak hendak oleh jaga. Memang menguji betul! Mujur pemandu teksi menyejukkan; dalam perjalanan balik bro Reza bercerita tentang kami bertiga[aku, Aznan dan Hafiz] yang orang Malaysia.

"O, orang Malaysia. Bagus, bagus, orang Malaysia bagus! Saya kalau boleh, mahu jadi orang Malaysia juga. "

"Orang Bangladesh pun bagus juga, " aku sengaja menguji di pemandu teksi.

"Ceh, mana ada. Orang Malaysia dan Indonesia sahaja yang bagus-bagus.."

Em, pemandu teksi tu memang menyejukkan!

Ok, sudah habis back-dated di Mekah sebelum haji kita kembali semula peristiwa-peristiwa di Arafah pada hari wukuf.

Petang di Arafah tu, badan aku dah rasa memang nak demam sangat-sangat. Tetapi dipaksa-paksa juga demi semangat nak mengerjakan ibadah-ibadah haji. Tambah pula tengok sahabat-sahabat lain yang semangat, langsung hilang sekejap niat nak demam.

Kalau kalian nak tahu, emak-ayah kita yang di Malaysia tak pernah kepingin nak makan maggi kari, tetapi ketika buat haji jadi hantu-maggi. Sungguh! Sebenarnya antara menu yang diberi oleh TabungHaji semasa di Arafah dan Mina ialah sepaket maggi kari. Kadang-kadang lucu juga tengok pakcik makcik makan maggi. Kalau di Malaysia, memang jangan harap lah nak berjumpa dengan keadaan begitu.

Dan, maggi jadi sebab aku tambah parah. Mungkin kebetulan sahaja dengan maggi, hakikatnya sakit dan sihat dari tuhan, kan?

Aku yang sudah lama tak makan maggi, jadi terliur tengok sahabat-sahabat lain dok slurp-slurp makan maggi. Akhirnya mengalah, makan juga. Makan pula dengan buah limau. [masa sampai di khemah Arafah semua jemaah haji dibekalkan dengan sebiji limau dan sebungkus maggi.]

TIP : Jangan makan benda-benda yang pelik terhadap perut terutama semasa di Arafah.

Kesan dia? Aku sakit perut dan cirit-birit. Alhamdulillah, Arafah bumi ujian!

Malam, selepas wukuf di Arafah kami bertolak ke Mina. Tetapi sebelum itu kami melalui Mudzalifah untuk mabit atau bermalam di sana. [nama sahaja bermalam, hakikatnya kita cuma perlu berada seketika walaupun tidur di bumi Mudzalifah selepas tengah malam.]

Kami bergerak dari Arafah untuk ke Mina sambil melalui Mudzalifah selepas Isyak, sekitar jam sepuluh. Dan, jarak Arafah-Mudzalifah hanyalah 5-6 km sahaja. Tetapi, kalian tahu berapa masa untuk jarak sejauh itu? Bertolak pukul 10 malam, dan sampai di Mudzalifah sekitar jam 2-pagi. Erk, 5-6 km untuk tempoh masa 4 jam? Ya, itulah hakikatnya! Bas bergerak mengalahkan semut, sungguh!

Jalan memang jammed teruk sangat. Iyalah! Bayangkan manusia yang berjuta-juta orang menuju satu arah yang sama, pada masa yang sama. Memang padat dan sesak. Kasihan dengan pakcik makcik, memang lelah habis nampak depa. Ceh! Kita yang muda pun terduduk jadinya dengan jammed begitu. Bayangkan lah, dengan keadaan yang sempit dalam bas, tiada pendingin hawa, asap bas yang penuh, bunyi bising, subhanallah, ujian ini takkan aku temui di lain tempat, melainkan Arafah!

Dan aku? Asal sahaja bas berhenti akibat jalan sesak, aku minta izin turun. Ke mana? syyyy!! Itulah penangan maggi.

Sampai di Mudzalifah jam 2-3 pagi, punggut anak batu sejumlah 70 biji dan lebihkan sedikit. Dan aku?Sekali lagi menghilangkan diri. syyyyy! Kemudian sambung perjalanan lagi, dan Alhamdulillah dalam keadaan yang sekeping, dengan batuk, demam, sakit perut, sampai juga di Mina jam 4 pagi lebih kurang. Nah, perjalanan sekitar 20km untuk 6 jam, bolehkah kalian bayangkan? Dan, inilah namanya ujian!




ILHAM HAMDANI at 12.1.04

Sunday, January 11, 2004

Assalamualaikum,

Hari ini sudah lagi Selasa! Tetapi aku tertinggal kapal terbang, sebab polis Jepun lembab aku baru nak menulis untuk catatan hari Ahad.

Sibuk? Sebetulnya tiada istilah sibuk! Yang ada hanyalah kegagalan merancang masa. Banyak kerja? Nabi saw orang paling banyak buat kerja. Kerja keluarga, kerja tadbir negara dan banyak kerja lain, tetapi Baginda saw tak pernah merungut tiada masa. Bukan sebab tak sibuk, cuma sebab Baginda saw pandai merancang masa! Sedikit dari saidina Ali; "jangan bertangguh pada esok, kalau hari ini sudah adanya lapang. " Eh! Aku ni bagaimana?

Petang Sabtu, Syed esemes tanya nak beli ayam. Dia dan Qusyairi nak ke Joyful Honda, sebuah pasaraya terbesar yang berjarak 20km dari bandar Hitachi. Kiranya situlah pada dekat untuk dapatkan bekalan ayam halal. Aku balas, aku nak ikut! Hakikatnya, aku boneless ada sepaket 2kg lagi dalam peti sejuk aku tak berusik. Tetapi, sengaja nak jalan-jalan. Jalan-jalan terakhir ke Joyful Honda? Mungkin.

Selepas Asar jam 3, bergerak. Sebelum itu, sempat singgah bengkel kereta tanya urusan pembedahana kereta aku. Aku cerita lah satu-satu kepada mamat pomen tu. Dia suka jer bila tahu kereta aku akan dibayar ikut syarikat insuran. Apa semua orang gembira agaknya bila bayar ikut syarikat insuran. Boleh di"ketuk-ketuk" sepuasnya? Harga RM1 jadi RM10, begitu kan? Jadi, aku ambil keputusan akan hantar kereta aku ke bengkelnya. Satu, dekat dengan rumah. Apa-apa hal senang nak jenguk si jantung hati. Asal rindu sahaja, bisa date. Dan dua, mamat tu sempoi! Mungkin sebab muda, jadi tak banyak kerenah dan songehnya.

Aku bukannya tak boleh pergi bengkel yang lebih besar terutama yang berdaftar terus dengan HONDA, yelah sebab bukan aku yang bayar ...syarikat insuran yang bayar, tetapi aku malas. Bengkel mamat ni cam best! Selesai.

Joyful Honda orang ramai macam semut. Aku bukannya boleh sesak-sesak ni, jadi pening kepala. Tak beli apapun, saja mengushar orang. Pusing-pusing jumpa bro Rames tiga beranak. Dia ajak aku makan malam di rumahnya malam esok, rezeki!

Sementara menunggu Syed dan Qusyairi sembelih ayam [ baca : beli ayam! ] aku jalan-jalan bahagian sukan. Tengok-tengok barangan untuk berentap dalam salji seperti papan luncur salji dan ski. Tengok jer lah, kalau nak beli, mustahil lah! Yelah, untuk apa pun. Di Malaysia bukannya ada salji. Ais kepal banyak lah!

Lepas dibeli dan dibelah oleh tokey kedai [baca : membeli-belah ] kami bertiga pergi lepak-lepak makan takoyaki, bebola sotong kurita. Sedap tak terkata! Bebola tepung sebesar bola golf yang di dalamnya ada potongan sotong kurita, dimakan ketika masih berasap lalu jadilah ia masakan Jepun yang paling sedap.

1) 2)
3) 4)
5) 6)
7)


Lepas makan takoyaki pakat makan Mister Donut pulak. Kebetulan tengah promosi "semua barang 100yen", wah masing-masing beli sampai tiga pek langsung. Maklum lah, harga biasanya kadang-kadang ada yang sampai 200yen, tetapi mamandangkan promosi 100yen langsung murah. Makan lagi!

Nafsu makan lagi! Tengok buah strawberry bulat-bulat, merah-merah. Rasa macam nak menitis air liur. Aku buah-buah ni pantang sangat, pantang berjumpa. Bawak lah buah apa pun, InsyaAllah bisa langsai. Pelik, awal pulak musim strawberry tahun ni. Selalunya dalam bulan April-Mei begitu, tetapi tahun awal sangat. Mujur nafsu boleh bersabar, tak jadi beli.

Sebelum balik cari-cari 2004 planner, semuanya mahal-mahal, tak jadi beli. Akhirnya tersambar dua set alat tulis, pensil mekanikal dan pen mata bola. Beli juga! Memang hari ni aku dibeli dan dibelah betul!

Balik! Sembahyang maghrib pun kami berhenti di konbini sahaja [singkatan dari convinience shop ]. O ya! Dalam perjalanan balik, berjumpa kemalangan lagi. Hai, banyak pulak kemalangan akhir-akhir ni. Ha, terima kasih yang memberikan nasihat dan doa untuk aku lewat kemalangan kereta baru ni. Terima kasih!


ILHAM HAMDANI at 11.1.04

Di tengah orang tua, dia-lah pemuda.
Dan,di tengah pemuda dia-lah ketua.
Bermazhab pada adil dan jujur,
berkitab pada sirah dan siasah.

IPIJepun mempersilakan anda semua ke program usrah-maya mingguan melalui YM kami,dan maklumat adalah seperti berikut;
i) JUMAAT,MALAM SABTU 8 MALAM
ii) SABTU,MALAM AHAD 9:30 MALAM
iii)PAGI SABTU 9:00 PAGI,KULIAH TAFSIR
iv) AHAD, MALAM ISNIN 8 MALAM

*mengikut waktu Malaysia.

Anda boleh pm kepada
addeen57,
shahreza03,
aznanhamat,
adiemad,
liya51

Name

URL or Email

Messages(smilies)

Diriwayatkan daripada Sahl bin Saad r.a katanya:
Janganlah kamu menghitung tarikh dari awal kebangkitan Nabi s.a.w dan hari kewafatan Nabi s.a.w. Janganlah kamu memulakan hitungan kecuali dari hari baginda tiba di Kota Madinah.

(Hadis Riwayat Imam Bukhari).

Israel hadapi kecaman baru di ICJ

THE HAGUE 24 Feb. - Israel hari ini menghadapi kecaman terbaru di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dari negara-negara yang menyokong tindakan Palestin mencabar langkah Israel membina benteng keselamatan di Tebing Barat.

ICJ bersidang selama tiga hari mulai semalam bagi memutuskan kewajaran pembinaan tembok keselamatan yang didakwa oleh negara Yahudi tersebut sebagai usaha untuk menghalang kemasukan pejuang Palestin ke wilayah mereka.

Bagaimanapun, Palestin mendakwa langkah itu merupakan taktik kotor Israel untuk menguasai kawasan Palestin kerana Tebing Barat merupakan wilayah Palestin.

Antara negara yang akan memberi keterangan pada perbicaraan kes itu ialah Jordan, negara yang paling tegas menentang pembinaan benteng keselamatan berkenaan.

Malaysia, Indonesia, Bangladesh dan Cuba merupakan negara yang paling kuat menyokong tindakan Palestin membawa kes itu ke ICJ.

PENANTIAN
[tulisan ini aku dedikasikan untuk seluruh pejuang]

Lahir di tengah kemelut yang berselut,
Lahir di tengah lumpur yang berlumur,
Kota Ismaliah 1906,
Tangisan bayi senyuman harapan ummah.

4 muka lewat la'natullah Mustafa makan khalifah,
Dia hidangkan wahdatul-ummah,
Bersatu dengan aqidah,
Berderap dengan mujahadah,
Berentap dengan sabilillah.

Dari desa-desa ke kota-kota,
Allah-lah matlamat kami,
Dari gurun padang ke gelanggang,
Rasulullah pimpinan kami,
Dari kota pasir Sinai, Alex Aswan,
Al-Quran perlembagaan tertinggi kami,
Dari denai-denai zahmah Kaherah,
Jihad jalan kami,
Dan,
Mati di jalan Allah cita-cita tertinggi kami.

Darah sudah jadi murah,
Mati sudah jadi sebati,
Penjara sudah jadi biara,
Dakwah sudah jadi lumrah,
Islam sudah jadi iltizam.

Menang,
Dan memang menang,
Cuma bila dan siapa?
Di sini, atau di sana.