Assalamualaikum,
Gambar kereta@jantung hati yang telah mengalami "rawatan" selama dua minggu.
Nak tengok? Sila klik sini
ILHAM HAMDANI at 30.1.04
Assalamualaikum,
Kato-san datang lepak-lepak dengan aku, sembang-sembang dengan aku tengahari itu;
"Eh! Sudah nak balik hujung bulan depan ya? "
"A'ah, nak balik lah! " Aku hadiahkan Kato-san senyuman persahabatan.
"Alah! Tinggal sahaja lah di Jepun , " Kato-san macam nak pujuk aku pulak. Ikhlas ker nih?
Aduh! Sedih lah pulak aku.
"Em ... memang lah. 5 tahun di Jepun, saya rasa Jepun sudah seperti negara saya. Tetapi, keluarga di Malaysia sudah banyak mengomel; "sudah lah 5 tahun di Jepun tu, balik lah! " ..Saya pun rasa, cukup lah 5 tahun di sini. Kalau ada rezeki, saya kembali lagi nanti, " aku terus murah rezeki, aku hadiahkan lagi Kato-san sekuntum senyum.
Kato-san berlalu begitu sahaja.
Duduk tidak lama, datang pulak seorang makcik Jepun [sebenarnya, walaupun selalu jumpa dengan makcik seorang ini, aku sudah lupa nama dia, erk! ]
"Eh! Din-san ... dengar kata sudah nak balik ya bulan depan? "
"Em ...a'ah... " aku terus menderma senyum. Kelat, sebab bercampur-campur dengan sedih.
Makcik yang aku terlupa nama tetapi baik dan ramah itu senyap.
"Tak per lah, ganbatte ne! Nanti di Malaysia tentu jadi orang yang hebat-hebat ya? "
"Mudahan begitu lah ..."
Hai! Terasa hati juga untuk meninggalkan persada sakura yang sudah lima tahun aku bermukim ilmu di dadanya ini. Teman-teman Jepun sudah jadi seperti saudara, sushi seperti sudah menjadi cekodok. Sayang? Sayang memang sayang. Tetapi, mengingatkan pesanan seorang teman perjuangan;
"Di sini hanyalah tidak lebih sebagai training field sedang medan sebenar yang menguji kita ialah di Malaysia sana."
ILHAM HAMDANI at 28.1.04
Assalamualaikum,
Senjata oh senjata
Lewat tulisan aku tentang kahwin dan kemudiannya bersusul dengan Ainul Mardiah, ciping, kohai [ junior ] aku mengomel dalam YM;
"Sempai [ senior ], kenapa jadi jiwang pulak ni? Mana dia senjata-senjata politik dan sirah ko? "
Aku cuma senyum sahaja!
Dan semalam, kohai aku yang seorang itu bersorak sakan agaknya, mana tidaknya semalam aku mengasah-asah pedang pertarungan;
"aa.. kembali memegang "senjata"!!! camtu la senpai..nice entry! "
Ya! Semalam aku berpencak sedikit dengan tajuk Program Khidmat Negara.
Tetapi, dalam diam-diam aku berbisik sendiri;
"Senjata ini bukan boleh diguna-guna selalu, nanti hilang hikmahnya. Senjata ini bukan untuk menunjuk jantan, senjata ini hanya untuk mempertahankan kehormatan."
Senjata : jangan makan tuan!
Hujung minggu lepas aku bersembang meninggalkan pesan dengan seorang teman baik dan zaujahnya;
"Akh, kita ada senjata. Cuma, sayangnya kita tidak pandai menggunakannya, dan kita tidak melatih adik-adik kita menggunakan senjata kita yang hebat tu, sayang lah! Tetapi ingat-ingat, kalau sudah tidak pandai menggunakan senjata ... jangan sesekali mendesak diri. Nanti, buruk padahnya ...senjata memakan tuan! "
Aku tidak pasti mesej aku tentang senjata ini sampai atau tidak kepada teman nan seorang ini.
Senjata bonda
Malam Isnin yang lepas, aku bertelefon lagi dengan keluarga di Malaysia. Bicara-bicara rindu dengan mama dan adik-adik. Dari satu tangan ke satu tangan gagang telefon berpindah. Ah! Sudah adat, kala-kala berjauhan baru mesra menjadi akrab. Kala-kala rapat dan dekat, sering pula masam dan bertingkah, aduh!
Ketika bicara akhir dengan mama, lalu dalam gurau-gurau mama seperti bermain dengan senjata bonda; mama mengasak aku pada titik kahwin. Aduh! Apa lagi yang mampu aku berkubu? Habis-habis ketawa!
Dan aku tahu, mama ada satu lagi senjata yang cukup merbahaya, air mata! Dan aku harap mama tidak akan menggunakannya sampai bila-bila senjata air mata itu. Kalau tidak, aku tahu ... aku akan tunduk kalah!
Jauh dalam hati kecil, aku bicara-bicara sendiri;
"Sabar lah bonda! Ketika sampai saat yang sesuai, ketemu jodoh yang sesuai, keadaan yang sesuai, tidak ke mana sudahnya. Bonda, bonda ..."
Membelek-belek tulisan As-Syahid Imam tentang Baitul-Muslim menjadikan aku insaf, aduh tugasan ini bukan satu amanah yang sebarangan. Kita bukan sekadar membina keluarga, tetapi membina ummah yang madani. Aduh, termampukah?
Senjata kalian
Nah! Semboyan perang seperti sudah hampir-hampir berbunyi, takkan lah kalian masih leka berkiwi sepatu, sedang musuh sudah lama bersiap untuk menyerbu.
Sepatutnya masa-masa begini, kalian sudah mengintai-intai, pokok mana yang mahu diletak bendera , rumah mana yang mahu dicula undi, atau ...emm.. YB mana yang mahu dibodek-bodek duit kopi, ahaks.
Gunakan senjata kalian itu betul-betul kali ini! Tentera taghut itu mesti kita tumbangkan. Jangan takut untuk menggunakan senjata lima tahun sekali itu. Asah betul-betul, intai musuh benar-benar, dan pangkah dalam kotak yang dipinta. Jangan terlebih pakai senjata pulak, nanti dikira undi rosak, ahaks!
ILHAM HAMDANI at 27.1.04
Assalamualaikum,
Berita ini menjadi hangat, panas dan membara dalam masyarakat Melayu Malaysia dalam sehari dua yang mutakhir. Anak kecil yang baru sepuluh tahun mengenal dunia, menjadi mangsa kerakusan sifat buas dan kebinatangan manusia yang disebut dalam Al-Quran sebagai ahsanuttaqwim, sebaik-baik kejadian.
Soalnya, siapa yang wajar dipersalahkan? Manusia yang bernafsu serakah itu? Pengerusi TNB yang sibuk menyalakan api pilihanraya di Bachok? Atau kita seluruhnya? Kita yang sudah beraya tahun baru Cina, dan tidak mahu beraya AidilAdha?
Oh tidak! Tidak! Aku bukan menyuruh kalian bersikap zalim, menjadi hakim. Sedang sudah ada hakim yang tidak pernah ada cacat dan cela, Al-Quran dan al-Hadis tinggalan nabi junjungan Saw.
Ironisnya, dalam sedar dan separuh mamai sudah berlalu dua belas hari hari Program Khidmat Negara [ PKN ]. Dan, aku menanti dengan penuh asyik sejauh mana keberkesanannya PKN. Sabar aku!
Menghayati kata-kata Menteri yang berkaitan, "PKN akan mengikut acuan kita! "
Aku menjadi tertarik! Aku membuat homework sendiri, demi mencari makna acuan kita yang disebut oleh bapak Menteri yang baru naik jawatan ke nombor dua.
Nah! Kalian nilailah sendiri.
MODUL PROGRAM KHIDMAT NEGARA
MODUL AKTIVITI/TAJUK PENEKANAN
Fizikal: Asas kawad, tempur tanpa senjata, tali tinggi seperti abseiling/flying fox dan tali rendah seperti repelling, aktiviti air seperti berakit/kanu, sukan kreativiti, ikhtiar hidup dan pertolongan cemas.
Kenegaraan: Sejarah tanah air, kedaulatan dan maruah negara, Malaysia dan isu-isu antarabangsa, pertahanan dan keselamatan negara; dan tanggungjawab rakyat kepada negara.
Pembinaan karakter: Penerapan nilai-nilai murni dan sejagat, keyakinan diri, kepimpinan dan penilaian diri sendiri.
Khidmat Komuniti: Membina dan membaik pulih kemudahan awam, pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar, gotong royong dan kejiranan; dan aktiviti kesukarelaan.
Acuan kita?
Mana agenda agamanya? Atau bapak Menteri itu terlupa? Atau sememangnya acuan kita yang dimaksudkan bapak Menteri itu ingin mematikan agama?Huh,
Gila! Dari kata kunci Program Khidmat Negara di Utusan Search aku dapati lebih dari seratus perkara berkaitan dengannya, dan hampir-hampir tidak ada perkataaan agama atau Islam yang diulas oleh Perdana Menteri sendiri, Menteri Pertahanan merangkap Timbalan Perdana Menteri, merangkap Menteri yang bertanggungjawab terus terhadap PKN, atau oleh Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara, Prof. Datuk Dr. Ahmad Fawzi Basri [eh! bukan TNC UUM ini ker sedikit masa dulu heboh ber"perang" dengan Persatuan Pelajar Islam di UUM? OH I SEE!]
Aku masih mencari-cari erti acuan kita yang dimaksudkan oleh bapak Menteri. Ada sesiapa di kalangan boleh jelaskan pada aku?
Selit-selit
Bagaimana ya kalau agenda utama yang sebegitu besar untuk anak-anak muda tidak langsung menyentuh soal agama? Bagaimana ya kalau program sebesar RM400juta yang menumpukan 60% kepada anak-anak Melayu Islam hanya sekadar kawad-kawad tentera, berkhemah dan kerja gotong-royong?O, maaf! Bapak Timbalan Menteri Pengangkutan, mantan Menteri Besar Perak ketika gawat kemalangan raya menambah kepada PKN;
"Kita cadang dimasukkan kempen keselamatan jalan di dalam PKN"
Tambah, jangan tak tambah!
Teringat aku, nabi saw membina kekuatan dengan aqidah, dengan bersihan jiwa. Lalu, anggota-anggota "PKN" yang dibina oleh nabi saw ketika sampai naiknya Umar al-Khattab pada 17Hijrah sudah benar-benar ampuh dan menundukkan kekuasaan yang besar, Rom dan Parsi. Cuba kalian kira! 13 tahun di Mekah, campur dengan 17 tahun selepas hijrah, dan Islam menjadi benar-benar kukuh. Bukankah ini modul PKN yang sebetulnya disalin-turun?
Sudahnya?
Sudahnya? Apa yang sudahnya? Tidak akan sudah sampai bila-bila!
Sudahnya? Lahirlah generasi muda yang kuat, kuat makan, kuat berkawad ... kuat-kuat yang lain itu, aku rasa kalian lebih arif menambah dan menconggak-conggak sendiri.
Sudahnya? Eh! Apa cerita ya dengan Kelab Rakan Muda dulu? Atau Kelab Rakan Muda semuanya sudah tua? Ahaks! Sudahnya? PKN pun hampir-hampir senasib Kelab Rakan Muda sahaja. Tunggu lah!
ILHAM HAMDANI at 25.1.04
Assalamualaikum,
Tertidur pun tarbiyah..
4:30 Alhamdulillah, terjaga awal lagi. Syukur sangat! Lalu, dapat lah sedikit luang untuk terus bermesra-mesra denganNya. Bersubuh, dan dalam sejuk-sejuk minta Adam yang masih asyik melayan PS2 menghantar ke perhentian bas. Tak jauh mana pun perhentiannya, sekitar 800 meter sahaja dari rumah, tetapi mengenangkan sejuk separas 0 darjah dan manja yang lebih, minta Adam tolong hantarkan dengan kereta.
5:38 Bas datang, ke Tokyo sendirian! Separuh perjalanan yang awal mengulit-ulit Risalah Fikrah; satu kompilasi tulisan Fathi Yakan, Imam As-syahid, Sayyid Qutb dan Utz Mustaffa Mashyur [ iklan : bagi sesiapa di Jepun yang berminat untuk mendapatkan naskah terbitan Biro Dakwah dan tarbiyah IPIJ tersebut boleh berurusan dengan id aznanhamat. InsyaAllah percuma, mungkin! ] Dan separuh perjalanan lagi, benak minda mengisi-isi rangka kerja sebaik menjejak semula ke tanah permai Malaysia sebulan ke depan. "Ya Allah pinjamkan lah hambaMu secangkir kekuatan dan istiqamah."
8:00 Sampai terminal bas Tokyo dan bertukar ke Yamanote Line. Sambil-sambil mencelah-celah di tengah khalayak yang ramai menelefon ke anak usrah; "kita bermula jam 9 pagi atau 9:30 InsyaAllah. "

catatan : tidak semua stesen keretapi bagi laluan Yamanote dimasukkan dalam peta di atas, termasuk juga stesen Ebisu yang menjadi "lokasi drama" sekejap lagi
9:30 Memimpin usrah adik-adik muslimat. Alhamdulillah adik-adik nampak semangat, tempias-tempias semangat adik-adik tersimbah pada yang tua yang makin dimamah lesu.
Ketika saat-saat mengulung sessi usrah;
"Semua yang kita buat, berusrah berprogram dan sebagainya adalah merupakan proses tarbiyah rasmi. Dan ada tarbiyah yang tidak rasmi ... misalnya ... seperti tertinggal keretapi [merujuk kepada peristiwa anak usrah aku yang tertinggal keretapi ketika pulang dari WinterGathering2003 ]. "
Hadiahkan anak-anak usrah year planner; " anggota penggerak dakwah mesti berperancangan, dan berpandangan jauh! "
12:15 Berzohor dan adinda Nije sudah bersedia menghidang makan tengahari, Alhamdulillah! Bertiga bersantap enak, sedang adinda Hafiz menengok kami yang bersantap. Adinda Hafiz berpuasa Zulhijjah. Aku? Ya Allah, lupa sangat! [alamat-alamat usia yang makin lanjut! ] Selepas makan, sembang-sembang sekejap dan terlelap. Mujur sudah berjamak ketika Zohor tadi.
3:00 Selepas Asar, menggantikan akh Aznan memimpin usrah muslimin pula. Kali ini cuma bertiga, entah yang lain ke mana menghilang. Mungkin keluar ke bandar dengan urusan, agaknya. Masih dengan tajuk yang sama dengan usrah muslimat pagi tadi, "Kewajipan berjemaah dan ciri jemaah Islam" Menjejak ke Maghrib baru selesai. Alhamdulillah!
5:30 Bersolat maghrib dan langsung Isyak berjamak taqdim. Selepas itu, adinda-adinda terus ajak bersantap-santap ringan pula. Alhamdulillah, rezeki dan terus rezeki.
6:45 Dalam dingin-dingin 3 darjah menapak sendirian ke stesen keretapi. Dari stesen Ikebukoro sesenja jam tujuh. Perjalanan Ikebukoro-Tokyo hanya 24 minit, sedang bas balik ke daerah Hitachi 7:50. Dalam kepala, beragak-agak, tidak perlu gesa-gesa sangat.
Belek jam sekali lagi;
"Apa? Sudah 7:50? Eh! Kenapa masih dalam keretapi nih? Sepatutnya jam 7:30 sudah boleh turun di stesen Tokyo?"
Ya Allah, tertidur! Tersedar ketika di stesen Ebisu, sekira-kira 20 minit terlepas dari stesen Tokyo yang sepatutnya aku turun untuk mengambil bas balik ke Hitachi semula.
Aduh! Tidur kerana sejuk? Atau, tidur kerana letih? Oh! Tidur pun tarbiyah!
Turun di stesen Ebisu, ambil balik keretapi yang menghala ke stesen Tokyo, dan sampai ke stesen Tokyo hampir jam 8:30, sedang bas terakhir ke Hitachi jam 8:50. Fuh, selamat! Ngam-ngam! Mujur lagi...
Hampir-hampir jam 11 malam berhenti di perhentian Narusawa, mujur juga tidak terlepas stesen lagi, ahaks.
moral : tidur pun tarbiyah, tetapi sebaiknya janganlah tidur dalam keretapi, tidurlah di atas katil dan tilam!
ILHAM HAMDANI at 25.1.04