Thursday, February 12, 2004

Assalamualaikum,

Al-Fatihah, satu malang yang besar …

12 Februari, satu tarikh malang yang paling besar dalam dunia Islam moden; perginya mujadid zaman, As-Syahid Imam Hassan Al-Banna. Sedih. Kita sudah kehilangan Al-Banna itu melampaui 50 tahun, sudah 54 tahun! Dan, sejak itu kita teraba-raba mencari al-Banna kedua.

Dan, pemergian al-Banna itu terus menjadi bukti terbesar; perseteruan antara kebenaran dan kebatilan tidak akan mati. Dan, pemergian al-Banna itu akan terus menjadi bukti terbesar; akan sentiasa ada di kalangan umat manusia yang akan terus dan terus menjulang kalimah kebenaran, walaupun hujungnya titisan darah penyudah.

"Akan tetap ada dari umatku yang menegakkan kebenaran , dan mereka tidak takut kepada golongan yang menentang mereka, sehinggalah Allah mendatangkan keputusanNya."


Al-Fatihah..

Semalam; adalah sejarah

Setelah berdhuha, langsung kejutkan adik bongsu. Dalam sejuk-sejuk bermandi juga dia [setiap hari sehingga semalam, masih tidak lekang dengan omelan dia; "sejuk-sejuk-sejuk" kasihan! ] langsung membawa dia jalan-jalan ke taman atas bukit, Kamine Park.

Pokok-pokok sakura masih togel rupanya, dalam sebulan lagi baru bertunas. Dari atas bukit, berteropong 100yen meneroka daerah Hitachi dari atas puncak tinggi betul-betul mengadap laut biru. Lihatlah puas-puas daerah permainan ini, entah bila akan bisa bertamu ke sini lagi.



Pukul 10, menjemput adik-adik baru yang berlima untuk temuduga. Pukul 12, makan tengahari ramai-ramai di shokudou [ kafeteria ]. Sudah lama juga tidak bersantap di sini. Tengok Amy makan, kasihannya dia. Makanan Jepun tidak serasi dengan seleranya. Alah, siapa-siapa pun begitu dengan selerea Jepun. Tidak cocok dengan asam garam orang Malaysia.

Lewat malamnya keluar lagi; Saezeriya. Dengan adik-adik baru, aku lebih banyak menjadi pendengar. Hampir-hampir tidak bersuara. Entah, mungkin bersuara dengan perasaan, agaknya! [puitisnya!]



ILHAM HAMDANI at 12.2.04

Wednesday, February 11, 2004

Assalamualaikum,

Teman baru?

Berpagi-pagi Kusyairi mencari aku di sana-sini [masa tu sebenarnya aku di rumah Syed, mengadap internet! ] akhirnya naluri Kusyairi berjaya. Kusyairi berjaya mengesan lokasi persembunyian aku [aiwah! Macam lokasi persembunyian Saddam Hussein pulak lagak bunyinya, ahaks! ]

"Pukul 11 nanti nak kena menjemput budak di eki [stesen keretapi]. Diaorg datang untuk exam esok, ada lima orang semuanya"

"Baik boss! "

Sebetulnya Tuk Penghulu si Rashdan yang kena uruskan, malangnya Rashdan macam ala-ala nak demam pulak. Maka, tugasan itu berpindah kepada timbalan penghulu merangkap penghulu menanti Kusyairi. Itu lah yang berpagi-pagi lagi si Kusyairi berkawad mencari aku [pst..bukan cari aku tu, cari kereta aku, ceh! ]

Ya! Ada lima orang adik-adik baru yang baru sahaja menjejak kaki di Jepun pagi semalam [pagi Selasa] Mereka datang untuk menduduki peperiksaan kemasukan universiti di beberapa universiti terpilih di sini [ bukan peperiksaan pun sebenarnya, temuduga yang betulnya! ] Bagi Ibaraki Universiti yang kebetulan salah-satu daripada calon-calon universitinya, ada lima orang yang datang; 3 lelaki 2 yang bukan lelaki.

Temuduganya hari ini [hari Khamis], jadi semalam mereka bermalam di hotel yang tak jauh dari stesen Hitachi. Aku, dan teman-teman Ibaraki lain menyibuk menolong mereka check-in ke hotel, siap bawa naik ke bilik hotel lagi tuh! Perh, layanan taraf VVIP, ahaks! Tak tahu lah kalau adik-adik tu tak berminat untuk masuk ke Ibaraki Universiti lagi…

Selepas selesai check-in masa untuk bersantap sambil berkenal-kenal. Kami memilih restoran masakan India yang sepelaung [ kalau aku laung, aku pasti tak dengar suara aku, sebab kalah dek suara kereta dan keretapi! ] dari stesen Hitachi. Dekat dua jam juga bercanda-canda sambil makan.

Selepas makan, ingat nak bawa adik aku ke Kamine Park di pinggir Bandar Hitachi, Kusyairi pulak belum berzohor, langsung batal. Esok-esok lah!

Gigi Tiga Batang

Semalam, seorang teman yang sama dua kali mengirimi aku esemes bertanya khabar aku yang agak sunyi, dan kemudian bercerita tentang anak tunggalnya yang sudah bergigi tiga batang [tentunya kegembiraan perihal anaknya yang lebih menjadi perhatian dia, dan aku juga!]

Aduhai! Dapat aku bayangkan kegembiraan ibu muda itu, dan juga kepalang tidak sabar ayahnya untuk pulang menjenguk anak lelaki mereka [kedua-dua mereka merupakan antara teman aku yang paling akrab. Sudah lebih lima tahun kami bersama-sama mengharung manis dan pahit erti ukhuwwah, dan mudahan selamanya! ]

Ketika aku pulang bercuti musim panas tahun lepas, kebetulan ibu muda itu masih di dalam pantang, di Malaysia. Langsung aku ke rumah ibunya, melawat ibu muda itu, anak lelakinya dan keluarga mereka. Keletah anak kecil [mudahan kau mewarisi sifat-sifat mulia ayah dan ibumu, anak! ] yang masa itu berusia sekitaran sebulan itu masih-masih bermain-main di ingatan. Indahnya!

Tetapi, begitulah …mujahadahnya besar! Mereka terpaksa meninggalkan anak kecil itu bersama dengan keluarga sebelah perempuan. Semuanya demi pelajaran dan perjuangan. Oh ya! Teman aku yang berdua itu tidak bersekali universiti pengajiannya, agak berjarak sedikit. Jadi, tentu sukar kalau terpaksa saban hari meladeni anak kecil. Nanti terabai pelajaran, langsung jadi fitnah pada orang yang berkahwin. Sudahnya? Bermujahadah melawan perasaan kasih, biarlah anak kecil itu ditinggal sementara dengan datuk dan neneknya di kampung.

Pernah sekali dua berjenaka dengan mereka;

"Mudahan nanti-nanti kita bisa berbesan ya …"


ILHAM HAMDANI at 11.2.04

Monday, February 09, 2004

Assalamualaikum,

Alhamdulillah! Diberi kesempatan untuk menulis lagi, walaupun bertumpang-tumpang di rumah Syed. Domo arigatou, saido-san!

i

Ah! Hari-hari terakhir bermukim di daerah sakura, rasa-rasa semuanya suram. Malam, suhu masih sejuk dan mencengkam rasa gigil dengan hampir-hampir di paras 0. Salji? Ah! Perdaerahan Hitachi tempat aku bermain ini tidak sering dihujani salju putih. Kalau setahun di musim sejuk, paling bernasib baik dapat lah bermain ais kepal dari ais segar dalam tiga-empat kali. Tetapi, untuk tahun ini, baru sekali dihujani salju putih. Hai, bila lagi nih?


Alahai! Comelnya si genit yang asyik menolak ais di tengah salji lebat!


Siangnya di perdaerahan Hitachi yang setentang dengan lautan Pasifik di sebelah kiri [adik bongsu aku mengomel; "besarnya lautan Pasifik!" ..aku membalas dalam hati; "sudah nama pun lautan adikku!" ] mentari kuning menyala. Tetapi awas! Ada mentari tidak bererti ana boleh berlenggeng-lenggeng [ini kalau tidak salah aku, bahasa orang Johor yang membawa erti, tidak berbaju! ]

Alkisahnya, walaupun mentari nampak kuning raja di atas kepala, sejuknya masih mengigit tulang hitam. Sejuk! Adik aku yang dua-tiga hari bermanja-manja dengan sapaan bayu Pantai Kawarago mengomel-ngomel tak sudah; "sejuk-sejuk-sejuk. " Sudahnya? Adik aku si Amy tu banyak duduk bersantai di bawah kotatsu sahaja. Fuh! Mujur juga Tuk Ayah dan Opah tidak jadi ikut sekali, kalau tidak bagaimana bisa sih?

ii

Awal pagi semalam, sesudah Subuh ketika mahu beradu kembali barang seketika, rumah jadi bergegar. Sah! Dilanda gempa lagi...

"Amy, sedar tak apa jadi taksat? "

"Apa dia? Tak perasan pun..." Adikku terpinga-pinga tak faham.

"Itulah gempa bumi! "

"O, "

Dilanda gempa yang bersaiz kecil dan sederhana sudah jadi satu lumrah di perdaerahan sakura ini. Cuma, berdoa-doa janganlah dilanda yang besar-besar seperti di bumi Turki, atau BAM Iran baru-baru ini. Ngeri memikirkannya! Tetapi, begitulah; kalau sudah tertulis dalam lipatan Luh Mahfuh Tuhan sekian lama, lalu bagaimana kita yang kerdil daif ini bisa menolak, bukan?

iii

Aku ke kedai-kedai mencari barang harian, wah ... banyak sekali coklat-coklat berupa wajah hati [eh! kalau ikut ilmu kesihatan dan perubatan, yang bentuk seperti hati itu jantung sebenarnya, bukan?! ]

Di pelbagai saluran tivi yang mutakhir pun, hampir saban hari ada diuar-uarkan dengan aneka promosi kasih-sayang. Cara buat kek coklat berbentuk, cara membalut hadiah, dan serba mak-nenek lagi.

O, perayaan Valentine!

Entah lah, saban tahun menjelang hari empat-belas yang berkasih-kasih ulama kita sudah berbuih mulut, sudah patah jari menukilkan tulisan-tulisan nasihat, tolonglah-tolonglah-tolonglah jangan meraikan hari Valentine yang itu!

Tetapi di sebalik itu, anak-anak kita yang melayu dan Islam ini makin ternanti-nanti dengan penuh debar tarikh 14 yang manis dan kasih itu. Aduh!

Lalu, aku sendiri jadi bingung memikirkannya.

Pokoknya? Angka empat-belas dua yang manis itu sama sahaja seperti tiga-belas dua, atau mana-mana tarikh lain. Tidak ada salahnya! Yang jadi salahnya, bila kita mengaitkan empat-belas yang manis dengan perayaan bangsa Yahudi!

Dan, tidak ada salahnya pada berkasih-sayang! Yang salahnya, cara kita melampiaskan bentuk kasih-sayang, bukan?

Nah, fikir-fikirkan lah!

Aha, bagaimana kalau kita gantikan kek, coklat, pewangi semburan dan yang biasa-biasa itu kepada yang luar biasa? Buku riwayat ummul mukminin misalnya, menjadi muslim/ah yang soleh/ah dan sewaktu dengannya. Bagaimana?



ILHAM HAMDANI at 9.2.04

Sunday, February 08, 2004

Assalamualaikum,

Sari Berita Ringkas

i

InsyaAllah DatukBandar akan kembali mewarnai dunia jurnal online setelah bercuti rela-paksa seminggu. Maaf untuk semua yang menanti dengan penuh sabar kepulangan DatukBandar dari pertapaannya. Terima kasih!

ii

Semalam, adik bongsu aku sudah sudah sampai untuk bercuti menanti keputusan SPMnya. Ditemani Adam berkereta menjemput adik kesayangan di Narita Airport, merungut-rungut juga dia;

“sejuknya, sejuknya..”

Aku senyum dalam hati;

“nih latihan kalau-kalau nanti rezekimu di luar negeri juga..mudahan! “

Sari Berita Utama

i

Maaf! Aku terpaksa meninggalkan kalian untuk seminggu, masalah kesibukan dan talian internet. O ya! Aku sudah menamatkan talian internet. Jadi, nanti aku akan akses samada dari bilik Adam atau bilik Syed,

Yoroshiku ne, Adam san … Saido-san ..

Terima kasih! Aku terima banyak mesej di YM yang bertanya-khabar, mengucapkan selamat dan lain-lain lewat absen aku semingguan di dada BandarSepi ini. Terima kasih atas ingatan-ingatan kalian. Aku belajar sesuatu dari kalian;

“Teman yang baik umpama kejora di celah-celah ribuan bintang yang berkelip. Dan, kalianlah kejora-kejora yang menyinarkan warna gelap dan gerhana malam aku. Terima kasih! “



ii

Malam minggu baru ini, kami bersembilan orang dari Ibaraki ke Kashima Stadium, menyokong pasukan bolasepak Malaysia. Meriah giler! Kami dan penyokong Jepun, semuanya meriah!

Sebelum pergi, kami telah mempersiapkan mental ... "kalau kalah sekalipun, jangan lah sampai kena tahan guni belakang gol.."



Sebelum perlawanan, ada upacara menyanyikan lagu Negaraku, semangat semuanya! Ada Sultan Pahang lagi datang tu, perh..semangat..semangat memang semangat!

Baru tak sampai 10 minit menyepak bola, pasukan Malaysia bermurah hati memberikan gol pertama. Lepas tu, lagi sebiji, dan sebiji. Habis separuh masa, Jepun dapat lah 3 gol SAHAJA.

Tak sampai seminit separuh kedua, Malaysia hadiahkan lagi sebiji kepada Jepun menjadikan 4-0. Pemain Malaysia sudah letih, tetapi penyokong Malaysia masih tak meletih, terutamanya aku. Semua nama pemain aku jerit suruh jaring sebiji, malangnya pemain Malaysia terlalu memberikan perhatian kepada perlawanan, hingga tak mendengar jeritan kami. Sebab tu, mereka tak jaring walaupun sebijik, ahaks.

Aku simpulkan begini kepada kekalahan tidak bertarung pasukan Malaysia;

satu Orang Malaysia masih tidak lepas dari budaya menghormati tuan rumah, termasuk ketika bermain bola sepak sekalipun. Demi tidak mahu memalukan tuan rumah Jepun, pemain Malaysia sengaja mengalahkan diri, bahkan tidak menjaringkan gol walau sebiji. [penjaga gol Jepun memang betul-betul "jaga gol" dalam perlawanan tu!]

dua Sejuk sangat! Pemain-pemain jadi lembab dan perlahan brergerak. Bukan pemain, penyokong yang atas ni pun sejuk mengigil.

ILHAM HAMDANI at 8.2.04

Di tengah orang tua, dia-lah pemuda.
Dan,di tengah pemuda dia-lah ketua.
Bermazhab pada adil dan jujur,
berkitab pada sirah dan siasah.

IPIJepun mempersilakan anda semua ke program usrah-maya mingguan melalui YM kami,dan maklumat adalah seperti berikut;
i) JUMAAT,MALAM SABTU 8 MALAM
ii) SABTU,MALAM AHAD 9:30 MALAM
iii)PAGI SABTU 9:00 PAGI,KULIAH TAFSIR
iv) AHAD, MALAM ISNIN 8 MALAM

*mengikut waktu Malaysia.

Anda boleh pm kepada
addeen57,
shahreza03,
aznanhamat,
adiemad,
liya51

Name

URL or Email

Messages(smilies)

Diriwayatkan daripada Sahl bin Saad r.a katanya:
Janganlah kamu menghitung tarikh dari awal kebangkitan Nabi s.a.w dan hari kewafatan Nabi s.a.w. Janganlah kamu memulakan hitungan kecuali dari hari baginda tiba di Kota Madinah.

(Hadis Riwayat Imam Bukhari).

Israel hadapi kecaman baru di ICJ

THE HAGUE 24 Feb. - Israel hari ini menghadapi kecaman terbaru di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dari negara-negara yang menyokong tindakan Palestin mencabar langkah Israel membina benteng keselamatan di Tebing Barat.

ICJ bersidang selama tiga hari mulai semalam bagi memutuskan kewajaran pembinaan tembok keselamatan yang didakwa oleh negara Yahudi tersebut sebagai usaha untuk menghalang kemasukan pejuang Palestin ke wilayah mereka.

Bagaimanapun, Palestin mendakwa langkah itu merupakan taktik kotor Israel untuk menguasai kawasan Palestin kerana Tebing Barat merupakan wilayah Palestin.

Antara negara yang akan memberi keterangan pada perbicaraan kes itu ialah Jordan, negara yang paling tegas menentang pembinaan benteng keselamatan berkenaan.

Malaysia, Indonesia, Bangladesh dan Cuba merupakan negara yang paling kuat menyokong tindakan Palestin membawa kes itu ke ICJ.

PENANTIAN
[tulisan ini aku dedikasikan untuk seluruh pejuang]

Lahir di tengah kemelut yang berselut,
Lahir di tengah lumpur yang berlumur,
Kota Ismaliah 1906,
Tangisan bayi senyuman harapan ummah.

4 muka lewat la'natullah Mustafa makan khalifah,
Dia hidangkan wahdatul-ummah,
Bersatu dengan aqidah,
Berderap dengan mujahadah,
Berentap dengan sabilillah.

Dari desa-desa ke kota-kota,
Allah-lah matlamat kami,
Dari gurun padang ke gelanggang,
Rasulullah pimpinan kami,
Dari kota pasir Sinai, Alex Aswan,
Al-Quran perlembagaan tertinggi kami,
Dari denai-denai zahmah Kaherah,
Jihad jalan kami,
Dan,
Mati di jalan Allah cita-cita tertinggi kami.

Darah sudah jadi murah,
Mati sudah jadi sebati,
Penjara sudah jadi biara,
Dakwah sudah jadi lumrah,
Islam sudah jadi iltizam.

Menang,
Dan memang menang,
Cuma bila dan siapa?
Di sini, atau di sana.