Assalamualaikum,
Ah, lamanya aku meninggalkan bandarsepi tanpa berpewaris. Terima kasih yang terus berkunjung, bertanya-khabar, langsung menyokong bandarsepi untuk terus bernyawa.
Bandarsepi? Aku harap dia tak akan sesepi namanya!
29 Februari 2004
Aku tahu, tarikh 29 Februari hanya datang setiap 4 tahun, dan aku pasti akan kenang tarikh ini sampai bila-bila, InsyaAllah.
Berpagi-pagi Rashdan dan Musa mengirimi aku ke stesen Hitachi [kirim?, ya mereka kirimkan aku pulang! hakikatnya, hati dan perasan seperti sudah menjadi sebati dengan perdaerahan damai Hitachi] Oh ya, malamnya aku bermakan makan di rumah keluarga angkat Jepun. Hati benar-benar dirasuk hiba, sungguh! Lama benar bapa angkat meninggalkan pesanan, amanah dan nasihat. Lagak mereka saling tidak tumpah, aku ini anak mereka. Hati siapa yang tidak resah dan menangis?
Tinggalkan kenangan di sana!
Jam 8:20 pagi sampai di terminal dua Narita. Ada halangan perpisahan lagi! Anak-anak usrah ramai-ramai datang menghantar aku hingga benar-benar ke muka pintu berlepas. Aduh tuhan! Kenapa lah adanya pertemuan? Berat langkah sama seperti bahasa hati, tetapi aku paksa untuk senyum. Kala itu seorang dua anak usrah sudah alah, aku cuba untuk gagah. Aku bicara-bicara pesanan nasihat untuk mereka. Kali terakhir di dada sakura.
"Jaga ukhuwah..ini dasar kekuatan. Amalan fardhiah ...jangan dimudah-mudahkan.."
Adik-adik, terima kasih! Terima kasih kerana menjadi adik, teman dan guru perjuangan yg terlalu baik! [mesej istimewa ini aku rasa aku titipkan pada semua buku autograf kalian, bukan? Sungguh! terima kasih! ]
6:02 petang, Malaysia
Ya, aku sudah jadi orang Malaysia!
Abah, Tuk Ayah, AbgDi [ doktor di daerah Sibu, kebetulan dia datang ke KL, ada peperiksaan kedoktoran, katanya ] menanti. Pula, beg hilang entah ke mana. Kena masuk ke pejabat tuntutan, selesaikan segala-gala, baru boleh pulang. Tanpa, sebiji beg.
7:30 malam, ada mama, opah dan adik-adik.
Aku hilang Jepun, aku gapai Malaysia dan mesra. Adil kan Tuhan?
1 Mac 2004
Wahai diri, kau sudah di Malaysia!
Berpagi-pagi ke UM, bertemu dengan mentor perjuangan. Dari jam 11, makan tengahari bersama, Zohor bersama, hampir-hampir ke Asar baru bubar. Bicara-bicara tentang perjuangan, seputar perancangan, sekisah impian dan harapan. Lama tidak bertemu dengannya!
Sebelum bubar sempat menyambar dua khazanah ilmu, Sistem-sistem Islam dari Abu Urwah, dan satu lagi tulisan Dr Yusuf Qardawi, antara tulisannya yang terkini;
"Uih, buku tu ...ana pun tak baca lagi. "
"Alah ... Abang H, bukannya ada masa kan sekarang nih, bagi ana baca dulu lah ye .."
Akhirnya, aku menang. Terima kasih.
Dan, itulah juadah semingguan ini, sedang buku-buku aku yang lain masih dalam perut Ody, dalam perut kapal, dalam perjalanan pulang.
2+3 Mac 2004
Bersama sepupu berpusing-pusing dari Subang Jaya, Segambut, Pantai Dalam dan KL; urusan kereta yang memenatkan. Penat? Penat dengan gelagat orang Malaysia memandu di tengah jalan. Memang! Jalan raya Malaysia layak untuk sebuah sungai kematian! Gila!
Kalau di Jepun, pemandu terlalu bersopan. Tetapi di sini, di daerah sendiri? Ah! Kalian lebih layak dari aku untuk menjadi hakim penilai kepada corak pemanduan di Malaysia.
Sesak? Ah! Ini satu lagi petaka bagi pemandu di Malaysia. Kepala berputar-putar cuba mencari punca, dan jalan keluar. Pada aku, pembesaran jalan bukan cara selesai. Jalan dibesarkan, bilangan penjualan kereta tidak pernah susut, sampai kiamat masalah sesak tidak selesai. Cari sahaja jalan selesai yang lain!
4 Mac 2004
Hanya seorang yang punyai sentuhan seperti Raja Midas, dan orang itu ialah Abdullah bin Ahmad Badawi bin Abdullah!
PakLah umumkan pembubaran parlimen dengan cara yang tersendiri, tidak sama seperti Tun [mungkinkah ini satu lagi gambaran betapa PakLah mahu keluar dari bayang-bayang Tun. Impossible! ]
Eh! Kenapa kuasa pembubaran hanya ada pada satu manusia yang bergelar PM, sedangkan dunia Malaysia ini dipunyai oleh 23 juta umat yang diwakilkan kepada lebih 200 ahli parlimen. Apa besar sangat kuasa seorang Perdana?Huh...
Apapun demam itu sudah menjadi nyata. Dan lebih 10 juta rakyat Malaysia yang layak sudah mengasah-asah taji untuk menikam yang mana berkenan. Pilih-pilih, jangan hingga tersalah pilih!
Dan, pembubaran parlimen sedikit sebanyak menjadikan aku rawan. Kenapa? Banyak perancangan awal yang menjadi sesar. Terpaksa mengunakan plan kedua. Waduh!
5 Mac 2004
Dari UM ke Gombak, balik ke UM, ke Gombak lagi, dan menjejak ke dua pagi baru kembali ke teratak peraduan di Subang. Semuanya untuk semua tugas dakwah! Menguruskan tempat program kepimpinan, bertemu kali pertama dengan adik-adik baru [ Alhamdulillah, Allah sudah kurniakan aku ganti pada adik-adik yang aku tinggalkan di Jepun. Sama, tetapi tidak serupa! ], dan malamnya bermesyuarat dengan alumni persatuan. Banyak benar agenda! [ dalam organizer setiap hari penuh, mengalahkan bakl wakil rakyat! ]
Seminggu di Malaysia, panas dan memang panas! Tetapi kenangan 5 musim di sakura masih bernafas segar. Entah bila aku akan benar-benar selesa bernafas seperti orang Malaysia.
Tunggu lah!
ILHAM HAMDANI at 7.3.04