Thursday, April 01, 2004

Assalamualaikum,

Tulisan kali ini datang dari daerah permai Indera Kayangan. Semalam tiba untuk misi khas; mengikat tali pertunangan. Oh! Tali pertunangan dengan alam pekerjaan, jangan pantas kalian membuat andaian ya, ahaks.

Panas mengigit, memang sakit. Sesekali ia mengembalikan kenangan 4 musim yang lampau menapak-napak antara Misfalah dan MasjidilHaram. Dan, itulah yang aku dapat bayangkan ketika bermotor menghantar sepupu perempuan yang bersekolah rendah meredah padang sawah untuk mengaji Al-Quran. Jam di tangan, 2:00 petang. Bayangkan!

Ketika MakNdak mengomel akan kepanasan kala-kala rehat-rehat mengambil bayu petang yang bertiup antara malas dan segan, opah menyahut pantas;

"Ini baru panas dunia ..."

Aku yang memegang Memoar Hassan Al-Banna di tangan yang duduk berayun di buaian di luar rumah tua, hanya menelan air liur kelat. Panas dunia kawan!

Baru semalam kuliah maghrib di masjid yang sudah diBIRUkan karpetnya [dulu karpetnya warna hijau, mungkin fobia ...lalu dibirukan, dunnya! ]

"Ini matahari dunia, jauh beribu batu ...sedang mentari akhirat sejengkal di atas kepala ". Aduh, tuhan ..

Banyak, banyak benar yang ingin aku nukil kongsikan bersama kalian. Rindu dendam untuk mengetis-ngetis [ ini perkataan KakSri di dalam KL : Di Mana suamiku? yang aku sudah habis khatam. Itupun berebut dengan adik perempuan, mama dan Angah. Em..takkan lah nak kena beli sampai 4 naskah langsung untuk satu rumah, melampau betul! ] di atas papan kekunci membuatkan ide jadi bersusun seperti kereta pulang petang.

Cerita pertama; adinda Jepun Eri Takeda

Sabtu dan Ahad sebelum aku pulang ke Perlis, keluarga aku mengambil anak angkat Jepun, ala-ala program homestay begitu. [MBA : pendek sangat lah programnya, sepatutnya seminggu ker..menarik sikit..rainen e ganbarimasou ne ]

Tengah hari Sabtu menjemput Eri, si gadis Jepun yang berusia 18 tahun di Corus Hottel berdepan dengan KLCC, dan meredah sesak tengahari Sabtu melalui Jalan Mahameru. Eri, tengok lah Malaysia yang sesak!

Mujur Eri pernah ke Bangkok, lalu katanya sesak di Bangkok lebih parah. Ah! selamat aku, selamat orang Malaysia.

Jejak ke rumah mampir-mampir 3:30, mama sudah menanti dengan hidangan nasi ayam. Oh! Mama tidak menjemput, kerana bekerja separuh hari. Berjamu dengan sate, nasi ayam, dan berehat seketika. Dan, selepas reda sikit hujan petang [KL memang hujan petang kan lewat-lewat ini? ] , kami bertiga; aku, mama dan Eri ke Putrajaya.

Bergambar puas-puas, dan kala-kala maghrib kebetulan Eri dibenarkan masuk ruang solat wanita, bersama mama. Itupun kena dipakaikan jubah merah jambu dahulu [ ketika melihat gambar Eri berpakaian jubah pink itu, mama mengulas; "jubah pink ini macam pakaian orang mengandung" Sungguh pun.. ]

Selepas maghrib, bertolak pulang. Aku tanyakan dengan Eri, si gadis manis [oh! jangan salah sangka, bukan kerna kemanisan gadis itu. semuanya kerna budi orang Jepun, bangsa gadis itu yang menimbun gunung pada aku, yang tidak mampu aku lupai bila-bila selagi ada ingatan ] ,

"macam mana? puas hati?"

"puas hati ..120% " [amboii...kala aku tanya sebelum berpisah, katanya ; "dah jadi 200%" ...aku gelak besar ...eri, eri ..]

"Apa yang paling menarik? "

"Dapat melihat cara orang Islam sembahyang, menarik ...bertuah sangat "

Kala itu mama yang duduk di kerusi belakang sudah tersengguk-sengguk. Tambahan, kami berbicara dalam bahasa Jepun, lewat aku yang ketagih bicara dari bahasa bonda kedua.

Kemudian tema bualan bertukar kepada isu agama, menarik. Eri dan keluarga melanggari kebiasaan bangsa Jepun; mereka agak kuat dengan buddha. Tetapi, tidaklah fanatik. Akhir bicara dalam kereta,

"nanti saya nak belajar bahasa Melayu, dan membaca tentang Islam .."

Jauh-jauh aku doakan untuk kamu, Takeda Eri ...

Esok, Ahad . Berpagi-pagi bersama mama membawa adik angkat Jepun ke pasar pagi. Wah, jadi tumpuan kami. Anak Jepun dengan baju kurung pemberian mama dengan warna pink cukup cantik dengan kulitnya yang putih merah. Dan, aku dengan bahasa Jepun dalam bicara, wah ... rombongan kami ke pasar seperti kumpulan artis lagaknya, jadi kecoh pasar subang pagi itu.

Membelikan Eri apam balik, buah kundang, buah mempelam dan dua helai tudung kenangan untuk bondanya dan adindanya di Jepun. Pulang dari pasar, singgah di rumah nenek, bekas tuan rumah sewa ketika aku kecil-kecil. Sembang-sembang sambil menunjuk anak menantu Jepun.

Balik sahaja, langsung ke kenduri yang tidak jauh dari rumah. Sekali lagi kami jadi tumpuan secupak mata. Aku hanya mewakilkan mama untuk menjawab, siapa gadis manis. Sebelum menapak kenduri, sempat bawa Eri ke jiran sebelah dan setentang yang agak akrab hubungan kami. Sempat juga dia bergambar kenangan.



Balik dari kenduri dengan ole-ole telur rebus dalam kotak berhias dan rampai-rampai wangi di tangan. Eri senyum sampai telinga walaupun mukanya merah dipanah mentari terik bagai udang yang dibakar. Kasihan!

Pukul 1:30 naik bas ke KL. Sengaja memilih bas. Pertama, mengelak sesak jalan-raya kalau memandu. Dua, Eri nak mencuba bas pula. Ok. Menjejak 2:30 sampai Pasar Seni, dan meneroka dunia seni di sana. Meronda-ronda kami dari satu gerai ke gerai sedang aku, pemandu pelancong yang tak dibayar sesen. Tapi, aku puas. 5 musim berkelana di tanah kamu, berkoyan kenangan. Terima kasih sekalung budi.

Menjejak 4:30, kian dekat dengan berpisah. Sedih? Ada juga ...tetapi biasalah. Nama pun pertemuan, nanti datang ikut membontot sebuah perpisahan. Itu fitrah. Itu fitrah.

Kedua; doa kebaikan

Siang tadi, kala menolong opah menarah-narah rumput untuk membuat lubang bertanam kacang bendi, Azah, pemilik blog HanyaSayang berpanggilan telefon, bercerita tentang isteri sahabat GengJurnal; EP. Baru ini pun kala dalam bas berpulangan ke Perlis, Azah sudah lontar esemes maklumkan malang yang menimpa isteri teman [? kalau ikut pada usia, mungkin EP sebaya ayahanda ..]

Itulah, walaupun sekali cuma bertemu dengan EP, tetapi mesra pantas bertaut, tetapi kasih segera semarak. Bimbang jadi seribu, sedang doa tidak putus-putus. Mudahan Allah memberikan ketenangan kepada EP, isteri dan keluarganya seluruhnya.

Ketiga; perjuangan

Balik ke tanah bermain ini, kepala masih berlegar-legar bagaimana untuk "membangunkan" tanah ini. Sungguh! Tenaga yang dipinjami Dia kerdil sangat, sedang beban yang perlu dilunaskan besar amat, bagaimana?

Petang semalam, sebaik tiba, sempat bersembang seketika dengan teman pimpinan, bicara seputar perang-perang yang baru lalu. Bicara seputar agenda-agenda perjuangan yang belum selesai. Aduh, berat rasanya.

Dan, mungkin kebetulan. Aku sedang berhidang dengan Memoar Hassan al-Banna, menceritakan langkag-langkah pejuang. Dan, aku harap aku boleh menumpang secangkir semangatnya, mencuri sejalur dua kekuatannya. Mudahan...



ILHAM HAMDANI at 1.4.04

Di tengah orang tua, dia-lah pemuda.
Dan,di tengah pemuda dia-lah ketua.
Bermazhab pada adil dan jujur,
berkitab pada sirah dan siasah.

IPIJepun mempersilakan anda semua ke program usrah-maya mingguan melalui YM kami,dan maklumat adalah seperti berikut;
i) JUMAAT,MALAM SABTU 8 MALAM
ii) SABTU,MALAM AHAD 9:30 MALAM
iii)PAGI SABTU 9:00 PAGI,KULIAH TAFSIR
iv) AHAD, MALAM ISNIN 8 MALAM

*mengikut waktu Malaysia.

Anda boleh pm kepada
addeen57,
shahreza03,
aznanhamat,
adiemad,
liya51

Name

URL or Email

Messages(smilies)

Diriwayatkan daripada Sahl bin Saad r.a katanya:
Janganlah kamu menghitung tarikh dari awal kebangkitan Nabi s.a.w dan hari kewafatan Nabi s.a.w. Janganlah kamu memulakan hitungan kecuali dari hari baginda tiba di Kota Madinah.

(Hadis Riwayat Imam Bukhari).

Israel hadapi kecaman baru di ICJ

THE HAGUE 24 Feb. - Israel hari ini menghadapi kecaman terbaru di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dari negara-negara yang menyokong tindakan Palestin mencabar langkah Israel membina benteng keselamatan di Tebing Barat.

ICJ bersidang selama tiga hari mulai semalam bagi memutuskan kewajaran pembinaan tembok keselamatan yang didakwa oleh negara Yahudi tersebut sebagai usaha untuk menghalang kemasukan pejuang Palestin ke wilayah mereka.

Bagaimanapun, Palestin mendakwa langkah itu merupakan taktik kotor Israel untuk menguasai kawasan Palestin kerana Tebing Barat merupakan wilayah Palestin.

Antara negara yang akan memberi keterangan pada perbicaraan kes itu ialah Jordan, negara yang paling tegas menentang pembinaan benteng keselamatan berkenaan.

Malaysia, Indonesia, Bangladesh dan Cuba merupakan negara yang paling kuat menyokong tindakan Palestin membawa kes itu ke ICJ.

PENANTIAN
[tulisan ini aku dedikasikan untuk seluruh pejuang]

Lahir di tengah kemelut yang berselut,
Lahir di tengah lumpur yang berlumur,
Kota Ismaliah 1906,
Tangisan bayi senyuman harapan ummah.

4 muka lewat la'natullah Mustafa makan khalifah,
Dia hidangkan wahdatul-ummah,
Bersatu dengan aqidah,
Berderap dengan mujahadah,
Berentap dengan sabilillah.

Dari desa-desa ke kota-kota,
Allah-lah matlamat kami,
Dari gurun padang ke gelanggang,
Rasulullah pimpinan kami,
Dari kota pasir Sinai, Alex Aswan,
Al-Quran perlembagaan tertinggi kami,
Dari denai-denai zahmah Kaherah,
Jihad jalan kami,
Dan,
Mati di jalan Allah cita-cita tertinggi kami.

Darah sudah jadi murah,
Mati sudah jadi sebati,
Penjara sudah jadi biara,
Dakwah sudah jadi lumrah,
Islam sudah jadi iltizam.

Menang,
Dan memang menang,
Cuma bila dan siapa?
Di sini, atau di sana.